Iman Mengawal Potensi, Meledakkan Perubahan
Sahabat yang sebenar, adalah yang saling melengkapi di atas paksi iman. ~Picture by http://lysa-bell.deviantart.com/ |
Hari ini (23/11),
pensyarah subjek Ulum Quran saya, Dr Ridho Hawari masuk ke bilik kuliah dan
mengajar tentang bab Pengumpulan Quran. Beliau sempat menyentuh tentang dua
peribadi agung Islam, iaitu Saidina Abu Bakar as-siddiq dan Saidina Umar
Al-Khattab.
Katanya,
kedua-dua sahabat Nabi s.a.w. itu ternyata memiliki peribadi yang saling
bertentangan. Meskipun begitu, lihatlah bagaimana keduanya mampu membangunkan
Islam dalam masyarakat.
“Lihatlah
Abu Bakar. Peribadinya itu ittiba’ (sentiasa mengikuti) apa yang Rasul s.a.w.
ajarkan. Tetapi Saidina Umar itu pula peribadinya ibtida’ (sentiasa inginkan
pembaharuan).”
Doktor
memberikan contoh peristiwa Perjanjian Hudaibiyah.
Katanya,
dalam peristiwa itu, Saidina Abu Bakar as-siddiq bersetuju dengan perjanjian
yang telah termeterai antara Rasulullah dan kaum musyrikin. Tetapi, Saidina
Umar ternyata tidak bersetuju kerana ia tidak menguntungkan orang-orang Islam.
Dalam
banyak hal, Saidina Umar selalu berbeza. Lihatlah dalam Perang Badar. Bila
Rasulullah bertanya apa yang ingin dilakukan terhadap tawanan perang, maka Saidina
Abu Bakar memberikan pendapat bahawa setiap seorang daripada mereka mengajar sepuluh anak orang Islam dalam
pelbagai bidang ilmu pengetahuan, agar kesemua mereka hingga berjumlah 700 anak
orang-orang Islam menjadi pandai dan celik ilmu, dan inilah juga pandangan
peribadi Rasulullah s.a.w.
Tetapi Saidina Umar,
berbeza lagi. Beliau tidak
bersetuju dengan pandangan itu, beliau mencadangkan agar setiap mereka itu
dibunuh sahaja, kerana merekalah penyebab kepada masalah syirik dan penentangan
terhadap ajaran-ajaran baginda Rasulullah.
PERIBADI YANG JAUH
BERBEZA, TETAPI MAMPU MEMEGANG DUNIA
Mereka itu selalu
berbeza. Meskipun begitu, perbezaan mereka sentiasa dalam lingkungan ukhuwah
dan mahabbah.
Saidina Abu Bakar
memang kita kenali dengan peribadi yang lemah-lembut.
Berbeza pula dengan
Saidina Umar, yang memang dikenali dengan peribadi yang tegas.
Tetapi, keunikan pada
perbezaan mereka adalah mereka disatukan di atas iman kepada Allah s.w.t.
Potensi masing-masing
tidak sama, tetapi bila iman yang mengawal potensi itu, maka gabungan kedua-dua
potensi itu memberi impak yang besar kepada Islam.
Islam
semakin kuat dengan ada kedua-duanya. Kalau tidak ada orang seperti Saidina Abu
Bakar as-siddiq, siapa yang akan menjadi agen dalam mendokong dakwah awal Rasul
s.aw.? Adanya Abu Bakarlah menyebabkan ramai yang mula menyertai kafilah dakwah
Nabi s.a.w.
Kalau tidak
ada orang seperti Saidina Umar al-Khattab, maka dakwah Nabi tidak dapat
disampaikan secara terang-terangan kepada masyarakat Arab.
Kedua-duanya
saling melengkapi dan menguatkan. Itu hebatnya bila potensi disatukan di bawah
keimanan. Ia meledakkan perubahan.
Iman tidak
hanya mengawal potensi, tetapi mampu membuah prestasi tinggi.
UKHUWAH
ATAS IMAN, SALING LENGKAP-MELENGKAPI
Ada orang
tersilap mendefiniskan ukhuwah dalam hidupnya:
“Kena
jaga hati sahabat. Nanti terasa.”
Jaga hati
punya fasal, akhirnya teguran pun tidak diberi bila melihat sahabatnya
melakukan kesilapan. Lalu, adakah ukhuwah di situ?
Tetapi
tidak bagi kedua-dua orang sahabat Nabi ini. Ingat lagikah ketika peristiwa
kewafatan Nabi?
Apa kata
Saidina Umar? Beliau hampir tidak percaya bahawa Nabi telah wafat, lalu beliau
mengatakan, “Barangsiapa yang mengatakan Nabi Muhammad telah wafat, akan
ku penggal lehernya.”
Tetapi,
Saidina Abu Bakar telah memberi teguran kepadanya. Inilah nilai ukhuwah
sebenar. Beliau mengingatkan,
“Siapa yang menyembah Muhammad, maka
sesungguhnya Muhammad telah wafat, dan siapa yang menyembah Allah, maka Allah sentiasa
hidup tidak mati.”
Beliau telah membacakan semula ayat 144 surah
Al-Imran untuk mengingatkan Umar.
“Dan
tidaklah Muhammad itu melainkan seorang Rasul yang telah berlalu sebelumnya
rasul-rasul. Adakah apabila dia wafat atau dibunuh, kamu akan berpaling ke
belakang? …”
Begitulah
juga dalam melakukan kebaikan. Kadang-kadang, kita seronok seorang diri
melakukan kebaikan. Kita tidak kisah pun orang yang kita panggil sebagai
sahabat itu. Kalau dia nak buat baik, buat. Kalau tak mahu buat, kita pun tak
kisah.
Tetapi,
pandanglah kepada Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Sering bertanding dalam
membuat kebaikan.
Biasanya,
Saidina Abu Bakarlah yang selalu menang. Tetapi, Saidina Umar tetap tidak
pernah mahu mengalah.
Dalam satu
peristiwa, Rasul s.a.w. mengajak para sahabat untuk menginfakkan harta mereka.
Berapa yang Saidina Abu Bakar bagi? Berapa pula yang Saidina Umar infakkan?
Saidina
Umar memberi separuh daripada hartanya untuk diinfakkan. Bila ditanya, apa yang
ditinggalkan untuk keluarganya?
Maka beliau
menjawab, “Aku meninggalkan separuh hartaku untuk anak dan isteriku.”
Tetapi,
ternyata Abu Bakar mendahului Umar. Saidina Abu Bakar telah menginfakkan
seluruh hartanya untuk Islam. Ditanya apa yang ditinggalkannya untuk
keluarganya?
Maka jawab
beliau,“Allah dan Rasul.”
PENUTUP
: KALAU TIDAK SEPERTI MEREKA, HAMPIR SEPERTI MEREKA
Itulah
kesan iman. Menumbuhkan prestasi luar biasa yang dikenang dunia.
Mereka itu
jadi contoh kepada kita. Imanlah yang menolak mereka untuk saling-melengkapi.
Bahkan,
saling berlumba pula dalam kebaikan. Bertanding melihat siapa yang lebih baik
amalannya.
Kita,
dengan sahabat kita sekarang, adakah pernah kita buat sebegitu?
Ramai yang
bertanding dengan kawannya, tetapi pertandingan yang tidak membawa nilai
akhirat.
“Siapa
yang makan paling banyak, dia menang.”
“Siapa
yang wikang paling lama, dia menang.”
“Siapa
yang dapat macam ni sekian sekian, dia menang, kalau tak, kira kalah.”
Milikilah
jiwa sehebat mereka. Kalau tidak seperti mereka pun, yang sehampir dengan
mereka pun sudah kira baik.
Jiwa yang
dinaungi iman, akhirnya mampu meledakkan perubahan!
2 comments:
artikel yang sangat bagus. mohon copy untuk disebar2kan.
subhanallah ! syukran atas perkongsian..jika sudi..kunjungila blog ana..=)
Post a Comment