Saturday, April 3, 2010

Khas Buatmu Sahabat II



Baru sahaja pulang dari menziarahi Suhaib. Alhamdulillah, ada 'improvement' dalam proses recovering beliau.
Penyusunan Allah sangat cantik dan indah. Tak dapat nak digambarkan betapa terlalu besar dan agungnya Allah s.w.t.


Lama tak menulis...
Kadang-kadang hati rasa terganggu untuk menulis. Terusik dengan pelbagai macam perasaan.
Entahla, bercampur aduk perasaannya. 
Tapi, ku gagahkan juga mengangkat tangan menaip huruf demi huruf, perkataan demi perkataan.
Ku harapkan dengan ayunan langkahan ini, Allah redha pada diriku juga sahabatku, Suhaib.


PROSES RECOVERING YANG BEGITU CEPAT DAN LUAR BIASA


Saya baru saja balik dari menziarahi beliau pada pukul lebih kurang 11 pagi tadi. Beliau sudah diizinkan untuk pulang ke rumah. Sekarang, beliau sudah mula boleh bercakap, tapi masih perlahan-lahan sementara menunggu bahagian leher yang ditebuk tempoh hari sembuh semula serta menunggu bahagian rahangnya sembuh sepenuhnya.


Katanya, doktor pun begitu hairan dengan proses recovering beliau yang begitu cepat. Beliau amat yakin ini adalah berkat doa daripada sahabat-sahabat.


Dalam masa ini, beliau kelihatan agak kurus kerana masih belum boleh dibenarkan untuk makan. Jadi, buat sementara waktu selama hampir 5 minggu sementara menunggu rahangnya betul-betul sembuh, beliau hanya boleh mengisi perut dengan minuman seperti susu dan sebagainya. Beliau sudah boleh berjalan menggunakan tongkat. Mungkin dalam 3 minggu lagi, InsyaAllah, beliau boleh berjalan seperti biasa semula.


4 hari di Hospital Tunku Fauziah, Perlis dan 2 minggu lebih di General Hospital Pulau Pinang.
Jangka masa yang agak lama.


Tapi, dalam masa bermula peristiwa itu hinggalah sekarang, kata Suhaib, dia tak pernah rasa sakit pun.
MasyaAllah...!


Saya pernah menziarahi beliau sebelum ini. 2 kali.
Kali pertama sewaktu dia masih lagi di ICU Hospital Tunku Fauziah dan kali kedua sewaktu dia mula dipindahkan ke General Hospital Pulau Pinang. 
Saya pergi untuk kali yang ketiga, tapi tak berpeluang menziarahinya kerana masih di dewan pembedahan.


Suhaib memang orang yang kuat. Saya amat yakin kekuatan ini datang dari KEKUATAN IMAN pada Allah.
Dalam keadaan sakit dan terbaring pun begitu nampak bersemangat, kuat dan berkeyakinan. Terdetik di hati saya, beliau memang Suhaib Ar-Rummi. 
Ya. SUHAIB IBN SINAN AR-RUMMI.
Sewaktu hijrah, beliau meninggalkan semua harta yang ada pada beliau.
Sebab apa?
Kafir Quraisy tidak puas hati terhadap beliau, kerana ketika beliau datang ke Makkah, beliau tidak ada apa-apa langsung. Sebab itulah ketika beliau keluar hendak berhijrah, maka kafir Quraisy tidak melepaskan beliau melainkan beliau melepaskan semua hartanya.
Suhaib tanpa ragu-ragu, penuh berkeyakinan melepaskan semua hartanya. Dia hanya mampu menyelamatkan deen-Nya, Islam.
Rasulullah s.a.w. menyambut ketibaannya di Madinah dengan mendoakannya yang bermaksud, "Beruntunglah Suhaib ! Beruntunglah Suhaib ! Beruntunglah Suhaib ! ."


Pernah Rasulullah s.a.w. menegur Suhaib ketika beliau sedang makan kurma, ketika itu sebelah matanya sakit dan bengkak. Rasulullah berkata padanya, "Bukankah matamu sakit, kenapa engkau makan kurma?"
Jawab Suhaib, "Aku makan kurma ini dengan sebelah mataku yang sihat."
Teringat juga kisah Habib An-Najar yang pernah diceritakan oleh mas'ul saya. Katanya, Habib An-Najar ni dalam keadaan dia telah mati pun, masih berdakwah, ajak manusia kepada kebaikan.


Kata Suhaib pada saya, "Bila jadi accident ni, ana belajar untuk redha dengan Allah."
Ya... REDHA PADA ALLAH.
Itulah kunci utama dalam kehidupan kita, bukan?
Baik atau buruk...
Susah atau senang...
Ujian dan dugaan...
Semua itu adalah PROSES untuk diri kita.
Proses untuk meningkatkan keyakinan dan redha kita pada Khaliq yang menciptakan kita.


Ya. Dan saya belajar untuk redha juga.
Dia pesan supaya saya sentiasa kuatkan diri.
Hairan sungguh. Beliau masih belum sembuh, tapi risaukan saya.
Suhaib...Suhaib...
Moga Allah kasihkan anta.
Beruntunglah anta, Suhaib !!!


BEBERAPA PERKONGSIAN UNTUK DIRI INI YANG SERING LUPA


Suhaib ada ceritakan beberapa mimpi yang dia alami ketika terlantar di hospital. Ada antaranya yang tidak dapat dilihat oleh siapa-siapa pun melainkan dengan izin Allah. Saya tidak minta untuk kita percaya kepada mimpi seratus peratus kerana mimpi tidak boleh dijadikan dalil dalam kehidupan. Namun, kita boleh ambil iktibar dan pengajaran.


Ada antara perkara yang diceritakan itu benar-benar menyentuh hati saya. Tapi, biarlah ia menjadi rahsia. Semoga yang mengetahuinya mengambil iktibar. Sampai masanya, saya akan ceritakan.


Kita hidup di atas muka bumi ini tidak lama. Hanya sementara.
Rasulullah s.a.w. menggambarkan dalam hadisnya yang mafhumnya bermaksud, "Aku dan dunia ini tidak ada apa-apa melainkan umpama seorang musafir lalu singgah berteduh di bawah sebatang pohon, lalu sesudah rehat, beliau menyambung kembali perjalanannya menuju ke destinasinya."


Inilah hakikat kehidupan kita yang pasti. Kita datang daripada Allah. Kita pasti akan kembali kepada Allah.
Namun, yang perlu dipersoalkan terhadap diri, "Apakah yang kita akan bawa ketika kembali dengan Allah s.w.t.?"
Cukupkah dengan kerja kita selama puluhan tahun?
Cukupkah dengan segulung ijazah kejayaan dalam pengajian?


Sudah tentu tidak. Kita berpenat lelah bekerja siang dan malam belum tentu menjamin masa depan kita di depan Allah kelak.
Kita berjaya dalam pelajaran, pun belum tentu berjaya di akhirat kelak.
melainkan...
Kita sentiasa menjaga produktiviti iman kita, hubungan kita dengan Allah.
Kita kerja adalah untuk meningkatkan iman kita kepada Allah. Kita belajar dan menuntut ilmu supaya kita lebih takut dan taat kepada Allah.
Keyakinan kita terhadap adanya hari akhirat menyebabkan kita sentiasa dalam keadaan bersiap-sedia untuk balik bertemu dengan Allah dalam keadaan yang Allah redha.


Bagi sahabat saya, Suhaib, saya sentiasa doakan Allah gantikan apa yang berlaku ini dengan seribu satu kebaikan. Kesabaran dan kekuatan beliau memang membuatkan saya betul-betul teruja. Di zaman Islam dagang ini, cukup susah untuk bertemu dengan pemuda seperti Suhaib. Zaman yang dikuasai oleh sistem jahiliah. Gagal melahirkan manusia-manusia yang takut dan redha pada Allah.


Allah sentiasa membuat tapisan terhadap hamba-Nya untuk menguji keimanan dan keikhlasan hamba-hambaNya. Sesiapa yang bersabar menempuhi tapisan Allah ini, maka dia adalah orang yang berjaya di sisi Allah. Tapisan demi tapisan inilah yang akan membuatkan kita lebih kuat dan lebih dekat dengan Allah. Tidak ramai yang berjaya dengan tapisan Allah melainkan begitu sedikit sekali.
Sebab itulah, kita perlu berusaha untuk jadi di kalangan yang sedikit itu, InsyaAllah.




SAMBUNGAN...


Saya rasa cukup dulu perkongsian untuk post kali ni. Ada banyak lagi yang nak dikongsikan. InsyaAllah, saya akan kongsikan dari semasa ke semasa. Saya memohon kemaafan jika tulisan saya tidak dapat difahami.
Hati agak terganggu. Namun, saya rasa lebih tenang selepas ziarah tadi.


Ujian Allah untuk diri kita itu sentiasa ada. Namun, ujian yang diterima berbeza-beza. Ada yang berat, ada yang ringan. Namun, yang pasti, Allah tidak datangkan ujian melainkan dengan tujuan untuk meningkatkan lagi iman kita dan supaya kita lebih akrab dengan Allah.
Wallahu a'lam.
Doakan Suhaib.

2 comments:

littleCALIPH April 3, 2010 at 7:38:00 PM GMT+8  

Semoga Antumna terus tsabat di jalan ini.

abid abdi April 11, 2010 at 5:07:00 AM GMT+8  

subhanallah.. ana teringin nak dgr kisah mimpi tuh.. boleh kongsikan ngan ana.. terima kasih.. moga terus kuat dan tabah...

moga2 juga, kekuatan anta berdua menjadi kekuatan para sahabat kita..

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP