Sunday, February 28, 2010

Islam Dalam Kehidupan - Menuju Bahagia

Saudara-saudara yang dikasihi Allah s.w.t.,

         Pertamanya, kita panjatkan rasa syukur tidak terhingga, besarnya rahmat Allah s.w.t. yang meletakkan kita dalam barisan muslimin. Selawat dan salam juga kepada junjungan Rasul s.a.w., kerja keras, titik peluh dan darah baginda dan para sahabat yang memungkinkan kita pada hari ini untuk merasai dan menikmati Islam.

ISLAM ...
Inilah sinar yang membawa kebahagiaan kepada umat manusia satu masa dulu. Menyinari dunia yang dalam kegelapan jahiliyah. Sinar yang memberi kehidupan kepada hati, yang menjadikan bumi ini bercahaya daripada asalnya berada dalam kegelapan dan kemalapan zaman Jahiliyah.

Islam membawa suatu perubahan yang besar ke atas dunia ini. Meletakkan ummatnya di barisan-barisan kemuliaan. Mulia kerana tunduk dan patuh pada Allah s.w.t. Mulia kerana menerima apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w. dengan sepenuh hati. Bahkan kemuliaan inilah yang telah menyebabkan umat Islam dianugerahkan hampir 2/3 bumi, dikuasai dan ditadbir oleh sistem pemerintahan Islam.

Namun,
Hari ini sebaliknya yang berlaku. Ummat ini adalah ummat yang paling hina di dunia. Dilabel sebagai pengganas, bahkan dihinjak dan direndah-rendahkan oleh masyarakat kuffar.

Di mana kesilapan kita sebenarnya?
Hina sehingga begitu sekali, diusir daripada negara sendiri, bahkan ada yang dibunuh di dalam negara sendiri, menjadi tawanan.
Mana silap kita?
Bukankah Islam itu yang memuliakan kita?
Lantaran, apa yang mengakibatkan ummat Islam dalam keadaan begini pada hari ini?

Saudara yang budiman,
Sebelum kita jawab persoalan ini, saya suka petik beberapa ayat Al-Quran dari surah Al-Imran yang bermaksud:


"Sesungguhnya deen di sisi Allah hanyalah Islam"

"Barangsiapa mencari selain Islam sebagai deen, maka sekali-kali tidak akan diterima, bahkan dia di akhirat nanti tergolong dalam golongan yang rugi."

Apa yang kita faham daripada ayat ini?
Ayat ini menyatakan pada kita bahawa deen, sistem kehidupan yang diredhai, disukai oleh Allah hanyalah Islam. Hanya Islam sahaja....
Juga Allah nyatakan lagi, jika kita hidup selain dengan kehidupan Islam, meninggalkan Islam daripada kehidupan, maka kita adalah di kalangan orang-orang yang rugi.

Islam itu datang bersama dengan hati yang bersedia untuk tunduk dan patuh kepada arahan Allah.
Islam itu datang pada hati-hati yang bersedia untuk diserahkan kepada Allah.
Sebab itu, hanya orang yang bersedia menundukkan hatinya kepada segala perintah dan larangan Allah, maka Allah akan sediakan hatinya itu untuk menerima hidayah daripada Allah.

ISLAM ITU LENGKAP, MENYELURUH DAN BERSEPADU
Saudara yang disayangi sekalian,

Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. ini merupakan deen yang lengkap. Merupakan deen yang menyeluruh dan bersepadu. Ia mencakupi semua aspek kehidupan kita. Makan kita adalah Islam, berjalan kita adalah Islam, bercakap kita adalah Islam. Semua yang kita lakukan adalah Islam.

Bukan bernama Islam jika hanya ketika solat dan di masjid. Ataupun ketika melaksanakan rukun Islam yang lima sahaja. Bahkan Islam itu meliputi semua aspek kehidupan kita.

Sebab itu, saya sebutkan sebentar tadi, Islam ini hanya datang bersama dengan orang yang bersedia menundukkan hatinya kepada Allah. Islam menuntut kita untuk tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. setiap masa.

Dalam surah Adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud:


"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk berubudiah kepada-Ku"

Setiap detik dalam kehidupan kita perlu kita isi dengan memperhambakan diri kepada Allah. Kita perlu memahami bahawa konsep ibadah itu sangat luas. Makan kita adalah ibadah, berjalan kita adalah ibadah, bercakap kita adalah ibadah, semuanya adalah ibadah jika kita mematuhi 2 syarat utama ini:


1) Apa yang kita lakukan bertepatan dan tidak berlebihan dengan apa yang ditetapkan oleh syariat.
2) Kita ikhlas dalam amalan kita kerana Allah s.w.t.

Jika dipatuhi syarat ini, maka barulah kita akan memahami tanggungjawab sebagai muslim.

ISLAM ITU DARI SEKECIL-KECIL PERKARA HINGGA SEBESAR-BESAR PERKARA DALAM KEHIDUPAN KITA

Saudara yang dikasihi kerana Allah,
Percayakah kita pada hal ini, Islam ada daripada sekecil-kecil perkara dalam kehidupan kita hingga sebesar-besar perkara dalam kehidupan kita?
Islam itu ada contohnya dalam semua aspek kehidupan kita...

Ya, memang benar...
Islam itu merangkumi daripada SEKECIL-KECIL perkara hinggalah SEBESAR-BESAR perkara dalam kehidupan kita.
Semuanya telah diajar oleh Islam.
Masuk tandas adalah Islam.
Makan minum adalah Islam...
Berkeluarga adalah Islam...
Hinggalah kepada pentadbiran negara juga adalah Islam.

Inilah hebatnya Islam.
Sebab itulah, orang yang menolak sistem Islam dalam kehidupan adalah orang yang rugi.

"Barangsiapa yang mencari deen (cara hidup) selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima, bahkan di akhirat kelak termasuk dalam golongan yang rugi."

Dari sekecil-kecil perkara ini hinggalah sebesar-besar perkara, kita lakukan semuanya semata-mata kerana mencari REDHA ALLAH.
Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara ini, kita lakukan semuanya dengan wasilah atau jalan yang betul mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syariat Allah.


"Yang baik itu adalah apa yang dikatakan baik oleh syariat, dan yang buruk itu adalah apa yang dikatakan buruk oleh syariat."

Inilah neraca ukur kita dalam kehidupan.
Kita menilai kehidupan kita berdasarkan apa yang telah ditetapkan oleh syara'.
Kita menilai baik atau tidak berdasarkan nilaian Allah s.w.t..

Kita sekali-kali tidak boleh mengambil nilaian manusia lain dalam kehidupan.
Manusia adalah makhluk yang Allah ciptakan. Maka baik dan buruk semuanya ditentukan oleh Allah.
Tidak ada yang boleh memberi kebaikan kepada kita tanpa izin Allah.
Juga tidak ada yang memberi kemudharatan kepada kita tanpa izin Allah.

Nilaian manusia juga berubah-ubah. Hari ini, mungkin dia memuji dan menggembirakan kita.
Hari esok, mungkin dia juga yang paling menyakitkan dan menyedihkan hati kita.

Sebab itu, kita perlu mengambil nilaian Allah. Ganjaran dan balasan itu daripada Allah.
Ganjaran pahala dan masuk ke syurga, Allah yang akan beri.
Dosa, balasan dan azab neraka, Allah juga yang akan beri.
Manusia tidak ada kemampuan dan kuasa untuk beri dosa mahupun pahala kepada kita.



PENUTUP

Saudara yang dikasihi Allah,
Sebab itulah perlunya kita kepada Islam.
Inilah perkara UTAMA yang kita nak rasai dalam diri kita.Islam yang akan membahagiakan kita.
Islam jugalah yang akan membawa kita kepada kesejahteraan di akhirat nanti.

Kata Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua, Saidina Umar Al-Khattab selepas berjaya menawan Al-Quds:
"Kita telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam, jika kita mencari kemuliaan selain Islam, maka Allah pasti menghinakan kita."

Saudara sekalian,
Mari segera kita bergerak dan melangkah bersama untuk memahami dan mengambil Islam yang sebenar dalam kehidupan kita.
Wallahu a'lam.

2 comments:

Unknown March 1, 2010 at 8:58:00 AM GMT+8  

keimanan, merupakan pariority utama untuk ditegakkan. Jika hanya sekadar mengajak pi masjid, adakah semua masalah akan selesai..?

saza s March 2, 2010 at 1:33:00 PM GMT+8  

di pagi hari , disimbah dengan peringatan tentang keimanan.

rindu yang membuahkan keimanan , insyaAllah...

iman is the way towards happiness

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP