Hati Baik ... Apa tanda?
Saya pernah menonton sebuah drama bertajuk 'Cinta Sempurna'.
Drama ini mengisahkan dua orang anak yang baru pulang dari luar negara. Akidah mereka terpesong jauh menyebabkan ibu bapa mereka berusaha memanggil ustaz dan ustazah untuk memperbetulkan semula akidah anak-anak mereka.
Namun, lantaran tidak tahan dengan sikap mereka, si ustaz dan ustazah pun berputus asa sehinggalah seorang ustaz muda berjaya memikat hati mereka.
Saya nak petik satu dialog antara si anak perempuan dengan si ustaz yang sudah tua.
Dialog lebih kurang begini:
"...Pakai jubah ni adalah sunnah. Sunnah adalah apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w." kata si ustaz.
"Oh, kalau macam tu, kami ni tak ikut sunnah la. Tak pakai jubah. Saya tak pakai tudung ni kira tak ikut sunnah la." balas si anak perempuan.
"Bukan macam tu, pakai tudung itu adalah hukum Allah. Hukum Allah tu wajib. Berdosa bagi siapa yang melanggar hukum Allah."
"Orang dah tak pakai la pakaian-pakaian macam ni sekarang" kata si anak perempuan itu sambil menuding-nuding jubah dan serban si ustaz seolah-olah menyindir si ustaz..
"Kita kena ikut perkembangan la, ust. Siapa kata kami pakai macam ni tak baik? Kami ni baik je. Ust, Tuhan tu kan menilai hati manusia, bukannya luaran macam ni. Ust tengok, orang bertudung labuh pun bercouple. Orang berjubah, macam ustaz ni, bukan tak ada yang buat jahat. Ramai.." jawapan si anak perempuan ni membuatkan ustaz yang sudah tua itu marah.
Lebih kurang dialog di atas seperti dalam drama itu. Minta maaf penerbit filem kalau tersilap.
Saya petik balik sebahagian ayat dalam dialog itu:
"Tuhan tu kan menilai hati manusia, bukannya luaran macam ni."
Sebenarnya dalam realiti hidup masyarakat kita pada hari ini, wujud juga golongan yang sebegini. Bukan seorang dua, bahkan ramai. Meletakkan nilaian Allah hanya pada hati, bukan pada amal. Konsep yang salah ini akhirnya memberi kesan tidak baik kepada masyarakat kita.
Ya, memang benar. Tidak dinafikan Allah memang menilai hati kita.
Tapi janganlah kita tertipu. Hati adalah CONTROL CENTRE kepada sistem pemikiran dan perbuatan kita. Sekiranyan hati itu baik, maka seluruh pemikiran, perkataan dan perbuatan yang terjana daripada tubuh badan juga adalah baik. Jika buruk, maka buruk jugalah keseluruhannya.
Bahkan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadis yang panjang yang bermaksud:
"... Dalam diri manusia itu ada segumpal darah. Jika baik (segumpal darah itu) maka baiklah keseluruhan tubuh. Dan jika rosak (segumpal darah itu) maka rosaklah keseluruhan tubuh. Ketahuilah bahawa itu adalah hati."
Rosaknya akhlak kerana rosak hati. Melanggar perintah dan larangan Allah, pun kerana hati yang 'rosak'.
Peribadi yang tidak baik pun berpunca daripada gelapnya hati.
Bolehkah kita definisikan orang yang tidak bertudung tapi rajin membantu orang sebagai 'baik'?
Bagaimana pula orang yang rajin solat tapi merompak, adakah baik orang ini?
Kedua-duanya adalah tidak baik.
Bagaimana Allah menilai hati?
Amalan-amalan yang keluar melalui anggota tubuh badan, itulah nilaian Allah.
Hati yang baik akan perbuatan, percakapan, cara berfikir dan cara bergaul sentiasa terarah kepada kebaikan.
Hati yang busuk hala tuju dirinya juga kepada kegelapan.
Hati yang baik, apa tandanya?
Lihatlah pada tutur katanya, perbuatannya, pemikirannya dan sikapnya. Semua ini akan menggambarkan sifat hati kita. Hati yang taat dan tunduk patuh kepada Allah, maka seluruh amalnya baik dan taat kepada Allah. Jika hati ingkar pada arahan dan larangan Allah, maka seluruh amalnya juga menyimpang daripada apa yang dikehendaki oleh Allah.
Nilaian baik ialah pada neraca syariat. Bukanlah pada neraca manusia.
Kita menilai baik buruk daripada kaca mata Islam, bukan kaca mata manusia.
Kaca mata manusia selalu menipu lantaran 'terdedah' dengan hasutan syaitan dan nafsu.
Dalam satu kaedah syara' menyatakan: "Yang baik itu adalah apa yang ditetapkan baik oleh syariat dan yang buruk itu adalah apa yang ditetapkan buruk oleh syariat."
Islam cara hidup yang mulia.
Kebaikan digalakkan dan yang tidak baik untuk manusia telah dilarang oleh Islam sejak awal lagi.
Kita ambil contoh; kaedah hukum sebatan untuk penzina mengikut undang-undang Islam adalah seratus sebatan untuk orang yang masih belum berkahwin dan rejam hingga mati bagi yang sudah berkahwin. Jika kaedah ini dijalankan, maka masalah zina dalam dunia pada hari ini pasti akan berkurangan. Masalah zina meningkat pada hari ini kerana manusia menjalankan sistem hukuman lain daripada apa yang telah ditetapkan oleh syariat. Seolah-olah 100 sebatan dan rejaman itu dilihat sebagai satu kekejaman padahal belum dilaksanakan. Banyak hikmah yang akan lahir daripada mematuhi apa yang telah syariat tetapkan. Meninggalkan hukum Allah, merekacipta undang-undang sendiri, maka lihatlah natijahnya.
Jenayah dan gejala dosa berleluasa di mana-mana sahaja hari ini.
Ia seolah-olah sudah sebati dan menjadi kebiasaan masyarakat kita di negara yang kita labelkan sebagai 'negara Islam' ini.
Hati adalah bekas untuk diisi dengan IMAN, bukan dengan nafsu mahupun bisikan syaitan.
Iman tidak sekadar membekas dalam hati, tetapi memberi kesan luar biasa dalam amal kita.
Saya suka mengambil contoh sirah di zaman Rasulullah s.a.w. Sahabat-sahabat yang hidup dalam kebahagiaan dan kejayaan kerana hati mereka diisi bahkan dilimpahi dengan iman dan taqwa kepada Allah.
Apa yang mereka lakukan, semuanya di atas dasar iman. Inilah yang menjadikan mereka mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah. Saya bawakan contoh kisah Abdullah Zulbijadain (nama sebelum Islam Abd Uzza). Semata-mata nak sampaikan Islam kepada bapa saudaranya yang telah lama membelanya, beliau sanggup bertahan selama hampir 3 tahun di Makkah. Dikelilingi oleh masyarakat jahiliah, tidak ada sahabat mahupun saudara seIslam. Semuanya telah berhijrah ke Madinah kecuali beliau. 3 tahun. Bukan jangka masa yang sekejap. Tapi kerana imanlah yang menjadikan Abdullah Zulbijadain istiqamah dengan Islam. Setelah 3 tahun tidak berjaya mengajak bapa saudaranya kembali kepada Islam, beliau pun berhijrah ke Madinah. Tetapi ternyata sebelum berhijrah bapa saudaranya telah berkata:
"Hai anak saudaraku, jika engkau ingin kekayaan dan kemewahan ini terus bersama engkau, teruslah berada di sini dan kembalilah kepada agama asal nenek moyangmu. Tetapi sekiranya engkau ingin berhijrah dan bersama dengan Muhammad, maka kembalikan semua harta kekayaan yang telah engkau ambil dari aku."
Abdullah Zulbijadain memulangkan semua harta kekayaan pak ciknya. Beliau hanya membawa kain kasar yang telah dipotong dua untuk menutup bahagian depan dan belakangnya. Tiada lagi pakaian mahal, makan minum yang mewah. Sebab itulah Rasul s.a.w. menamakan beliau dengan Abdullah Zulbijadain (Hamba Allah yang mempunyai dua kain kasar).
Orang yang mempunyai hati yang mekar dengan iman di dalamnya, tidak akan tertarik dan tertipu dengan kemewahan dunia. Baginya, redha Allah serta nikmat yang Allah janjikan di Hari Kemudian adalah lebih besar.
Marilah memiliki hati yang di dalamnya penuh dengan limpahan iman. Kita akan sentiasa terpandu ke arah yang betul. Hidup akan penuh dengan kebahagiaan dan kejayaan...
0 comments:
Post a Comment