Saturday, November 28, 2009

Smart Solat



Post kali ini lebih tertumpu kepada bagaimana untuk kita melakukan pemantapan dalam ibadah khusus kita kepada Allah seharian. Kita ada 5 waktu solat fardhu sehari, tapi jika tak dilakukan dengan hati yang KHUSYUK, maka hilanglah kenikmatan dalam solat.


Bahkan syarat mukmin berjaya adalah khusyuk dalam solat sebagaimana yang telah Allah gariskan dalam ayat 1-2 surah Al-Mu'minun yang bermaksud:


"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) Mereka yang khusyuk dalam solatnya."


Kita perlu sedar bahawa perintah pensyariatan solat ini bukan semata-mata sebagai satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang beriman, bahkan ia adalah satu wasilah untuk menghubungkan hati, jasad dan akal kita directly kepada Allah s.w.t.


Seorang ulama' pernah menyebut : Solat adalah wasilah untuk kita berbual terus dengan Allah s.w.t.


    Sebab itulah, solat sepatutnya memberi kekuatan luar biasa pada orang yang melakukannya. Kerana Allah telah sebutkan beberapa ayat dalam Al-Quran yang bermaksud:


"Sesungguhnya solat itu dapat mencegah perkara kejahatan dan kemungkaran."


"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) Mereka yang khusyuk dalam solatnya."


Tetapi, majoriti masyarakat Islam pada hari ini hilang kekuatan itu. Kekuatan luar biasa daripada solat. Khusyuk adalah salah satu punca utama.


Tapi mesti ramai yang tertanya-tanya, bagaimana nak khusyuk dalam solat?
 Saya kongsikan beberapa tips untuk kita khusyuk dalam solat:


TIPS KHUSYUK DALAM SOLAT


1) Dosa adalah penghalang, mintalah keampunan


Dosa kita selalunya menjadi hijab (penghalang) untuk hati kita berhubung dengan Allah. Dosa yang berpunca daripada banyak kelalaian dan kealpaan ini mengakibatkan hati kita yang fitrahnya putih menjadi hitam diselaputi oleh dosa.


Hati menjadi gelap apabila terlalu banyak dosa dilakukan. Hati yang gelap tidak akan dapat melihat cahaya petunjuk daripada Allah s.w.t.


Banyak melakukan dosa juga menyebabkan hati kita keras, hilang kelembutannya dan sensitivitinya. Sensitif dan peka terhadap hal-hal dosa pahala. Hati akan hilang rasa takut terhadap Allah s.w.t., susah hendak mengalirkan air mata kerana banyaknya dosa yang dilakukan.


Oleh sebab itu, kita mesti keluar daripada kepompong dosa ini. Bagaimana caranya?
Mintalah keampunan daripada Allah dan bertaubat.
Taubat dalam erti kata sebenar adalah kembali kepada Allah. Kita tidak akan dapat kembali kepada Allah jika tidak dapat meninggalkan perbuatan yang berdosa. Sebab itulah, setelah memohon ampun daripada Allah, maka kita berazam bersungguh-sungguh untuk meninggalkan dosa itu dan tidak mengulanginya lagi.


2) Kemewahan dan kesenangan yang melalaikan, kurangkanlah


Dalam post yang lepas [Akan Ku Tambah Jika Kau Syukur], saya ada sebutkan ramai orang yang boleh bersabar apabila diuji dengan kesusahan, tetapi tidak ramai yang boleh bersabar apabila diuji kesenangan dan harta kekayaan.


Berada dalam kesenangan dan kemewahan mengakibatkan hati kita dilitupi oleh satu lapisan,zon yang kita sebutkan sebagai 'COMFORT ZONE' yang menghijab kita untuk lebih dekat dengan Allah. Zon ini menjadikan seseorang itu manja, hati yang tidak kuat dan tidak sabar bila diuji kesusahan. Hati yang sentiasa berada dalam 'comfort zone' ini susah untuk khusyuk dalam solat. 'comfort zone'  ini telah menyebabkan hati kita terlalu selesa dan membuatkan diri kita malas untuk bermujahadah atau bersungguh-sungguh dalam amal ibadah kita.


Tidak salah untuk memiliki kesenangan dan kemewahan kerana itu adalah hak makhluk bernama manusia. Tetapi, perlu diingat, selalu senang akan membataskan hubungan kita dengan Allah. Bila hubungan terbatas, maka sukarlah untuk mendapat kekhusyukan dalam solat.
Gunakanlah kesenangan dan kemewahan sebaiknya di jalan Allah. Maka ia tidak akan melalaikan kita. Malah apabila kita ikhlas memberi sumbangan harta kepada orang yang dalam kesusahan dan memerlukan, hati kita akan terasa lebih lapang dan luas.


 Kurangkan keselesaan kita dalam kesenangan dan kemewahan. Barulah lebih mudah hati kita khusyuk dalam solat.


3) Bacaan-bacaan dalam solat, fahamilah


Ada banyak bacaan dalam solat. Ada bacaan ketika rukuk, bacaan ketika sujud, bacaan ketika tahiyat awal dan akhir, bacaan Al-Fatihah, bacaan duduk antara dua sujud dan sebagainya.
Banyak bacaan dalam solat, tapi adakah kita memahami isi kandungan bacaan-bacaan tersebut?
Majoriti di antara kita tidak memahami apa yang dibaca dalam solat.


Sebenarnya bacaan di dalam solat ini banyak mengajar kita untuk menjadi hamba yang tunduk patuh dan menyerah diri kepada Allah. Sebagai contoh, bacaan ketika rukuk: "Maha Suci bagi Allah Yang Maha Agung serta pujian ke atas-Nya"


Jika dibaca dengan akal dan hati, maka akan terserlahlah kuasa daripada bacaan itu. Sebab itulah, orang yang solat dalam keadaan tidak memahami apa yang dibacanya, maka hatinya akan jauh daripada pemusatan fokus dalam solat. Maka bila hilang fokus, hilang juga kekhusyukan dalam solat.


Sebab itu kita boleh dengar dan lihat, ada orang yang menangis ketika solat. Kuasa bacaan itu telah terserap dalam hati mereka menjadikan mereka benar-benar menghayati suasana solat itu.


4) Buatlah persediaan sebelum solat

Solat adalah generator utama kepada iman kita. Sebab itulah pentingnya untuk kita memastikan agar solat ini dilakukan dengan baik. Tiada solat maka runtuhlah iman. Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:


"Solat adalah tiang agama"


Pentingnya melakukan persediaan sebelum solat supaya solat mampu terlaksana dengan baik dan kita juga mampu untuk khusyuk dalam melakukannya. Persediaan ini haruslah meliputi semua aspek, baik persediaan daripada aspek akal, hati dan jasad.
Persediaan daripada aspek akal, kita sudah 'set'kan dalam minda kita untuk fokus terhadap solat dan usaha memahami makna bacaan dalam solat.
Persediaan daripada aspek hati, kita beristighfar sebelum solat, minta Allah bersihkan hati kita supaya kita dapat bertemu-Nya dalam keadaan hati yang sejahtera.
Persediaan daripada aspek jasad, kita sudah memenuhi saf pertama, tidak berbual-bual lagi dengan manusia dan solat dalam keadaan badan yang bersih dan wangi.


Inilah serba sedikit antara persediaan sebelum solat. Ada banyak lagi untuk dikongsikan dalam post yang lain.

PENUTUP

Nak mendapatkan solat yang smart, maka perlulah khusyuk. Orang beriman yang berjaya itu adalah orang yang khusuk dalam solatnya. . Marilah sama-sama kita 'check' solat kita agar solat kita diterima oleh Allah swt sebagai amalan yang akan menyelamatkan kita daripada azab api neraka Allah di akhirat nanti!!! Wallahu a'lam...
Serba sedikit tips untuk post kali ini. Jika berkesempatan, akan bersambung dalam post lain, InsyaAllah...

Wednesday, November 25, 2009

Akan Ku Tambah Jika Kau Syukur


Syukur... syukur... syukur 
Ya Allah
Syukur...alhamdulillah...

Ucaplah alhamdulillah
Syukur kita kepada Allah




Teringat kepada sebuah nasyid yang pernah didendangkan oleh kumpulan nasyid terkenal tanah air, Raihan yang bertajuk "SYUKUR". Meskipun ringkas tajuknya, tapi lirik yang disampaikan penuh bermakna dan sesuai dengan praktikal yang Rasulullah anjurkan kepada kita.


Pada post kali ini, saya nak mengajak para pembaca untuk kita merenung-renung sebentar nikmat-nikmat yang berada di sekeliling kita. Cuba kita kira satu demi satu.
Nikmat mata, hidung, badan, bulu mata, nikmat berfikir, nikmat makan, minum ..... nikmat sihat...
Mampukah kita mengira semua nikmat yang berada di sekeliling kita?
Sudah tentu tidak akan termampu...
Bahkan nak menulis dan mencatat semua nikmat Allah di atas kertas pun tetap tidak akan termampu, bahkan bukan saja tidak termampu malahan walau semua lautan di dunia ini habis digunakan sebagai dakwat menulis nikmat Allah satu demi satu, tetap ada berjuta lagi nikmat-nikmat Allah yang belum tertulis.
Allah telah rakamkan hal ini dalam Al-Quran dalam surah an-Nahl ayat 18 yang bermaksud:


"18. dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Juga dalam surah Al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud:
 
" 109. Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)".
Begitu banyak nikmat Allah hingga tidak terhitung oleh manusia.
Justeru Allah tidak meminta kita untuk menghitung nikmat yang telah dikurniakan-Nya, bahkan Dia minta supaya kita mensyukuri segala nikmat yang telah Dia beri kepada kita.
 
Kenapa perlu bersyukur?
Kerana nikmat itu datang daripada Allah. Jikalau kita menerima sesuatu yang menyenangkan dan memudahkan urusan kita, sudah pasti kita akan berterima kasih kepada orang yang memberi kepada kita itu sebagai tanda penghargaan


      Begitu jugalah kita dengan Allah. Syukur adalah tanda kita menghargai pemberian dan kurniaan Allah kepada kita.


Nikmat yang ada pada kita sekarang ini boleh jadi ia adalah ujian kepada diri kita. Nikmat juga adalah natijah daripada amal soleh kita. Bagaimana yang dikatakan sebagai nikmat itu adalah ujian? Bagaimana pula nikmat menjadi natijah kepada amal soleh kita? 


NIKMAT ADALAH UJIAN


Terkadang nikmat yang Allah beri kepada kita menjadi ujian kepada diri kita. Allah mahu menguji sama ada kita akan menjadi hamba yang syukur atau kufur
Nikmat itu boleh jadi berbentuk kesenangan, kesihatan dan kekayaan.
Ramai manusia boleh bersabar apabila diuji dengan kesusahan, tetapi sedikit sekali yang bersabar apabila diuji kesenangan.
Memetik firman Allah dalam surah Al-Anbiya' ayat 35 yang bermaksud:


"Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). dan hanya kepada kamilah kamu dikembalikan."
 Juga firman Allah dalam surah Al-Fajr ayat 15-17 yang bermaksud:
 

15. Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu Dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, Maka Dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakanku".
16. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rizkinya Maka Dia berkata: "Tuhanku menghinakanku".
17. sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim


Sebab itulah, kita mesti berhati-hati dan berwaspada dengan nikmat kesenangan kerana ia boleh menjadi satu ujian buat diri kita.
Ini tidak bermakna kita tidak boleh berada dalam kesenangan.
Boleh tetapi kita perlu sentiasa berjaga-jaga agar tidak terjatuh ke landasan kufur.

Ramai orang yang kaya, tetapi kedekut untuk menyumbangkan hartanya untuk membantu saudara-saudaranya yang kesusahan di Palestin dan negara-negara Islam lain.


Kalau beri pun, sedikit sangat berbanding hasil pendapatannnya yang begitu lumayan. Saya beri contoh.Kadang-kadang ada yang berpendapatan RM 1 000 000 dalam masa sebulan.Tapi yang dikeluarkan untuk sumbangan cuma RM1. Agak-agak berapa peratus yang dia telah keluarkan untuk sumbangan?
Tak sampai satu peratus pun... 
Ada yang kata biar sikit tapi ikhlas berbanding beri banyak tapi tak ikhlas....
Tapi kita tak rasa ke RM1 tu sikit sangat? Berbanding dengan RM 1 juta tu? 
1 yang tak ada angka kosong belakangnya dengan 1 yang ada 6 kosong belakangnya....Mana lebih besar?
Tak berbaloi la... Kalau sejuta keluar seringgit, lebihan wang kita ke mana kita gunakan...
Tak mahukah kita dengan apa yang Nabi janjikan?
Apa yang kita sumbangkan ni akan berkekalan nilainya di akhirat? Bukan setakat di dunia... Tapi yang kita gunakan untuk diri sendiri hanya akan kekal di dunia sahaja, tiada nilai di akhirat nanti. 
Apa yang kita berikan dan sumbangkan melambangkan syukur kita kepada Allah... Tambah pula kalau kita beri dan sumbang dengan hati yang ikhlas... Pasti besar ganjaran untuk kita...
Allah telah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:
"Sekiranya kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah (pemberian-Ku) kepada kamu, tetapi sekiranya kamu kufur sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih"



NIKMAT SEBAGAI BUAH AMAL SOLEH

Allah akan memberi ganjaran segera kepada hamba-Nya yang taat dan tunduk kepada-Nya di dunia. Ganjaran ini tidaklah meliputi ganjaran mutlak, bahkan ini adalah sebahagian daripada ganjaran kebaikan yang diterima oleh manusia yang taat dan patuh kepada Allah.
Ganjaran yang sebenar di akhirat kelak. Allah akan melimpahkan ganjaran kebaikan di akhirat kelak yang tidak terkira kepada hamba-Nya yang soleh. 
Mari kita lihat beberapa firman Allah dalam surah An-Nahl yang bermaksud:
30. dan dikatakan kepada orang-orang yang bertakwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?" mereka menjawab: "(Allah telah menurunkan) kebaikan". orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. dan Sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan Itulah Sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa,
 Dalam ayat yang lain:
41. dan orang-orang yang berhijrah karena Allah sesudah mereka dianiaya, pasti Kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan Sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui,
Allah sebut lagi dalam surah yang sama:
97. Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam Keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Sesungguhnya akan Kami beri Balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.



Inilah sifat Allah kepada hamba-hamba-Nya.
Kita buat kebaikan sikit, banyak ganjaran yang diberikan.
Inilah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya. Allah Yang Maha Kuasa. Allah Yang Maha Baik ke atas hamba-hamba-Nya.
Marilah kita zahirkan kesyukuran dalam segenap kehidupan kita melalui hati, lisan dan perbuatan kita.
Taat kepada segala perintah Allah dan tinggalkan segala larangan-Nya.
Barulah Allah akan redha kepada kita!!!



Hati Baik ... Apa tanda?

Saya pernah menonton sebuah drama bertajuk 'Cinta Sempurna'.
Drama ini mengisahkan dua orang anak yang baru pulang dari luar negara. Akidah mereka terpesong jauh menyebabkan ibu bapa mereka berusaha memanggil ustaz dan ustazah untuk memperbetulkan semula akidah anak-anak mereka.
Namun, lantaran tidak tahan dengan sikap mereka, si ustaz dan ustazah pun berputus asa sehinggalah seorang ustaz muda berjaya memikat hati mereka.
Saya nak petik satu dialog antara si anak perempuan dengan si ustaz yang sudah tua.
Dialog lebih kurang begini:

"...Pakai jubah ni adalah sunnah. Sunnah adalah apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w." kata si ustaz.
"Oh, kalau macam tu, kami ni tak ikut sunnah la. Tak pakai jubah. Saya tak pakai tudung ni kira tak ikut sunnah la." balas si anak perempuan.
"Bukan macam tu, pakai tudung itu adalah hukum Allah. Hukum Allah tu wajib. Berdosa bagi siapa yang melanggar hukum Allah."
"Orang dah tak pakai la pakaian-pakaian macam ni sekarang" kata si anak perempuan itu sambil menuding-nuding jubah dan serban si ustaz seolah-olah menyindir si ustaz..
"Kita kena ikut perkembangan la, ust. Siapa kata kami pakai macam ni tak baik? Kami ni baik je. Ust, Tuhan tu kan menilai hati manusia, bukannya luaran macam ni. Ust tengok, orang bertudung labuh pun bercouple. Orang berjubah, macam ustaz ni, bukan tak ada yang buat jahat. Ramai.." jawapan si anak perempuan ni membuatkan ustaz yang sudah tua itu marah.

Lebih kurang dialog di atas seperti dalam drama itu. Minta maaf penerbit filem kalau tersilap.
Saya petik balik sebahagian ayat dalam dialog itu:
"Tuhan tu kan menilai hati manusia, bukannya luaran macam ni."
Sebenarnya dalam realiti hidup masyarakat kita pada hari ini, wujud juga golongan yang sebegini. Bukan seorang dua, bahkan ramai. Meletakkan nilaian Allah hanya pada hati, bukan pada amal. Konsep yang salah ini akhirnya memberi kesan tidak baik kepada masyarakat kita.

Ya, memang benar. Tidak dinafikan Allah memang menilai hati kita.
Tapi janganlah kita tertipu. Hati adalah CONTROL CENTRE kepada sistem pemikiran dan perbuatan kita. Sekiranyan hati itu baik, maka seluruh pemikiran, perkataan dan perbuatan yang terjana daripada tubuh badan juga adalah baik. Jika buruk, maka buruk jugalah keseluruhannya.

Bahkan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadis yang panjang yang bermaksud:

"... Dalam diri manusia itu ada segumpal darah. Jika baik (segumpal darah itu) maka baiklah keseluruhan tubuh. Dan jika rosak (segumpal darah itu) maka rosaklah keseluruhan tubuh. Ketahuilah bahawa itu adalah hati."

Rosaknya akhlak kerana rosak hati. Melanggar perintah dan larangan Allah, pun kerana hati yang 'rosak'.
Peribadi yang tidak baik pun berpunca daripada gelapnya hati.

Bolehkah kita definisikan orang yang tidak bertudung tapi rajin membantu orang sebagai 'baik'?

Bagaimana pula orang yang rajin solat tapi merompak, adakah baik orang ini?

Kedua-duanya adalah tidak baik.
Bagaimana Allah menilai hati?
Amalan-amalan yang keluar melalui anggota tubuh badan, itulah nilaian Allah.
Hati yang baik akan perbuatan, percakapan, cara berfikir dan cara bergaul sentiasa terarah kepada kebaikan.
Hati yang busuk hala tuju dirinya juga kepada kegelapan.

Hati yang baik, apa tandanya?
Lihatlah pada tutur katanya, perbuatannya, pemikirannya dan sikapnya. Semua ini akan menggambarkan sifat hati kita. Hati yang taat dan tunduk patuh kepada Allah, maka seluruh amalnya baik dan taat kepada Allah. Jika hati ingkar pada arahan dan larangan Allah, maka seluruh amalnya juga menyimpang daripada apa yang dikehendaki oleh Allah.

Nilaian baik ialah pada neraca syariat. Bukanlah pada neraca manusia.
Kita menilai baik buruk daripada kaca mata Islam, bukan kaca mata manusia.
Kaca mata manusia selalu menipu lantaran 'terdedah' dengan hasutan syaitan dan nafsu.

Dalam satu kaedah syara' menyatakan: "Yang baik itu adalah apa yang ditetapkan baik oleh syariat dan yang buruk itu adalah apa yang ditetapkan buruk oleh syariat."

Islam cara hidup yang mulia.
Kebaikan digalakkan dan yang tidak baik untuk manusia telah dilarang oleh Islam sejak awal lagi.
Kita ambil contoh; kaedah hukum sebatan untuk penzina mengikut undang-undang Islam adalah seratus sebatan untuk orang yang masih belum berkahwin dan rejam hingga mati bagi yang sudah berkahwin. Jika kaedah ini dijalankan, maka masalah zina dalam dunia pada hari ini pasti akan berkurangan. Masalah zina meningkat pada hari ini kerana manusia menjalankan sistem hukuman lain daripada apa yang telah ditetapkan oleh syariat. Seolah-olah 100 sebatan dan rejaman itu dilihat sebagai satu kekejaman padahal belum dilaksanakan. Banyak hikmah yang akan lahir daripada mematuhi apa yang telah syariat tetapkan. Meninggalkan hukum Allah, merekacipta undang-undang sendiri, maka lihatlah natijahnya.
Jenayah dan gejala dosa berleluasa di mana-mana sahaja hari ini.
Ia seolah-olah sudah sebati dan menjadi kebiasaan masyarakat kita di negara yang kita labelkan sebagai 'negara Islam' ini.

Hati adalah bekas untuk diisi dengan IMAN, bukan dengan nafsu mahupun bisikan syaitan.
Iman tidak sekadar membekas dalam hati, tetapi memberi kesan luar biasa dalam amal kita.

Saya suka mengambil contoh sirah di zaman Rasulullah s.a.w. Sahabat-sahabat yang hidup dalam kebahagiaan dan kejayaan kerana hati mereka diisi bahkan dilimpahi dengan iman dan taqwa kepada Allah.

Apa yang mereka lakukan, semuanya di atas dasar iman. Inilah yang menjadikan mereka mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah. Saya bawakan contoh kisah Abdullah Zulbijadain (nama sebelum Islam Abd Uzza). Semata-mata nak sampaikan Islam kepada bapa saudaranya yang telah lama membelanya, beliau sanggup bertahan selama hampir 3 tahun di Makkah. Dikelilingi oleh masyarakat jahiliah, tidak ada sahabat mahupun saudara seIslam. Semuanya telah berhijrah ke Madinah kecuali beliau. 3 tahun. Bukan jangka masa yang sekejap. Tapi kerana imanlah yang menjadikan Abdullah Zulbijadain istiqamah dengan Islam. Setelah 3 tahun tidak berjaya mengajak bapa saudaranya kembali kepada Islam, beliau pun berhijrah ke Madinah. Tetapi ternyata sebelum berhijrah bapa saudaranya telah berkata:

"Hai anak saudaraku, jika engkau ingin kekayaan dan kemewahan ini terus bersama engkau, teruslah berada di sini dan kembalilah kepada agama asal nenek moyangmu. Tetapi sekiranya engkau ingin berhijrah dan bersama dengan Muhammad, maka kembalikan semua harta kekayaan yang telah engkau ambil dari aku."

Abdullah Zulbijadain memulangkan semua harta kekayaan pak ciknya. Beliau hanya membawa kain kasar yang telah dipotong dua untuk menutup bahagian depan dan belakangnya. Tiada lagi pakaian mahal, makan minum yang mewah. Sebab itulah Rasul s.a.w. menamakan beliau dengan Abdullah Zulbijadain (Hamba Allah yang mempunyai dua kain kasar).






     
       Orang yang mempunyai hati yang mekar dengan iman di dalamnya, tidak akan tertarik dan tertipu dengan kemewahan dunia. Baginya, redha Allah serta nikmat yang Allah janjikan di Hari Kemudian adalah lebih besar.

Marilah memiliki hati yang di dalamnya penuh dengan limpahan iman. Kita akan sentiasa terpandu ke arah yang betul. Hidup akan penuh dengan kebahagiaan dan kejayaan...

Sunday, November 22, 2009

KMK Wilayah Utara






Kepada semua pembaca (Tingkatan 1-4) dijemput untuk menyertai Kem Minda Kreatif Wilayah Utara Kali Ke-14. Butiran adalah seperti berikut:

Tempat   :  Pusat Latihan Kokurikulum Pulau Pinang (PULAKOPP)
Tarikh    :  4 -6 Disember 2009
Penyertaan : Terbuka kepada pelajar sekolah menengah Tingkatan1 hingga 4
Anjuran : Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) dengan kerjasama HALUAN
Bayaran : RM 30 seorang
               RM 50 2 orang per keluarga
               RM 70 3 orang per keluarga

Sila bawa bersama anda:
Keperluan diri : Pakaian selama 3 hari 2 malam
                          Al-Quran
                          Kasut dan pakaian riadhah/sukan
                          Lampu suluh
                          Baju tebal
                          Alat tulis

Keperluan makan minum : sardin, beras, biskut, ikan bilis, telur, minyak masak, gula, garam, teh, air mineral
Keperluan kesihatan : mask, ubat-ubatan (jika anda sakit)

Peringatan : Pelajar yang tidak sihat yang mempunyai selsema, batuk dan tanda-tanda penyakit H1N1     dinasihatkan agar tidak menghadirkan diri.


Hubungi segera untuk maklumat lanjut dan penyertaan!!!
(Sila rujuk brochure yang telah diletakkan di atas untuk mengetahui maklumat lebih detail)

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP