Wednesday, June 3, 2009

Nadwah Kepimpinan MATRI 2009 (NADI '09)


Alhamdulillah, sekitar 29 hingga 31 Mei 2009, Jumaat hingga Sabtu yang lalu, sebuah program bersama antara pelajar lepasan MATRI dan pelajar MATRI berjaya dilaksanakan. Program yang julung-julung kali diadakan ini bagi saya merupakan satu program yang berjaya. Meskipun mempunyai beberapa kelemahan dan kekurangan yang berlaku sepanjang program, namun saya tidak menafikan bahawasanya terdapat banyak kebaikan dan manfaat daripada program ini.


Bertunjangkan kepada motto MATRI sendiri:

' Ulama' pewaris Nabi '

Maka program bersama ini dirancang dan dianjurkan. Melihat kepada pentingnya kesinambungan dakwah dan tarbiyah dalam perencanaan kehidupan pelajar MATRI, abang-abang lepasan MATRI sebahagiannya mengambil inisiatif untuk turun merancang bersama dengan beberapa kepimpinan pelajar MATRI. Program bersama ini dianjurkan untuk kepimpinan pelajar MATRI khususnya.

"Integrasi Asas Legasi"

Itulah motto NADI' 09. Diadaptasi daripada kata-kata seorang mujahid Islam. Kesatuan asas pewarisan. Memang benar, dalam kepimpinan ukhuwah adalah aspek penting yang tidak boleh diabaikan. Hilangnya ukhuwah akan mengakibatkan kepincangan dalam kepimpinan.

Kita melihat pentingnya untuk pelajar MATRI terus mewarisi apa yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan mereka pada masa-masa sekarang dan akan datang. Justeru, hendak memastikan pewarisan ini terus berlaku, maka perlulah dimulai dalam diri pemimpin itu sendiri.

Pemimpin yang baik dan sedar adalah pemimpin yang taat kepada Allah dan Rasul.
Bahkan dalam firman Allah sendiri telah mensyaratkan bahawa ketaatan kepada pemimpin itu hanyalah jika pemimpin itu seorang yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Dalam kepimpinan, kita tidak sekadar membawa syiar untuk mengajak 'rakyat' di bawah kepimpinan kita melakukan kebaikan. Bahkan kita mengajak dan mendidik untuk menjadi seorang hamba yang taat dan takut kepada Allah s.w.t. Didikan yang kita bawa semuanya berteraskan apa yang diajar oleh Rasul s.a.w.

Nametag Peserta


Lantaran itu, Nadwah Kepimpinan MATRI 2009 (NADI '09) kali ini mensasarkan kepimpinan MATRI sebagai peserta untuk bersama dengan beberapa orang lepasan MATRI. Program ini selain menerapkan konsep ice breaking, ia juga dirancang untuk pemantapan fikrah dan penyelarasan pengorganisasian di MATRI.

Alhamdulillah, peserta baik daripada lelaki mahupun perempuan memberi komitmen dan kesungguhan yang tinggi dalam menjayakan program ini. Kedatangan abang-abang dan kakak-kakak lepasan dari jauh juga membawa bersama seribu harapan dan kenangan kepada adik-adik peserta yang terlibat dalam program ini. Apapun, yang kita harapkan adalah komitmen diri untuk terus kekal dalam dakwah dan tarbiyah baik di dalam MATRI mahupun di luar. Bukan sahaja kepada kepimpinan MATRI, bahkan kepada semua sekali pelajar MATRI.

Allah beri peluang beramal cuma sekali di dunia ini. Janganlah rugikan peluang ini.

Syed Qutb pernah menyebut:

"Orang yang hidupnya untuk akidah ini (Islam), kehidupannya luas dan panjang"

Piihlah untuk diri kita kehidupan yang bahagia. Bukan kebahagiaan dunia semata-mata, bahkan kebahagiaan di akhirat.

Wallahu a'lam.

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP