Sunday, February 28, 2010

Islam Dalam Kehidupan - Menuju Bahagia

Saudara-saudara yang dikasihi Allah s.w.t.,

         Pertamanya, kita panjatkan rasa syukur tidak terhingga, besarnya rahmat Allah s.w.t. yang meletakkan kita dalam barisan muslimin. Selawat dan salam juga kepada junjungan Rasul s.a.w., kerja keras, titik peluh dan darah baginda dan para sahabat yang memungkinkan kita pada hari ini untuk merasai dan menikmati Islam.

ISLAM ...
Inilah sinar yang membawa kebahagiaan kepada umat manusia satu masa dulu. Menyinari dunia yang dalam kegelapan jahiliyah. Sinar yang memberi kehidupan kepada hati, yang menjadikan bumi ini bercahaya daripada asalnya berada dalam kegelapan dan kemalapan zaman Jahiliyah.

Islam membawa suatu perubahan yang besar ke atas dunia ini. Meletakkan ummatnya di barisan-barisan kemuliaan. Mulia kerana tunduk dan patuh pada Allah s.w.t. Mulia kerana menerima apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w. dengan sepenuh hati. Bahkan kemuliaan inilah yang telah menyebabkan umat Islam dianugerahkan hampir 2/3 bumi, dikuasai dan ditadbir oleh sistem pemerintahan Islam.

Namun,
Hari ini sebaliknya yang berlaku. Ummat ini adalah ummat yang paling hina di dunia. Dilabel sebagai pengganas, bahkan dihinjak dan direndah-rendahkan oleh masyarakat kuffar.

Di mana kesilapan kita sebenarnya?
Hina sehingga begitu sekali, diusir daripada negara sendiri, bahkan ada yang dibunuh di dalam negara sendiri, menjadi tawanan.
Mana silap kita?
Bukankah Islam itu yang memuliakan kita?
Lantaran, apa yang mengakibatkan ummat Islam dalam keadaan begini pada hari ini?

Saudara yang budiman,
Sebelum kita jawab persoalan ini, saya suka petik beberapa ayat Al-Quran dari surah Al-Imran yang bermaksud:


"Sesungguhnya deen di sisi Allah hanyalah Islam"

"Barangsiapa mencari selain Islam sebagai deen, maka sekali-kali tidak akan diterima, bahkan dia di akhirat nanti tergolong dalam golongan yang rugi."

Apa yang kita faham daripada ayat ini?
Ayat ini menyatakan pada kita bahawa deen, sistem kehidupan yang diredhai, disukai oleh Allah hanyalah Islam. Hanya Islam sahaja....
Juga Allah nyatakan lagi, jika kita hidup selain dengan kehidupan Islam, meninggalkan Islam daripada kehidupan, maka kita adalah di kalangan orang-orang yang rugi.

Islam itu datang bersama dengan hati yang bersedia untuk tunduk dan patuh kepada arahan Allah.
Islam itu datang pada hati-hati yang bersedia untuk diserahkan kepada Allah.
Sebab itu, hanya orang yang bersedia menundukkan hatinya kepada segala perintah dan larangan Allah, maka Allah akan sediakan hatinya itu untuk menerima hidayah daripada Allah.

ISLAM ITU LENGKAP, MENYELURUH DAN BERSEPADU
Saudara yang disayangi sekalian,

Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. ini merupakan deen yang lengkap. Merupakan deen yang menyeluruh dan bersepadu. Ia mencakupi semua aspek kehidupan kita. Makan kita adalah Islam, berjalan kita adalah Islam, bercakap kita adalah Islam. Semua yang kita lakukan adalah Islam.

Bukan bernama Islam jika hanya ketika solat dan di masjid. Ataupun ketika melaksanakan rukun Islam yang lima sahaja. Bahkan Islam itu meliputi semua aspek kehidupan kita.

Sebab itu, saya sebutkan sebentar tadi, Islam ini hanya datang bersama dengan orang yang bersedia menundukkan hatinya kepada Allah. Islam menuntut kita untuk tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. setiap masa.

Dalam surah Adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud:


"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk berubudiah kepada-Ku"

Setiap detik dalam kehidupan kita perlu kita isi dengan memperhambakan diri kepada Allah. Kita perlu memahami bahawa konsep ibadah itu sangat luas. Makan kita adalah ibadah, berjalan kita adalah ibadah, bercakap kita adalah ibadah, semuanya adalah ibadah jika kita mematuhi 2 syarat utama ini:


1) Apa yang kita lakukan bertepatan dan tidak berlebihan dengan apa yang ditetapkan oleh syariat.
2) Kita ikhlas dalam amalan kita kerana Allah s.w.t.

Jika dipatuhi syarat ini, maka barulah kita akan memahami tanggungjawab sebagai muslim.

ISLAM ITU DARI SEKECIL-KECIL PERKARA HINGGA SEBESAR-BESAR PERKARA DALAM KEHIDUPAN KITA

Saudara yang dikasihi kerana Allah,
Percayakah kita pada hal ini, Islam ada daripada sekecil-kecil perkara dalam kehidupan kita hingga sebesar-besar perkara dalam kehidupan kita?
Islam itu ada contohnya dalam semua aspek kehidupan kita...

Ya, memang benar...
Islam itu merangkumi daripada SEKECIL-KECIL perkara hinggalah SEBESAR-BESAR perkara dalam kehidupan kita.
Semuanya telah diajar oleh Islam.
Masuk tandas adalah Islam.
Makan minum adalah Islam...
Berkeluarga adalah Islam...
Hinggalah kepada pentadbiran negara juga adalah Islam.

Inilah hebatnya Islam.
Sebab itulah, orang yang menolak sistem Islam dalam kehidupan adalah orang yang rugi.

"Barangsiapa yang mencari deen (cara hidup) selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima, bahkan di akhirat kelak termasuk dalam golongan yang rugi."

Dari sekecil-kecil perkara ini hinggalah sebesar-besar perkara, kita lakukan semuanya semata-mata kerana mencari REDHA ALLAH.
Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara ini, kita lakukan semuanya dengan wasilah atau jalan yang betul mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syariat Allah.


"Yang baik itu adalah apa yang dikatakan baik oleh syariat, dan yang buruk itu adalah apa yang dikatakan buruk oleh syariat."

Inilah neraca ukur kita dalam kehidupan.
Kita menilai kehidupan kita berdasarkan apa yang telah ditetapkan oleh syara'.
Kita menilai baik atau tidak berdasarkan nilaian Allah s.w.t..

Kita sekali-kali tidak boleh mengambil nilaian manusia lain dalam kehidupan.
Manusia adalah makhluk yang Allah ciptakan. Maka baik dan buruk semuanya ditentukan oleh Allah.
Tidak ada yang boleh memberi kebaikan kepada kita tanpa izin Allah.
Juga tidak ada yang memberi kemudharatan kepada kita tanpa izin Allah.

Nilaian manusia juga berubah-ubah. Hari ini, mungkin dia memuji dan menggembirakan kita.
Hari esok, mungkin dia juga yang paling menyakitkan dan menyedihkan hati kita.

Sebab itu, kita perlu mengambil nilaian Allah. Ganjaran dan balasan itu daripada Allah.
Ganjaran pahala dan masuk ke syurga, Allah yang akan beri.
Dosa, balasan dan azab neraka, Allah juga yang akan beri.
Manusia tidak ada kemampuan dan kuasa untuk beri dosa mahupun pahala kepada kita.



PENUTUP

Saudara yang dikasihi Allah,
Sebab itulah perlunya kita kepada Islam.
Inilah perkara UTAMA yang kita nak rasai dalam diri kita.Islam yang akan membahagiakan kita.
Islam jugalah yang akan membawa kita kepada kesejahteraan di akhirat nanti.

Kata Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua, Saidina Umar Al-Khattab selepas berjaya menawan Al-Quds:
"Kita telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam, jika kita mencari kemuliaan selain Islam, maka Allah pasti menghinakan kita."

Saudara sekalian,
Mari segera kita bergerak dan melangkah bersama untuk memahami dan mengambil Islam yang sebenar dalam kehidupan kita.
Wallahu a'lam.

Saturday, February 27, 2010

Kasih Murabbi Agung Ummat


  

Para pembaca yang dirahmati Allah,

Mari bersama hari ini kita menghayati dan menyelami pengorbanan serta perjuangan insan yang membawa deen (Islam) ini kepada kita. Kita sangat bersyukur kerana hari ini terus-menerus Allah memberi kita nikmat ini: IMAN dan ISLAM.

Bukan mudah hakikatnya untuk sampai ke tangan kita kedua-dua nikmat ini. Ia berjaya sampai kepada kita pada hari ini adalah hasil daripada usaha, pengorbanan dan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w., insan yang tidak pernah putus asa dan penat dalam menyampaikan dakwah, Nabi yang sangat kasih dan prihatin pada nasib ummatnya.

Hari ini...,
dan hari-hari yang seterusnya....
Marilah kita belajar MENCINTAI baginda dengan sepenuh hati kita...
Mari sama-sama juga kita belajar untuk MENCONTOHI Nabi....

Keringat yang dialirkan oleh baginda, titisan darah yang mengalir ketika Perang Uhud, susah -payah berhijrah ke Madinah, sabar menerima tekanan dan seksaan kaum Musyrikin dan pelbagai macam lagi derita yang dilalui baginda tidak lain dan tidak bukan SEMUA itu adalah untuk KITA... UNTUK KITA ...

Semata-mata untuk pastikan ummatnya ini selamat dan sejahtera di hadapan Allah s.w.t. di akhirat nanti, maka segala halangan dan derita sanggup ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w.
Tidak ada apa yang lain lebih berharga bagi Rasul s.a.w. melainkan ummatnya bersama-samanya di akhirat nanti, bersama dalam syurga Allah yang nikmatnya seluas langit dan bumi itu.

Bahkan dalam satu peristiwa, sewaktu awal Islam...
Ketika Islam masih baru tersebar di Makkah, Rasul s.a.w. melakukan solat di depan Kaabah.
Pembesar Musyrikin Quraisy,yang juga bapa saudara baginda, Abu Jahal yang begitu dengki pada Rasulullah benci melihat Rasul s.a.w. solat di depan orang ramai di Kaabah.
Kebenciannya itu menyebabkan dia bertindak mengambil perut unta serta meletakkannya di atas leher Nabi ketika baginda sedang sujud.

MasyaAllah!!!
Bayangkan pembaca sekalian, 
Najis yang keluar dari perut kita dalam masa sehari pun sudah tidak terkira busuknya, inikan pula unta yang disimpan dalam badannya itu makanan dan minuman sebagai bekalan selama dua bulan...

Tidak cukup setakat itu, Musyrikin Quraisy mencaci maki Nabi s.a.w. di khalayak ramai. Menghina dan memfitnah Nabi sebagai tukang sihir, orang gila, dan sebagainya. Mereka tidak pernah berhenti dan berputus asa merancang dan berkonspirasi untuk menghentikan dakwah Nabi s.a.w.

Bahkan tetamu-tetamu yang hadir ketika musim ziarah ke Makkah pun sudah siap menerima perkhabaran daripada musyrikin Quraisy tentang Nabi s.a.w. 

Tapi, adakah Nabi berhenti dan berputus asa dengan semua itu?
TIDAK.... TIDAK SEKALI....
Bahkan semua itu dihadapi Nabi dengan sabar dan penuh kekuatan daripada Allah.
Baginda terus menyampaikan dakwah, menyampaikan Islam kepada orang ramai.
Semakin hari, semakin ramai yang memeluk Islam. 
Berita ini mengakibatkan bertambah-tambah marah musyrikin Quraisy pada Nabi.
Maka bertambah jahat pula konspirasi untuk menjatuhkan Nabi....

Mereka tawarkan Nabi dengan harta, wanita dan takhta tapi semua itu ditolak oleh Nabi.
Bahkan mereka melaksanakan pula PEMULAUAN ke atas umat Islam. Selama hampir 3 tahun lamanya umat Islam bertahan diboikot oleh kafir Quraisy. Mereka tidak boleh membeli makanan, tidak boleh berhubung dengan orang ramai dan pelbagai lagi seksaan. Semuanya bertujuan menghentikan dakwah Nabi s.a.w.

Namun, Nabi s.a.w. tetap SABAR...
Usaha untuk sampaikan ISLAM tetap diteruskan...

Para pembaca sekalian,

Lihatlah akan kegigihan Nabi untuk kita....
Nak pastikan kita ini selamat bersamanya di akhirat nanti, sebab itulah baginda menempuh kesukaran-kesukaran ini...

Dalam Perang Uhud, Nabi diserang hingga berdarah...
Hingga timbul pengkhabaran yang mengatakan Nabi sudah wafat, tapi hakikatnya tidak benar.

Susah-payah Rasul s.a.w. menggali parit ketika Perang Khandak bersama para sahabat...
MasyaAllah....banyak sekali pengorbanan baginda untuk kita...

Bahkan ketika hampir wafat pun, baginda masih bertanya kepada malaikat tentang keadaan ummatnya. Bahkan bukan setakat itu, baginda minta pula untuk ditanggung seluruh kesakitan ketika sakaratul maut yang akan dilalui ummatnya. Baginda minta juga balasan untuk ummatnya ditangguhkan ke hari akhirat nanti.
Ucapan yang tidak pernah lekang daripada mulutnya ketika hampir wafat "Ummati ! Ummati ! Ummati !".
Mengingatkan nasib ummatnya di akhirat nanti menyebabkan baginda mengulang-ulang,"UMMATKU....UMMATKU...UMMATKU"
  
  
Tapi sayang sekali....,
Begitu sedikit sekali di antara kita pada hari ini menghargai penat lelah Nabi ini,
Tidak ramai yang CINTA pada Nabi s.a.w.,
Bahkan ada pula yang tidak mengenalinya....
Lalu layakkah kita ini menjadi sebahagian daripada ummat baginda?

 
Nabi s.a.w. tidak pernah minta balasan daripada kita atas susah-payahnya itu.
Baginda cuma mahu agar kita semua berusaha mengikutinya...
Menggapai REDHA dan CINTA ALLAH dalam kehidupan...
Mendekati SYURGA-NYA...
Menjauhkan dan menyelamatkan diri kita daripada AZAB dan MURKA-NYA...
Menyelamatkan diri daripada seksa NERAKA....

Baginda tidak pernah minta balasan wang ringgit dan sebagainya.
Bahkan apa yang ditawarkan oleh kafir Quraisy pun ditolak oleh baginda.
Malaikat juga pernah menawarkan baginda sama ada baginda mahu menjadi Rasul Saudagar atau Rasul Hamba. Jika baginda pilih menjadi Rasul Saudagar, maka baginda akan menjadi kaya-raya dengan harta hasil usaha dakwah baginda, tapi jika baginda memilih menjadi Rasul Hamba, maka segala balasan di akhirat kelak. Maka baginda memilih menjadi seorang Rasul Hamba.
Lalu, masih ada halangan apa yang menjadi tembok kepada diri kita untuk mencintai dan mencontohi Rasul s.a.w. dalam kehidupan kita?

Bahkan Allah s.w.t. telah firmankan dalam Al-Quran yang bermaksud:

" Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh terbaik kepada sesiapa yang berharap kepada Allah dan hari akhirat."

Apa jua dalam kehidupan Rasulullah s.a.w., semuanya adalah baik. Semuanya merupakan contoh untuk diri kita. Sebab itu beruntunglah orang-orang yang cinta pada Rasul. Tapi tidak cukup setakat CINTA, mari kita hidupkan SUNNAH Rasul dalam kehidupan kita.
Marilah kita mengambil ISLAM sebagai deen kita, sebagai cara hidup kita.
Marilah hidup dengan faham tanggungjawab terhadap kita sebagai MUSLIM.

Kita bukan setakat mahu 'mencintai' Rasul ketika hari Sambutan Maulidur Rasul sahaja, bahkan cinta kita kepada baginda bertambah-tambah setiap hari dan bertambah pula amalan dan kefahaman kita dengan Islam.

Orang yang hanya ingat kepada Nabi pada hari perayaan seperti ini sahaja, maka bohonglah jika dia mengatakan dia cinta pada Rasul. Hakikatnya, cinta tidak boleh disemai dalam sehari sahaja, bahkan subur pula cinta itu dalam sehari. Sangat mustahil.

Tanda kita mencintai Rasul apabila kita mengambil ISLAM dalam segenap kehidupan kita. Apabila kita hidup berpaksikan kepada mengambil apa yang Allah suruh, dan tinggalkan apa yang Allah larang, maka barulah layak untuk kita ini digelar sebagai orang yang berusaha mencintai Rasul s.a.w.


Mari muhasabah diri kita, pembaca sekalian....
Bagaimanakah kita menghayati, menghargai pengorbanan dan perjuangan Rasul s.a.w. untuk ummatnya dalam kehidupan kita?
Sudahkah kita memahami dengan sebenarnya tuntutan dan tanggungjawab kita sebagai seorang ISLAM?
Tepuk dada, tanya iman...

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP