Monday, December 21, 2009

Sistem Pendidikan Yang Telah Hilang


" Pokok yang kering, gersang tiada manfaat kepada hidupan lain, melainkan menjadi tempat persinggahan burung, manusia yang kering, gersang daripada sistem didikan Islam, tiada manfaat kepada manusia lain melainkan manfaatnya itu sedikit nilainya..."


"Ummat berada dalam jurang kehancuran"

As-Syahid Sayyid Qutb, mujahid Islam telah memulakan tulisannya dalam buku Ma'alim Fit Thoriq (Petunjuk Sepanjang Jalan) dengan kata-kata itu. Pada hari ini, ummat manusia khususunya ummat Islam terdedah kepada jurang KEHANCURAN. Bukannya hancur disebabkan bencana alam, tetapi hancur di sini disebabkan oleh BENCANA yang melanda jiwa, pemikiran dan tingkah laku manusia. Bencana yang menghilangkan kekuatan yang satu masa dahulu adalah kebanggaan bagi orang-orang beriman.

Ummat Islam yang satu masa dahulu pernah menakluki 2/3 dunia, menawan hampir seluruh pelusuk bumi, tapi kini dimalukan dan dihinakan. Kenapa berlaku begini?
Bukankah ummat Islam satu ketika dahulu adalah ummat yang digeruni, disegani dan dihormati oleh musuh? Hari ini sebaliknya yang berlaku pada ummat Islam. Bahkan ummat Islam bukan sahaja lagi tidak digeruni dan dihormati, bahkan dihina, difitnah dan dipijak-pijak.

Inilah bencana yang melanda ummat yang telah dirisaukan oleh Rasulullah s.a.w. dalam satu hadisnya yang mafhumnya bermaksud:

Dari Tsauban r.a. maula Rasulullah s.a.w. baginda telah bersabda:

Akan terjadi keadaaan yang mana ummat-ummat lain akan mengerumuni kalian bagai orang-orang yang makan mengerumuni makanannya.

Salah seorang sahabat bertanya : Apakah kerana kami sedikit ketika itu?

Bahkan kalian banyak ketika itu, tapi kalian bagaikan ghusa' (buih yang dihanyutkan air banjir). Allah telah mencabut rasa takut musuh kalian terhadap kalian dan mencampakkan kepada kalian penyakit al-wahn.

Maka sahabat bertanya : Apakah al-wahn itu, wahai Rasulullah?

Rasulullah menjawab : Cintakan dunia dan takutkan mati.

(HR Abu Daud dan Ahmad)

Bencana yang melanda ummat Islam pada hari ini benar-benar berlaku sebagaimana yang pernah disebut Rasulullah s.a.w. CINTA DUNIA dan TAKUT MATI.

     Mari kita lihat dan kaji dengan penuh ketelitian. Kehidupan ummat manusia pada hari ini dibelenggu oleh satu sistem yang bukan lagi SISTEM ISLAM. Hari ini, sistem jahiliyah secara meluasnya digunapakai oleh masyarakat bahkan masyarakat Islam sendiri tanpa disedari.


Makhluk lain pun hidup atas perintah dan sistem yang Allah tetapkan, mereka tidak pernah ingkar, bahkan kalau mereka ingkar, hancurlah alam ini... Kita manusia yang Allah kurniakan kelebihan, adakah kita hamba yang taat?

Sistem pendidikan yang ada pada hari ini tidak dapat melahirkan manusia-manusia yang mempunyai peribadi yang tinggi, sejahtera rohaninya bermanfaat pula kepada agamanya.
Kata seorang ulama' , Sistem yang ada pada hari ini gagal melahirkan dua golongan :

1) Menangis apabila buat dosa
2) Takut apabila menyebut dan mendengar nama Allah

Secara jelasnya, sistem pendidikan Islam sebenar telah hilang dalam masyarakat. Lantaran itu, sistem pendidikan JAHILIYAH menguasai alam.

Pendidikan Islam yang saya maksudkan di sini bukanlah pendidikan Islam yang diletakkan dalam sukatan Kementerian Pelajaran itu, bahkan Pendidikan Islam di sini mencakupi makna yang meluas dan menyeluruh.

Pendidikan Islam yang saya maksudkan adalah satu proses yang lengkap, bersepadu dan menyeluruh untuk meletakkan kita di tahap yang Allah kehendaki. Bukan itu sahaja, bahkan proses ini adalah proses untuk membentuk peribadi mukmin yang tunduk patuh dan menyerah kepada Allah s.w.t.

Sistem pendidikan inilah yang telah hilang daripada ummat pada hari ini. Ya, tidak dinafikan wujudnya subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Al-Quran Sunnah, Syariah dan sebagainya di sekolah dan universiti. Tetapi subjek-subjek akademik ini hanya sebagai satu sistem pelajaran, bukan sistem pendidikan.

Pendidikan sasarannya HATI. Sebab apa hati?
Sebabnya, hati adalah raja kepada segala amalan kita. Bahkan Rasul s.a.w. pernah menyebut dalam hadisnya yang mafhum berbunyi:

"...Dalam diri manusia ada segumpal darah. Apabila baik segumpal darah itu, maka baiklah seluruh amalan tubuh itu. Dan apabila busuk segumpal darah itu, maka busuk jugalah seluruh amalan tubuhnya. Ketahuilah segumpal darah itu adalah HATI."

Sebab itu, suka saya mengambil contoh daripada Rasul s.a.w. dan para sahabat.
Perhatikanlah secara teliti sistem pendidikan Islam yang telah dibawa oleh Rasul s.a.w.
Dalam fasa awal dakwah Rasul s.a.w., selama hampir 13 tahun di Makkah, proses pendidikan Rasulullah adalah menanam KEIMANAN kepada Allah s.w.t.dalam hati para sahabat. Sebab itulah, para sahabat tidak ada masalah untuk mentaati segala perintah Allah apabila turunnya wahyu. Iman yang telah disemai melahirkan peribadi yang mulia, sanggup berkorban apa saja, amanah dan bertanggungjawab.

Sistem pendidikan yang telah hilang inilah menyebabkan ummat kehilangan arah tuju sebenar.
Hakikat pada hari ini, ummat Islam terpisah jauh daripada Islam itu sendiri.
Ummat Islam di satu sudut lain dan Islam di satu sudut lain.

Dalam erti kata lain, ummat Islam telah meninggalkan Islam dalam amalan dan kehidupan mereka. Islam yang difahami hanya apabila berada di masjid menunaikan solat. Islam hanya dilihat daripada aspek yang sempit seperti puasa Ramadhan, zakat dan haji.

Sedangkan Islam itu meluas, komprehensif dan mencakupi seluruh kehidupan.
Daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara, maka semuanya adalah Islam.
Makan adalah Islam, main adalah Islam, pembangunan dan pentadbiran negara adalah Islam, kehidupan kita ini adalah Islam.
Apabila semua cabang kehidupan paksinya adalah Islam, maka tidak akan timbul masalah rasuah, gejala sosial dan pelbagai lagi masalah.

Marilah kita lihat dan kaji semula. Allah telah sebutkan dalam Al-Quran dalm surah Al-Imran yang bermaksud:

"Sesungguhnya deen (cara hidup) di sisi-Ku hanyalah Islam"

Jikalau kita mengambil dan mengembalikan semula ke dalam masyarakat sistem pendidikan ini, maka saya pasti kita dapat melahirkan ummat yang gemilang sebagaimana generasi awal Islam.
Kalau tidak seperti mereka pun, paling kurang hampir menyamai mereka.
Mereka ini telah diiktiraf oleh Allah dalam Al-Quran, surah Al-Imran yang bermaksud:

"Kalian adalah ummat terbaik yang dikeluarkan di kalangan manusia, kamu mengajak kepada KEBAIKAN, mencegah daripada KEMUNGKARAN dan kamu BERIMAN kepada Allah..."



penddikan Islam inilah yang telah melahirkan peribadi-peribadi hebat seperti Abdullah Ibn Mas'ud, Mus'ab bin Umair, Thabit bin Qais, Jaafar Abi Talib, Khalid Al-Walid, Umar Ibn Khattab, dan ramai lagi peribadi-peribadi yang menjadi contoh kepada kita.
Mereka yakin Islam sepenuhnya sebagai jalan hidup dan jalan penyelesaian kepada segala permasalahan.
Kita bagaimana?

Mari kembali kepada sistem didikan Islam...

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP