Teringat kepada sebuah nasyid yang pernah didendangkan oleh kumpulan nasyid terkenal tanah air, Raihan yang bertajuk "SYUKUR". Meskipun ringkas tajuknya, tapi lirik yang disampaikan penuh bermakna dan sesuai dengan praktikal yang Rasulullah anjurkan kepada kita.
Pada post kali ini, saya nak mengajak para pembaca untuk kita merenung-renung sebentar nikmat-nikmat yang berada di sekeliling kita. Cuba kita kira satu demi satu. Nikmat mata, hidung, badan, bulu mata, nikmat berfikir, nikmat makan, minum ..... nikmat sihat... Mampukah kita mengira semua nikmat yang berada di sekeliling kita? Sudah tentu tidak akan termampu... Bahkan nak menulis dan mencatat semua nikmat Allah di atas kertas pun tetap tidak akan termampu, bahkan bukan saja tidak termampu malahan walau semua lautan di dunia ini habis digunakan sebagai dakwat menulis nikmat Allah satu demi satu, tetap ada berjuta lagi nikmat-nikmat Allah yang belum tertulis. Allah telah rakamkan hal ini dalam Al-Quran dalam surah an-Nahl ayat 18 yang bermaksud:
"18. dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Juga dalam surah Al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud:
" 109. Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)".
Begitu banyak nikmat Allah hingga tidak terhitung oleh manusia. Justeru Allah tidak meminta kita untuk menghitung nikmat yang telah dikurniakan-Nya, bahkan Dia minta supaya kita mensyukuri segala nikmat yang telah Dia beri kepada kita. Kenapa perlu bersyukur? Kerana nikmat itu datang daripada Allah. Jikalau kita menerima sesuatu yang menyenangkan dan memudahkan urusan kita, sudah pasti kita akan berterima kasih kepada orang yang memberi kepada kita itu sebagai tanda penghargaan.
Begitu jugalah kita dengan Allah. Syukur adalah tanda kita menghargai pemberian dan kurniaan Allah kepada kita.
Nikmat yang ada pada kita sekarang ini boleh jadi ia adalah ujian kepada diri kita. Nikmat juga adalah natijah daripada amal soleh kita. Bagaimana yang dikatakan sebagai nikmat itu adalah ujian? Bagaimana pula nikmat menjadi natijah kepada amal soleh kita?
NIKMAT ADALAH UJIAN
Terkadang nikmat yang Allah beri kepada kita menjadi ujian kepada diri kita. Allah mahu menguji sama ada kita akan menjadi hamba yang syukur atau kufur. Nikmat itu boleh jadi berbentuk kesenangan, kesihatan dan kekayaan. Ramai manusia boleh bersabar apabila diuji dengan kesusahan, tetapi sedikit sekali yang bersabar apabila diuji kesenangan. Memetik firman Allah dalam surah Al-Anbiya' ayat 35 yang bermaksud:
"Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). dan hanya kepada kamilah kamu dikembalikan."
Juga firman Allah dalam surah Al-Fajr ayat 15-17 yang bermaksud:
15. Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu Dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, Maka Dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakanku".
16. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rizkinya Maka Dia berkata: "Tuhanku menghinakanku".
17. sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim
Sebab itulah, kita mesti berhati-hati dan berwaspada dengan nikmat kesenangan kerana ia boleh menjadi satu ujian buat diri kita.
Ini tidak bermakna kita tidak boleh berada dalam kesenangan.
Boleh tetapi kita perlu sentiasa berjaga-jaga agar tidak terjatuh ke landasan kufur.
Ramai orang yang kaya, tetapi kedekut untuk menyumbangkan hartanya untuk membantu saudara-saudaranya yang kesusahan di Palestin dan negara-negara Islam lain.
Kalau beri pun, sedikit sangat berbanding hasil pendapatannnya yang begitu lumayan. Saya beri contoh.Kadang-kadang ada yang berpendapatan RM 1 000 000 dalam masa sebulan.Tapi yang dikeluarkan untuk sumbangan cuma RM1. Agak-agak berapa peratus yang dia telah keluarkan untuk sumbangan?
Tak sampai satu peratus pun...
Ada yang kata biar sikit tapi ikhlas berbanding beri banyak tapi tak ikhlas....
Tapi kita tak rasa ke RM1 tu sikit sangat? Berbanding dengan RM 1 juta tu?
1 yang tak ada angka kosong belakangnya dengan 1 yang ada 6 kosong belakangnya....Mana lebih besar?
Tak berbaloi la... Kalau sejuta keluar seringgit, lebihan wang kita ke mana kita gunakan...
Tak mahukah kita dengan apa yang Nabi janjikan?
Apa yang kita sumbangkan ni akan berkekalan nilainya di akhirat? Bukan setakat di dunia... Tapi yang kita gunakan untuk diri sendiri hanya akan kekal di dunia sahaja, tiada nilai di akhirat nanti.
Apa yang kita berikan dan sumbangkan melambangkan syukur kita kepada Allah... Tambah pula kalau kita beri dan sumbang dengan hati yang ikhlas... Pasti besar ganjaran untuk kita...
Allah telah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:
"Sekiranya kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah (pemberian-Ku) kepada kamu, tetapi sekiranya kamu kufur sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih"
NIKMAT SEBAGAI BUAH AMAL SOLEH
Allah akan memberi ganjaran segera kepada hamba-Nya yang taat dan tunduk kepada-Nya di dunia. Ganjaran ini tidaklah meliputi ganjaran mutlak, bahkan ini adalah sebahagian daripada ganjaran kebaikan yang diterima oleh manusia yang taat dan patuh kepada Allah.
Ganjaran yang sebenar di akhirat kelak. Allah akan melimpahkan ganjaran kebaikan di akhirat kelak yang tidak terkira kepada hamba-Nya yang soleh.
Mari kita lihat beberapa firman Allah dalam surah An-Nahl yang bermaksud:
30. dan dikatakan kepada orang-orang yang bertakwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?" mereka menjawab: "(Allah telah menurunkan) kebaikan". orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. dan Sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan Itulah Sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa,
Dalam ayat yang lain:
41. dan orang-orang yang berhijrah karena Allah sesudah mereka dianiaya, pasti Kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan Sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui,
Allah sebut lagi dalam surah yang sama:
97. Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam Keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Sesungguhnya akan Kami beri Balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.
Inilah sifat Allah kepada hamba-hamba-Nya.
Kita buat kebaikan sikit, banyak ganjaran yang diberikan.
Inilah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya. Allah Yang Maha Kuasa. Allah Yang Maha Baik ke atas hamba-hamba-Nya.
Marilah kita zahirkan kesyukuran dalam segenap kehidupan kita melalui hati, lisan dan perbuatan kita.
Taat kepada segala perintah Allah dan tinggalkan segala larangan-Nya.
Saya pernah menonton sebuah drama bertajuk 'Cinta Sempurna'.
Drama ini mengisahkan dua orang anak yang baru pulang dari luar negara. Akidah mereka terpesong jauh menyebabkan ibu bapa mereka berusaha memanggil ustaz dan ustazah untuk memperbetulkan semula akidah anak-anak mereka.
Namun, lantaran tidak tahan dengan sikap mereka, si ustaz dan ustazah pun berputus asa sehinggalah seorang ustaz muda berjaya memikat hati mereka.
Saya nak petik satu dialog antara si anak perempuan dengan si ustaz yang sudah tua.
Dialog lebih kurang begini:
"...Pakai jubah ni adalah sunnah. Sunnah adalah apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w." kata si ustaz.
"Oh, kalau macam tu, kami ni tak ikut sunnah la. Tak pakai jubah. Saya tak pakai tudung ni kira tak ikut sunnah la." balas si anak perempuan.
"Bukan macam tu, pakai tudung itu adalah hukum Allah. Hukum Allah tu wajib. Berdosa bagi siapa yang melanggar hukum Allah."
"Orang dah tak pakai la pakaian-pakaian macam ni sekarang" kata si anak perempuan itu sambil menuding-nuding jubah dan serban si ustaz seolah-olah menyindir si ustaz..
"Kita kena ikut perkembangan la, ust. Siapa kata kami pakai macam ni tak baik? Kami ni baik je. Ust, Tuhan tu kan menilai hati manusia, bukannya luaran macam ni. Ust tengok, orang bertudung labuh pun bercouple. Orang berjubah, macam ustaz ni, bukan tak ada yang buat jahat. Ramai.." jawapan si anak perempuan ni membuatkan ustaz yang sudah tua itu marah.
Lebih kurang dialog di atas seperti dalam drama itu. Minta maaf penerbit filem kalau tersilap.
Saya petik balik sebahagian ayat dalam dialog itu:
"Tuhan tu kan menilai hati manusia, bukannya luaran macam ni."
Sebenarnya dalam realiti hidup masyarakat kita pada hari ini, wujud juga golongan yang sebegini. Bukan seorang dua, bahkan ramai. Meletakkan nilaian Allah hanya pada hati, bukan pada amal. Konsep yang salah ini akhirnya memberi kesan tidak baik kepada masyarakat kita.
Ya, memang benar. Tidak dinafikan Allah memang menilai hati kita.
Tapi janganlah kita tertipu. Hati adalah CONTROL CENTRE kepada sistem pemikiran dan perbuatan kita. Sekiranyan hati itu baik, maka seluruh pemikiran, perkataan dan perbuatan yang terjana daripada tubuh badan juga adalah baik. Jika buruk, maka buruk jugalah keseluruhannya.
Bahkan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadis yang panjang yang bermaksud:
"... Dalam diri manusia itu ada segumpal darah. Jika baik (segumpal darah itu) maka baiklah keseluruhan tubuh. Dan jika rosak (segumpal darah itu) maka rosaklah keseluruhan tubuh. Ketahuilah bahawa itu adalah hati."
Rosaknya akhlak kerana rosak hati. Melanggar perintah dan larangan Allah, pun kerana hati yang 'rosak'.
Peribadi yang tidak baik pun berpunca daripada gelapnya hati.
Bolehkah kita definisikan orang yang tidak bertudung tapi rajin membantu orang sebagai 'baik'?
Bagaimana pula orang yang rajin solat tapi merompak, adakah baik orang ini?
Kedua-duanya adalah tidak baik.
Bagaimana Allah menilai hati?
Amalan-amalan yang keluar melalui anggota tubuh badan, itulah nilaian Allah.
Hati yang baik akan perbuatan, percakapan, cara berfikir dan cara bergaul sentiasa terarah kepada kebaikan.
Hati yang busuk hala tuju dirinya juga kepada kegelapan.
Hati yang baik, apa tandanya?
Lihatlah pada tutur katanya, perbuatannya, pemikirannya dan sikapnya. Semua ini akan menggambarkan sifat hati kita. Hati yang taat dan tunduk patuh kepada Allah, maka seluruh amalnya baik dan taat kepada Allah. Jika hati ingkar pada arahan dan larangan Allah, maka seluruh amalnya juga menyimpang daripada apa yang dikehendaki oleh Allah.
Nilaian baik ialah pada neraca syariat. Bukanlah pada neraca manusia.
Kita menilai baik buruk daripada kaca mata Islam, bukan kaca mata manusia.
Kaca mata manusia selalu menipu lantaran 'terdedah' dengan hasutan syaitan dan nafsu.
Dalam satu kaedah syara' menyatakan: "Yang baik itu adalah apa yang ditetapkan baik oleh syariat dan yang buruk itu adalah apa yang ditetapkan buruk oleh syariat."
Islam cara hidup yang mulia.
Kebaikan digalakkan dan yang tidak baik untuk manusia telah dilarang oleh Islam sejak awal lagi.
Kita ambil contoh; kaedah hukum sebatan untuk penzina mengikut undang-undang Islam adalah seratus sebatan untuk orang yang masih belum berkahwin dan rejam hingga mati bagi yang sudah berkahwin. Jika kaedah ini dijalankan, maka masalah zina dalam dunia pada hari ini pasti akan berkurangan. Masalah zina meningkat pada hari ini kerana manusia menjalankan sistem hukuman lain daripada apa yang telah ditetapkan oleh syariat. Seolah-olah 100 sebatan dan rejaman itu dilihat sebagai satu kekejaman padahal belum dilaksanakan. Banyak hikmah yang akan lahir daripada mematuhi apa yang telah syariat tetapkan. Meninggalkan hukum Allah, merekacipta undang-undang sendiri, maka lihatlah natijahnya.
Jenayah dan gejala dosa berleluasa di mana-mana sahaja hari ini.
Ia seolah-olah sudah sebati dan menjadi kebiasaan masyarakat kita di negara yang kita labelkan sebagai 'negara Islam' ini.
Hati adalah bekas untuk diisi dengan IMAN, bukan dengan nafsu mahupun bisikan syaitan.
Iman tidak sekadar membekas dalam hati, tetapi memberi kesan luar biasa dalam amal kita.
Saya suka mengambil contoh sirah di zaman Rasulullah s.a.w. Sahabat-sahabat yang hidup dalam kebahagiaan dan kejayaan kerana hati mereka diisi bahkan dilimpahi dengan iman dan taqwa kepada Allah.
Apa yang mereka lakukan, semuanya di atas dasar iman. Inilah yang menjadikan mereka mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah. Saya bawakan contoh kisah Abdullah Zulbijadain (nama sebelum Islam Abd Uzza). Semata-mata nak sampaikan Islam kepada bapa saudaranya yang telah lama membelanya, beliau sanggup bertahan selama hampir 3 tahun di Makkah. Dikelilingi oleh masyarakat jahiliah, tidak ada sahabat mahupun saudara seIslam. Semuanya telah berhijrah ke Madinah kecuali beliau. 3 tahun. Bukan jangka masa yang sekejap. Tapi kerana imanlah yang menjadikan Abdullah Zulbijadain istiqamah dengan Islam. Setelah 3 tahun tidak berjaya mengajak bapa saudaranya kembali kepada Islam, beliau pun berhijrah ke Madinah. Tetapi ternyata sebelum berhijrah bapa saudaranya telah berkata:
"Hai anak saudaraku, jika engkau ingin kekayaan dan kemewahan ini terus bersama engkau, teruslah berada di sini dan kembalilah kepada agama asal nenek moyangmu. Tetapi sekiranya engkau ingin berhijrah dan bersama dengan Muhammad, maka kembalikan semua harta kekayaan yang telah engkau ambil dari aku."
Abdullah Zulbijadain memulangkan semua harta kekayaan pak ciknya. Beliau hanya membawa kain kasar yang telah dipotong dua untuk menutup bahagian depan dan belakangnya. Tiada lagi pakaian mahal, makan minum yang mewah. Sebab itulah Rasul s.a.w. menamakan beliau dengan Abdullah Zulbijadain (Hamba Allah yang mempunyai dua kain kasar).
Orang yang mempunyai hati yang mekar dengan iman di dalamnya, tidak akan tertarik dan tertipu dengan kemewahan dunia. Baginya, redha Allah serta nikmat yang Allah janjikan di Hari Kemudian adalah lebih besar.
Marilah memiliki hati yang di dalamnya penuh dengan limpahan iman. Kita akan sentiasa terpandu ke arah yang betul. Hidup akan penuh dengan kebahagiaan dan kejayaan...
Kepada semua pembaca (Tingkatan 1-4) dijemput untuk menyertai Kem Minda Kreatif Wilayah Utara Kali Ke-14. Butiran adalah seperti berikut:
Tempat : Pusat Latihan Kokurikulum Pulau Pinang (PULAKOPP)
Tarikh : 4 -6 Disember 2009
Penyertaan : Terbuka kepada pelajar sekolah menengah Tingkatan1 hingga 4
Anjuran : Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) dengan kerjasama HALUAN
Bayaran : RM 30 seorang
RM 50 2 orang per keluarga
RM 70 3 orang per keluarga
Sila bawa bersama anda: Keperluan diri : Pakaian selama 3 hari 2 malam
Al-Quran
Kasut dan pakaian riadhah/sukan
Lampu suluh
Baju tebal
Alat tulis
Keperluan makan minum : sardin, beras, biskut, ikan bilis, telur, minyak masak, gula, garam, teh, air mineral Keperluan kesihatan : mask, ubat-ubatan (jika anda sakit)
Peringatan : Pelajar yang tidak sihat yang mempunyai selsema, batuk dan tanda-tanda penyakit H1N1 dinasihatkan agar tidak menghadirkan diri.
Hubungi segera untuk maklumat lanjut dan penyertaan!!!
(Sila rujuk brochure yang telah diletakkan di atas untuk mengetahui maklumat lebih detail)
Saya bawakan sebuah kisah seorang bilal di sebuah masjid.
Bilal ni seorang yang sangat rajin azan. Tiap-tiap kali waktu solat, dia pasti akan azan, panggil orang solat.
Memang dia azan setiap hari ikhlas untuk memanggil manusia menghadap Allah.
Allah takdirkan satu hari, ada sebuah keluarga Kristian berpindah masuk ke rumah berdekatan masjid itu.
Keluarga Kristian ini mempunyai seorang anak gadis yang perawan.
Bilal yang pada mulanya azan untuk memanggil orang solat lama kelamaan mula bertukar niat, azannya adalah semata-mata untuk dapat melihat anak gadis keluarga Kristian itu. Setiap kali dia mengumandangkan "Hayya Alal Falah", maka mukanya beralih ke sebelah kiri dan setiap kali itu jualah dia ternampak kelibat si anak gadis itu.
Akhirnya, kerana tidak tahan lagi, setiap hari pasti akan terpandang wajah si anak gadis itu, maka si bilal pun terus berjumpa dengan bapa kepada gadis perawan itu. Dia mengutarakan hajatnya untuk memperisterikan si gadis itu.
Si bapa bersetuju. Tetapi mestilah dengan satu syarat. Si bilal mestilah masuk agama Kristian dan meninggalkan Islam. Si bilal yang selama ini azan memanggil orang solat itu akhirnya tergadai akidah hanya kerana terpautnya hati pada seorang perempuan.
Begitulah kita di depan manusia. Selalu mencari kemuliaan dan kedudukan di depan mata manusia.
Tanpa kita sedari, kemuliaan yang kita kejar-kejar, mengharapkan pujian dan penghargaan daripada manusia ini, belum tentu lagi meletakkan kita dalam 'list' orang yang dimuliakan dan mendapat penghargaan daripada Allah Al-Khaliq.
Manusia selalu lupa akan kekerdilan dirinya di depan Allah, Rabb yang menciptanya, menguasainya dan menghisab amalnya.
Berkedudukan tinggi, berpangkat besar, memiliki harta kekayaan, perempuan cantik dan sebagainya, kadang-kadang membuat manusia lupa akan tanggungjawab.
Leka dan lalai dengan apa yang dimiliki menjadikan manusia semakin tamak untuk mengejar 'tanah sekangkang kera' di depan mata berbanding 'tanah seluas langit dan bumi' yang Allah janjikan.
Mencari nama dan glamour di depan manusia, berlumba untuk memperbanyak harta, dan sibuk mengejar dunia yang fana, tidak kekal abadi.
Perintah Allah dilupakan, larangan-Nya kita abaikan, kita dijangkiti oleh virus 'al-wahn'. Virus yang Rasulullah maksudkan dalam hadisnya sebagai cintakan dunia dan takutkan mati.
Kita perlu sedar. Setiap yang hidup pasti akan mati. Tiada siapa pun yang akan terlepas daripada 'panggilan' Malaikat Maut. Bila 'on-call', kita akan 'pergi' untuk selamanya.
Pergi ke mana?
Kita akan singgah di satu tempat persinggahan 'R&R' sebelum menuju ke destinasi seterusnya yang kekal abadi. Tapi R&R kali ini akan jadi begitu 'special' untuk orang yang mati dalam ketaatan dan kebaikan sebaliknya akan menjadi azab bagi yang mati dalam kemaksiatan dan kemungkaran.
Marilah buat persiapan untuk 'on-call' yang kita tak tahu bila masanya itu.
Mungkin sekejap lagi, mungkin bila kita dah tidur malam nanti, mungkin esok lusa. Siapa yang tahu ?
Tiada siapa yang tahu...
Semuanya tercatat dalam takdir Allah.
Tiada siapa selamat balik bertemu Allah, melainkan orang yang datang kepada Allah dengan membawa HATI SEJAHTERA. Hati yang hidup dengan makrifat Allah dan cahaya Rabbani.
Kita yang selama ini mencari mulia di sisi manusia dengan kemurkaan Allah, tunggulah penghinaan ke atas diri kita pada hari itu. Tetapi, orang yang mencari mulia di sisi Allah biarpun dengan marahnya manusia, maka hari itu dia akan dimuliakan Allah.
Bagaimana mencari mulia di sisi Allah?
Allah telah berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
"Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang bertaqwa"
Mari hitung diri.
Kata Saidina Umar:
"Hisablah diri anda sebelum anda dihisab"
Tidak mahukah kita ganjaran kekal abadi di sana? Tiada guna berseronok dengan kenikmatan dunia yang sementara dan akan hilang satu hari nanti. Harta kekayaan kita akan hancur musnah, rasa sedap dan lazat akan hilang, glamour di depan manusia, kita pasti akan dilupakan, isteri dan sanak-saudara pasti akan mati.
Manusia akan dihimpunkan nanti di Padang Mahsyar. Daripada zaman Nabi Adam a.s. hinggalah kepada kita. Pada hari itu, tidak ada yang akan selamat melainkan orang-orang yang mendapat naungan Allah. Kemurkaan Allah sangat dahsyat pada hari itu sehinggakan para Nabi pun takut untuk menghadap Allah. Manusia pada hari itu akan berjalan meminta pertolongan daripada Nabi Adam a.s. sehinggalah kepada Nabi Isa a.s. Minta pertolongan untuk dimudahkan hisab ke syurga.
Tapi mereka pun takut menghadapi kemurkaan Allah melainkan Nabi Muhammad s.a.w. yang memberi harapan semula kepada kita. Nabi Muhammad s.a.w. yang akan berjumpa meminta syafaat untuk ummatnya.
Begitu dahsyatnya azab Allah pada hari itu.
Ada manusia yang lemas dalam peluhnya sendiri, ada yang merasakan matahari sejengkal di atas kepalanya, ada yang dibangkitkan dalam keadaan buta.
Pada hari itu, manusia dengan diri masing-masing. Tiada siapa yang akan mengambil peduli nasib orang lain. Masing-masing sibuk menghitung diri masing-masing.
Janganlah kita jadi orang yang terlambat.
Allah gambarkan dalam surah as-Sajdah ayat 12 yang bermaksud:
"Wahai Tuhan kami, kami telah lihat dan dengar, maka kembalikanlah kami(ke dunia) untuk beramal soleh, sesungguhnya kami termasuk orang-orang yang yakin."
Inilah gambaran orang-orang yang membawa 'buah tangan yang busuk' di depan Allah nanti.
Bila dah nampak betapa nikmatnya syurga Allah dan azabnya seksa neraka, barulah menyesal.
Adakah kita juga ingin termasuk dalam golongan ini? Sediakanlah 'buah tangan' terbaik untuk balik bertemu dan berdepan dengan Allah.
Allah janjikan dalam satu hadis qudsi:
Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi s.a.w. bersabda: Allah berfirman: "Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh apa yang tak pernah dilihat oleh mata, tak pernah didengari oleh telinga, tidak pernah terlintas dalam hati dan pemikiran."
Sehari sebelum Aidilfitri menjelang tiba, saya dapat mesej daripada seorang sahabat kira-kira pada 10.58 pagi. Mesejnya pelik, berbunyi begini:
"As'kum... 1st ana nk minta maaf dr SKULL smpi PHALANGES atas sgala PARALLEX ERROR & ZERO ERROR & sgla INVOLUNTARY ACTION yang dibuat tanpa CONSCIOUS CONTROL. Ana jga nk mohon maaf mybe ana terover control ana punya PNEUMATIC mybe jga ana x ikut nta pnya MOULDING shinggakn nta mghsilkan REACTION yg jauh bezany dgn ana pnya HYPOTHESIS (rmaln awal)... Ana harap mesej ni dpt mnjd CATALYST utk nta mnaikkn MOMENTUM & PROBABILITY nta dlm melakukan REFORMATION 4 OUR SUCCESS dsmpg mrapatkn GAP2 antara kta without OBSTACLE yg bleh mghsilkn WAVE2 yg x mnyenangkn kita smua! SELAMAT HARI RAYA! MAAF ZAHIR & BATIN! ... :) "
Selepas Isya' malam tu, bila pengumuman raya telah disampaikan di televisyen, mulalah masuk puluhan mesej raya daripada teman-teman dan sahabat.
Mesej yang saya terima di atas adalah mesej paling awal sebelum pengumuman raya. Pagi-pagi lagi dah hantar. Mungkin sahabat saya sorang ni dah 'teropong awal', yakin nampak anak bulan.
"Ni kalau hantar tahun lepas ni, boleh gak dapat A Biologi dengan Fizik," saya tersenyum sendirian apabila membaca mesej di atas.
Masuk habis istilah Bio dengan Fizik hanya semata-mata nak ucapkan "SELAMAT HARI RAYA".
Alhamdulillah, dapat habiskan Ramadhan. Rasa sekejap sangat masa yang berlalu. Ramadhan berlalu hari demi hari, akhirnya tibalah Idul Fitri. Terasa rugi juga ada masa-masa terluang yang terbuang dalam bulan Ramadhan tanpa pengisian. Tapi masa dah berlalu, tetap tidak boleh nak ditarik balik.
Pengisian-pengisian Ramadhan sebenarnya memberi impak besar kepada hamba yang benar-benar manfaatkannya. Sebab itulah, seluruh alam bergembira dengan kehadiran Ramadhan, menangisi pemergiannya.
Jika kita di kalangan orang yang beruntung selepas keluar dari madrasah Ramadhan, maka pastilah kita akan menyambut ketibaan IdulFitri dengan penuh kepuasan dan kegembiraan.
Puas dan gembira kerana Allah telah bersih dan sucikan diri kita sepenuhnya selama sebulan di bulan Ramadhan.
Puas dan gembira kerana diri kita seolah-olah kembali ke zaman bayi, tiada dosa dan noda.
Puas dan gembira juga kerana Allah telah kurniakan bekalan terbaik untuk menempuh kehidupannya, iaitu bekal KETAQWAAN.
Oleh sebab itulah dalam post kali ini, kita menilai diri kita, adakah kita termasuk golongan yang menang setibanya Idul Fitri?
Adakah kita termasuk dalam janji Allah akan diampunkan dosa-dosa kita yang lalu?
Adakah kita mencapai hakikat TAQWA kepada Allah apabila keluar dari madrasah ini?
Bukan senang untuk memiliki taqwa. Ia adalah 'pakaian' termahal. Tiada yang boleh menandingi.
Apakah taqwa itu boleh kita beli?
Sudah tentulah tidak...
Taqwa bukan barang jualan, bukan juga harta warisan.
Kumpulan nasyid terkenal tanah air, Raihan pernah mendendangkan sebuah nasyid bertajuk 'Iman Mutiara'. Dalam nasyid mereka ada sebahagian rangkap berbunyi:
Iman tak dapat diwarisi
Dari seorang ayah yang bertaqwa
Ia tak dapat dijual-beli
Ia tiada di tepian pantai
Taqwa adalah kurniaan Allah kepada hamba-hambaNya yang Dia kehendaki.
Hatta ayah kita seorang alim atau seorang wali sekalipun, si ayah tetap tidak dapat mewariskan taqwa kepada anaknya. Keimanan dan ketaqwaanlah menjadikan kita mulia di dunia dan akhirat. Allah sebut dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
"... Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu..."
Allah letakkan darjat orang taqwa itu paling mulia di sisinya. Sebab itu, rugilah kita jika kita tidak termasuk dalam golongan yang muttaqin. Bahkan Allah sebut dalam Al-Imran ayat 133 yang bermaksud:
"dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,"
Allah sediakan pula ganjaran syurga seluas langit dan bumi untuk yang bertaqwa.
Tidak mahukah kita?
Sebab itulah, natijah taqwa yang diperolehi daripada bulan Ramadhan adalah sebagai bekal terbaik sepanjang kehidupan kita. Allah sebut dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:
"Dan berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa"
Bagaimana nak bertaqwa?
Kita boleh rujuk buku Abdullah Nasih Ulwan bertajuk "Menuju Ketaqwaan".
Beliau gariskan beberapa panduan untuk menjadi orang bertaqwa:
1) Mua'hadah (Perjanjian)
Kita membuat perjanjian antara diri kita dengan Allah untuk terus menjaga syariatnya.
Dalam surah an-Nahl ayat 91:
“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah) sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
2) Muraqabah (Rasa Allah Maha Melihat)
Kita sentiasa rasa Allah itu bersama kita sepanjang masa, Maha Melihat dan Maha
Mengetahui segala perbuatan kita. Firman Allah dalam surah As-Syu'ara ayat 218 hingga 219:
“(Allah) Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan) sembahyang dan (melihat) gerak gerimu di antara orang-orang yang sujud.”
3) Muhasabah (Penilaian Diri)
Kita menilai hari-hari yang telah lepas. Apakah yang telah kita habiskan dengan umur kehidupan kita yang telah lepas? Kita menilai untuk membuat pembaikan. Allah berfirman dalam surah Al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah lepas dari amalan-amalannya untuk hari esok (akhirat) dan sekali lagi diingatkan, bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuan akan segala yang kamu kerjakan.”
4) Mua'qabah (Denda)
Dalam membuat perubahan terhadap diri, kita meletakkan beberapa 'denda' sebagai hukuman ke atas diri kita jika melakukan kesalahan dan dosa.
Kita mestilah istiqamah dengan hukuman yang telah kita tetapkan.
Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 179 bermaksud:
“Dan dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orangorang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.”
5) Mujahadah (Kesungguhan)
Hendak kepada sesuatu yang mahal, maka memerlukan pengorbanandan kesungguhan yangtinggi untuk mendapatkannya.
Sanggup menempuh segala kesusahan, cabaran dan mehnah untuk memperoleh taqwa.
Sabar dalam melakukan kebaikan dan ketaatan kepada Allah, sabar juga dalam menjauhi kemaksiatan dan kemungkaran. Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69 bermaksud:
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami (yang menjadikan mereka bergembira dan beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Secara mudahnya, kita berusaha melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya dalam masa yang sama kita berhati-hati dan berwaspada terhadap perkara syubhah (boleh menjatuhkan kita ke dalam perkara haram).
Oleh sebab itu, marilah lakukan analisis ke atas diri kita.
Natijah Ramadhan adalah untuk terus MENANG dengan KETAQWAAN sepanjang hayat...
This is a new video from the new album of Sami Yusof, You Came To Me. Here is the lyrics of the nasyid. A very touching and nice song.
You came to me in that hour of need When I was so lost, so lonely You came to me, took my breath away Showed me the right way, the way to lead You filled my heart with love, showed me the light above Now all I want is to be with you You are my one true love, taught me to never judge Now all I want is to be with you
Allahumma salli ‘ala sayyidina mustafa ‘ala habibika nabiika mustafa
You came to me in the time of despair I called onto you, you were there Without you what would my life be Not know the unseen, the worlds between For you I’d sacrifice, for you I’d give my life Anything just to be with you I feel so lost that times by all the hurt and lies Now all I want is to be with you
Allahumma salli ‘ala sayyidina mustafa ‘ala habibika nabiika mustafa
Showed me right from wrong Told me to be strong Need you more than ever ya RasulAllah You came to me in that hour of need Need you more than ever ya RasulAllah You filled my heart with love, showed me the light above Now all want is to be with you You are my one true love, taught me to never judge Now all I want is to be with you
Allahumma salli ‘ala sayyidina mustafa ‘ala habibika nabiika mustafa