Saturday, April 25, 2009

[[Erti Kehidupan Yang Terisi Dengan Makna Perhambaan]]

Suatu hari, saya masuk ke dalam kelas darjah lima. Sengaja saya masuk. Mengisi kekosongan kelas itu yang tiada guru. Sewaktu langkahan saya mula mencecah lantai kelas, murid-murid kelas itu segera berada di tempat duduk mereka. Suasana yang tadi bising mula senyap. Bimbang dimarahi agaknya mereka ini, detik hati saya.

Saya memulakan kalam saya dengan satu senyuman lebar, menarik nafas kemudian terus memulakan bicara. "Nak dengar cerita tak?" tanya saya pada semua murid-murid darjah lima selepas memberi salam. Seluruh kelas itu dengan penuh rasa gembiranya menjawab,"Nak! Nak!" Inilah resepi mencuit hati kanak-kanak, jika bukan dengan hadiah, maka ceritalah yang boleh mengubati suasana bising tadi.

"Hari ni ust nak cerita tentang kisah nabi sulaiman a.s. dengan burung hud-hud. Nabi Sulaiman sedang..." saya menceritakan kisah itu sehingga habis. Khusyuk betul mereka mendengar saya bercerita.
Di akhir kelas, saya bertanya kepada mereka, "Hebat tak kekuasaan Allah?"
Jawab mereka, "Hebat! Hebat !"
"Nabi Sulaiman boleh faham dengan bahasa binatang. Bagaimana pula dengan kita? Kita boleh bersembang dengan burung tak?"
"Tak boleh, ust." jawab mereka kembali.
Saya bertanya lagi, "Kalau burung hud-hud yang kecil pun taat dan tunduk kepada Allah, kita yang besar daripada burung hud-hud ini perlu taat kepada Allah ataupun tak?"
"Dah tentulah kena taat, ust." Jawab Alia, salah seorang pelajar.
"Macam mana nak taat?" tanya saya.
" Kita solat tiap-tiap hari, ust."
" Kita puasa, ust."
" Kita taat kepada ibu bapa."
Jawapan singkat daripada mereka ini membuat saya tersenyum. Bagi saya, kanak-kanak sebesar ini jika sudah boleh menjawab seperti ini, sudah kira baik.
" Betul, semua. Alhamdulillah! Tapi semua mesti tahu bahawa hidup kita ini adalah untuk Allah."

Inilah erti kehidupan yang sebenar. Sebuah kehidupan yang dimaknai dengan hakikat perhambaan kepada Allah. Kehidupan yang penuh dengan ketaatan kepada Allah. Hakikat yang perlu kita ketahui adalah ketaatan itu bukanlah ketika kita solat sahaja, ataupun ketika bayar zakat sahaja ataupun apabila tiba bulan Ramadhan, kemudian berpuasa. Bukan setakat ini yang dimaksudkan dengan perhambaan dan ketaatan. Kehidupan kita seluruhnya sekali adalah untuk kita memperhambakan diri kita kepada Allah. Daripada awal pagi kita dibangkitkan Allah daripada tidur hinggalah kita tidur semula di malam hari, seluruhnya adalah untuk kita tunduk dan patuh kepada Allah.Kehidupan ini tidak pernah bahagia jika makna perhambaan tidak wujud dalam hidup kita. Lantaran hal ini pun telah Allah jelaskan dalam kalamnya yang agung dalam surah Az-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud:

"Tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia melainkan untuk
memperhambakan diri kepada-Ku"


Jelasnya dalam ayat ini menyatakan bahawa peranan kita di dunia adalah sebagai hamba. Hamba kepada Rabb yang berkuasa ke atas alam ini, Rabb menciptakan diri kita, Rabb yang bakal menentukan akhir destinasi hayat kita, inilah tugas kita di muka bumi ini. Kita mempunyai misi untuk perjalanan yang singkat ini. Inilah misi besar yang kita hendak kejar iaitu mardhotillah. Apa itu mardhotillah? Inilah sebesar-besar matlamat. Tanpa matlamat ini, semua matlamat lain adalah kecil dan sia-sia belaka. Allah telah menyebut lagi dalam firmannya yang bermaksud:

"Dan keredhaan dari Allah itu adalah paling besar"

Umur kehidupan kita adalah umur yang singkat. Kita tidak berpeluang untuk hidup beratus-ratus tahun lamanya seperti umat Nabi-nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Nuh misalnya disebutkan dalam Al-Quran umurnya yang dihabiskan untuk menyeru kaumnya supaya kembali kepada Allah adalah kira-kira 950 tahun. Jika dibandingkan dengan umur umat Nabi Muhammad s.a.w. yang hanya sekitar 60 ke 70 tahun, kita sudah tentulah akan kalah dari segi pahala amalan. Tapi sebenarnya tidak. Allah telah janjikan untuk kita pahala yang berlipat kali ganda bagi setiap amalan kebaikan yang kita lakukan kerana jangka umur kita yang singkat berbanding ummat-ummat terdahulu. Justeru, kehidupan ini tidak seharusnya dibazirkan dan dibiarkan begitu sahaja. Kita ada misi yang kita hendak sempurnakan.

Inilah misi kita terbesar dalam hidup kita, mengejar keredhaan Allah. Allah yang menganugerahkan kehidupan ini kepada kita. Kita sepatutnya bersyukur dan memaknakan kehidupan ini dengan perhambaan. Ibaratkanlah seperti seorang pekerja yang diterima oleh seorang majikan untuk bekerja di sebuah syarikat. Jika pekerja itu membalas kepercayaan tuannya terhadapnya dengan bekerja bersungguh-sungguh, maka dia mungkin diberi bonus bulanan ataupun mungkin dinaikkan pangkat. Jika dia membalas kepercayaan tuannya itu dengan 'main-main' dalam pekerjaannya, maka hasilnya pun main-mainla juga. Begitulah kehidupan kita, jika kita berusaha mengejar dan mencari redha Allah dalam setiap amal kita, pastinya Allah akan beri. Jika tidak usaha, maka Allah pun 'tak sudi' untuk beri kepada kita kerana kita malas dalam mengejarnya.

Setiap aktiviti hidup kita mestilah diiringi dengan redha Allah. Sebab apa? Jika seinci pun jari kita ni bergerak tapi bukan bertujuan untuk mendapatkan redha Allah, maka rugilah diri kita. Kerana dosa dan pahala itu kepunyaan Allah. Bahkan balasan syurga yang seluas langit dan bumi itupun milik Allah. Neraka yang penuh dengan azab siksaan yang pedih itupun Allah yang punya. Jika kehidupan kita selama ini telah kita bazirkan tanpa niat untuk mengejar redha Allah, maka perbaikilah kembali. Para sahabat di zaman Rasulullah s.a.w. sangat risau jika setiap langkahan mereka bukan untuk mendapatkan redha Allah. Oleh sebab itu, setiap langkahan mereka dipastikan adalah untuk mengejar redha Allah semata-mata. Mereka bimbang jika satu langkahan saja bukan kerana mengejar redha Allah, jika dicabut nyawa ketika itu, alangkah ruginya mereka.

Justeru, marilah kita maknakan kehidupan ini dengan perhambaan agar hidup ini benar-benar bererti. Marilah kita berusaha mengejar redha Allah. Dengan redha Allah jualah, kita bakal diganjari dengan syurga Allah yang tak terhitung rahmat dan nikmatnya. Marilah memperhatikan amal hidup kita. Jika apa yang kita lakukan itu mendatangkan kasih dan redha Allah kepada kita, teruslah istiqamah dengan amal itu. Jika apa yang kita lakukan itu ada yang mengundang kemurkaan dan kemarahan Allah terhadap kita, maka segeralah tinggalkannya. Apabila seorang kekasih benar-benar hendakkan cinta dan redha Kekasihnya terhadap dia, maka sudah pasti dia berusaha melakukan apa yang disukai oleh Kekasihnya terhadap dirinya dan meninggalkan apa yang tidak disukai oleh Kekasihnya terhadap dirinya. Inilah kekasih agung kita, Allah s.w.t.

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP