Wednesday, June 3, 2009

Kem Minda Kreatif 13 (KMK 13)

Assalamualaikum...
Makluman untuk semua pembaca...

KEM MINDA KREATIF 13 (KMK 13)

Tarikh :9 hingga 11 Jun 2009
Tempat :Pendang Lake Resort, Pendang, Kedah D.A. (PLR)
Pendaftaran : 9 - 11 a.m. (9 Jun 2009 - Selasa)
Yuran : RM 60 (termasuk makan minum, penginapan, kemudahan aktiviti)
Anjuran : Kelab Rakan HALUAN
Terbuka kepada semua pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 5.
Di bawah ini saya sertakan phamplet untuk KMK.
Boleh 'right click' dan 'save as'.


Peralatan perlu dibawa:

Pakaian riadhah (banyakkan)
Lampu suluh (aktiviti malam)
Buku catatan/ alat tulis
Al-Ma'thurat


Cara ke tempat program:

1. Bas Ekspress -Ekspress MARA Liner, KL - Pendang RM 39.00
2. Bas Awam -Bas MARA atau Tranasional, Shahab Perdana - Pendang RM 3.20

Pekan Rabu - Pendang RM 2.70

3. Keretapi -Turun di Stesen Keretapi Alor Setar, jalan kaki ke Pekan Rabu, kemudian naik bas di sana

4. Kapal Terbang -Turun di Lapangan Terbang Kepala Batas, naik teksi ke Shahab Perdana, naik bas di sana

5. berkenderaan sendiri -Lebuhraya PLUS - Keluar susur Pendang/Kota Sarang Semut (12km dari Alor Setar (S) atau 20km dari Gurun), belok ke kiri, dalam 5km sampai ke PLR

6. Rombongan -Bas dari perlis (Pergi-Balik RM 20.00 - kalau ada 40 orang peserta)

Sila laporkan kehadiran anda sebelum 1 Jun 2009 kepada (untuk ToT 6 dan KMK 13)
1. Abu 'Ubaidah Sharudin (013-6284940) (bahagian putera), atau

2. Nailah bt Abdul Kadir (013-6418667) (bahagian puteri), atau

3. En. Ghazali : 012-4262343 (Perlis), EnKamal : 013-4820141 (Pualu Pinang), En. Zamri :
013-4514345 (Kedah), En Zulkifli : 019-5746099 (Perak)



Perkhemahan Permata Hati (PERMAI '09)


Ini adalah untuk makluman semua pembaca. Kepada sesiapa yang berhajat untuk menyertai, menghantar anak-anak anda ke Perkhemahan Permata Hati 2009....

Perkhemahan Permata Hati (PERMAI 2009)

Butiran Program
Tempat : Pusat Latihan Kokurikulum Pulau Pinang (PULAKOPP)
Tarikh : 11 hingga 13 Jun 2009 (Khamis hingga Sabtu)
Tema : Anak Cemerlang Anak yang Soleh
Sasaran : Sek Rendah Darjah 1-6 lelaki dan perempuan
Yuran : RM 50.00
Anjuran : Kelab Guru HALUAN dan Kelab Remaja HALUAN (KeARAH ) Pulau Pinang


Sedikit makluman tentang program ini.
Objektif program:

1) Mengisi waktu cuti pelajar dengan penuh manfaat
2) Melahirkan murid beakhlak mulia, cemerlang aklademik dalam menuju kecemerlangan

Sila hubungi Ust Fazlon (019 -478 1057) untuk keterangan lanjut. Boleh juga berhubung dengan saya. Tawaran ini terbuka kepada semua, khususnya kepada pelajar di Pulau Pinang.

Marilah bersama memeriahkan cuti kali ini dengan hadir di program ini. Rugi tak datang !!!
Mai pakat-pakat rebut peluang !!!


Nadwah Kepimpinan MATRI 2009 (NADI '09)


Alhamdulillah, sekitar 29 hingga 31 Mei 2009, Jumaat hingga Sabtu yang lalu, sebuah program bersama antara pelajar lepasan MATRI dan pelajar MATRI berjaya dilaksanakan. Program yang julung-julung kali diadakan ini bagi saya merupakan satu program yang berjaya. Meskipun mempunyai beberapa kelemahan dan kekurangan yang berlaku sepanjang program, namun saya tidak menafikan bahawasanya terdapat banyak kebaikan dan manfaat daripada program ini.


Bertunjangkan kepada motto MATRI sendiri:

' Ulama' pewaris Nabi '

Maka program bersama ini dirancang dan dianjurkan. Melihat kepada pentingnya kesinambungan dakwah dan tarbiyah dalam perencanaan kehidupan pelajar MATRI, abang-abang lepasan MATRI sebahagiannya mengambil inisiatif untuk turun merancang bersama dengan beberapa kepimpinan pelajar MATRI. Program bersama ini dianjurkan untuk kepimpinan pelajar MATRI khususnya.

"Integrasi Asas Legasi"

Itulah motto NADI' 09. Diadaptasi daripada kata-kata seorang mujahid Islam. Kesatuan asas pewarisan. Memang benar, dalam kepimpinan ukhuwah adalah aspek penting yang tidak boleh diabaikan. Hilangnya ukhuwah akan mengakibatkan kepincangan dalam kepimpinan.

Kita melihat pentingnya untuk pelajar MATRI terus mewarisi apa yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan mereka pada masa-masa sekarang dan akan datang. Justeru, hendak memastikan pewarisan ini terus berlaku, maka perlulah dimulai dalam diri pemimpin itu sendiri.

Pemimpin yang baik dan sedar adalah pemimpin yang taat kepada Allah dan Rasul.
Bahkan dalam firman Allah sendiri telah mensyaratkan bahawa ketaatan kepada pemimpin itu hanyalah jika pemimpin itu seorang yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Dalam kepimpinan, kita tidak sekadar membawa syiar untuk mengajak 'rakyat' di bawah kepimpinan kita melakukan kebaikan. Bahkan kita mengajak dan mendidik untuk menjadi seorang hamba yang taat dan takut kepada Allah s.w.t. Didikan yang kita bawa semuanya berteraskan apa yang diajar oleh Rasul s.a.w.

Nametag Peserta


Lantaran itu, Nadwah Kepimpinan MATRI 2009 (NADI '09) kali ini mensasarkan kepimpinan MATRI sebagai peserta untuk bersama dengan beberapa orang lepasan MATRI. Program ini selain menerapkan konsep ice breaking, ia juga dirancang untuk pemantapan fikrah dan penyelarasan pengorganisasian di MATRI.

Alhamdulillah, peserta baik daripada lelaki mahupun perempuan memberi komitmen dan kesungguhan yang tinggi dalam menjayakan program ini. Kedatangan abang-abang dan kakak-kakak lepasan dari jauh juga membawa bersama seribu harapan dan kenangan kepada adik-adik peserta yang terlibat dalam program ini. Apapun, yang kita harapkan adalah komitmen diri untuk terus kekal dalam dakwah dan tarbiyah baik di dalam MATRI mahupun di luar. Bukan sahaja kepada kepimpinan MATRI, bahkan kepada semua sekali pelajar MATRI.

Allah beri peluang beramal cuma sekali di dunia ini. Janganlah rugikan peluang ini.

Syed Qutb pernah menyebut:

"Orang yang hidupnya untuk akidah ini (Islam), kehidupannya luas dan panjang"

Piihlah untuk diri kita kehidupan yang bahagia. Bukan kebahagiaan dunia semata-mata, bahkan kebahagiaan di akhirat.

Wallahu a'lam.

Tuesday, June 2, 2009

Anak Itu Lahirnya Bersih Macam Kain Putih

Pernah dalam satu program, para peserta ditunjuk dengan sehelai kertas putih yang bersih dan belum digunakan. Ditanya kepada para peserta apa yang mereka dapat lihat pada kertas putih itu, maka ada yang menjawab,"Takde ape pun boleh nampak kat kertas tu", "Nampak kertas kosong je la." Kertas putih itu kemudian ditompokkan dengan satu titik hitam kecil pada kertas itu, kemudian ditanya sekali lagi pada semua peserta,"Sekarang apa yang kamu nampak?", Maka semuanya menjawab, "Titik hitam, bang."

Inilah perumpamaan yang hendak dibawa dalam pendidikan anak-anak.Dalam mendidik anak-anak, ibu bapa adalah pencorak ataupun 'designer' kepada peribadi anak-anak mereka sendiri.Mereka yang memegang pen dan kertas.Merekalah bakal mencorakkan bagaimana kertas putih itu hendak dibentuk dan dicorakkan.Jika mereka mencorakkan sesuatu yang baik, maka kertas putih tadi akan memberi manfaat besar kepada orang lain walaupun asalnya cuma sehelai kertas putih yang kosong.Jika dicorakkan dengan sesuatu yang tidak baik ataupun buruk, maka buruk jugalah kesannya baik kepada kertas putih itu sendiri mahupun kepada orang lain.Jika dibiarkan sahaja tanpa dicorak dan dibentuk oleh ibu bapanya, maka kertas putih itu pasti akan berterbangan mencari seseorang yang boleh melakar sesuatu atasnya.

Bertunjangkan kepada apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Tidak dilahirkan anak-anak itu melainkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang mencorak anak itu sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi."


Ibu bapa sangat besar peranannya dalam pembentukan peribadi anak-anak mereka.Lihatlah dalam hadith di atas, Rasululah s.a.w. sendiri bahkan menyentuh tentang peranan ibu bapa dalam sistem kekeluargaan.

Hari ini, kita boleh lihat, majoriti anak-anak muda pada hari ini hidup dalam kerosakan dan kemaksiatan.Pelbagai masalah yang dahulunya menjadi satu perkara luar biasa dalam masyarakat kita, pada hari ini apabila berlaku masalah itu dalam masyarakat muda mudi hari ini, seolah-olah ia menjadi satu perkara biasa.

Zina, pergaulan bebas lelaki perempuan, belum berkahwin tapi boleh duduk serumah, sebilik. Realiti ini diakui sendiri oleh seorang remaja yang terlibat dalam kes ini di salah sebuah institut pengajian tinggi di Malaysia.

Bukanlah hendak menuding jari menyalahkan ibu bapa, tidak sama sekali! Sekadar mencetus pendapat bahawasanya dalam hal ini, ibu bapa sebenarnya berperanan besar.Jikalau tidak, mestilah Rasulullah tidak menyebut tentang peranan ibu bapa dalam mencorak anak-anak mereka.

Saya mengajak semua pembaca untuk kita kembali meneliti sistem pendidikan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah bukan sekadar seorang pemimpin negara yang amanah, panglima tentera yang bijak, bahkan Rasulullah dalam keluarganya turut adalah seorang bapa yang bertanggungjawab.Mengambil contoh daripada apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. terhadap anaknya, Fatimah:

"Jikalau Fatimah mencuri, maka akan ku potong tangannya"

Lihatlah didikan yang dibawa oleh Rasulullah terhadap anaknya.Semuanya bersumberkan Al-Quran.Rasulullah tidak mendidik anaknya melainkan untuk taat dan patuh kepada Allah s.w.t., kepada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.Lantaran itu, kita melihat wujudnya keseimbangan hidup dalam generasi awal (As-Sabiq Al-Awwalun) hinggakan diiktiraf oleh Allah dalam Al-Quran.Mereka mengambil sumber didikan yang benar daripada Al-Quran dan sunnah Rasul s.a.w. dalam mendidik anak-anak mereka.

Luqman Al-Hakim dalam mendidik anaknya memberi nasihat agar tidak mensyirikkan Allah.Bahkan ia mensyaratkan kepada anaknya agar sentiasa menunaikan solat dan mengerjakan maaruf serta mencegah kemungkaran.Inilah didikan yang akhirnya membawa kepada pembentukan peribadi anak-anak yang baik dan jauh daripada kejahatan dan kemaksiatan.Apabila hak Allah dijaga, maka Allah pasti akan menjaga kita pula.

Justeru, kepada semua ibu bapa, bakal ibu dan bapa, anak-anak, pemuda pemudi...
Marilah kita kembali kehidupan kita...

Saya bukanlah orang yang sudah berkahwin.Cuma berkongsi realiti yang jelas menghancurkan ummat manusia. Pembentukan ummat bermula daripada pembentukan individu. Individu dibentuk dalam sebuah usrah (keluarga). Jika keluarga tidak mendidik dengan sistem didikan yang disyariatkan oleh Allah, maka individu yang terbentuk bukan lagi untuk mentaati Allah, sebaliknya mencemarkan dunia ini dengan maksiat dan kerosakan.

Kehidupan yang dirahmati adalah kehidupan yang berakarkan wahyu Illahi,
Fikirlah sedalamnya dalam hati,
Jika anak tidak dibentuk dengan sistem Rabbani,
Maka sistem kuffar akan menjadi pengganti,
Saat itu, lihatlah kefasadan berlaku di mana-mana sahaja.

Sekadar perkongsian.Maaf atas sebarang kesilapan.


Sunday, April 26, 2009

[[ Menentukan Destinasi Hidup ]]

Saya teringat pada hari saya bersama-sama sahabat saya menjalankan program di Merbok sekitar dua tiga minggu lepas. Sekadar sebagai selingan dan untuk memberi peringatan kepada para peserta, saya sempat menayangkan sebuah video yang menceritakan dan menggambarkan tentang azab kubur. Saat video itu mula ditayangkan, kelihatan semua pelajar merapati satu sama lain dan ada sebilangan besarnya yang menundukkan muka dan menutup pandangan mereka terutama peserta perempuan. Melihat gelagat mereka ini, saya tersenyum sendiri. Benarlah apa yang telah disebut oleh Rasulullah s.a.w. tentang umat akhir zaman yang bermaksud:

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda; "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya," Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, " Bahkan kamu ramai pada hari itu, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'." Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati."

HR Abu Daud




Manusia walaupun setinggi langit dia berdiri, pastinya suatu hari nanti dia akan kembali rendah ke fitrah asalnya yang tercipta daripada tanah. Kerana apa? Kerana kematian itu adalah satu perkara yang pasti bagi setipa yang bernyawa. Hakikat ini telah diungkapkan dalam Al-Quran dalam surah Al-Imran ayat 185 yang bermaksud:

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati"

Inilah satu hakikat yang tidak dapat kita sangkal dalam kehidupan. Kita ini datang daripada Allah, maka kepada Allah jualah kita akan kembali. Kita diciptakan dan dihantar ke muka bumi ini adalah sebagai utusan Allah untuk memelihara kemakmuran dan kesejahteraan di muka bumi Allah ini. Allah utus kita juga adalah sebagai hamba. Allah telah sebutkan dalam ayat 56 surah Az-Dzariyat yang bermaksud:

"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk berubudiah kepada-Ku"

Inilah tuntutan ke atas kita yang bakal ditanya oleh Allah s.w.t. apabila kita dipanggil pulang nanti. Jikalau sewaktu hidupnya kita, kita memenuhi tuntutan dan perintah Allah, sentiasa berusaha untuk membuat kebaikan, maka InsyaAllah pengakhiran kita juga adalah pengakhiran yang baik. Jikalau sewaktu hidupnya kita, kita sibuk dan lalai daripada mentaati dan melaksanakan perintah Allah, maka tunggulah balasan dan azab yang bakal kita tempuhi. Sesungguhnya janji Allah itu adalah sebenar-benar janji. Allah telah menjanjikan ganjaran kebaikan untuk hamba-Nya yang sentiasa tunduk patuh kepada-Nya. Begitulah juga sebaliknya, bagi siapa yang ingkar dan jauh daripada Allah s.w.t., Allah telah janjikan untuknya seksa dan azab yang keras dan pedih.

Kita hanya diberi dua pilihan sahaja, tidak ada yang ketiga atau yang keempat. Sekiranya kita memilih jalan kebenaran, maka itulah yang terbaik bagi kita. Jika kita memilih jalan kemurkaan Allah, maka itu adalah seburuk-buruk pilihan bagi diri kita. Terpulang kepada kita untuk memilih kehidupan yang bagaimana buat diri kita. Allah kurniakan akal dan hati, jika dua unsur ini dikawal oleh iman, maka benarlah pilihannya. Tetapi jika nafsu yang menguasai kedua-duanya, maka tunggulah kehancuran ke atas diri anda.

Allah telah sebutkan dalam Al-Quran surah Al-Baqarah yang bermaksud:

"Tiada paksaan dalam agama. Sesungguhnya telah jelas jalan yang
benar daripada jalan yang sesat"

Ayat ini sering disalahgunakan. Sesetengah orang membacakan ayat depannya sahaja "Tiada paksaan dalam agama" semata-mata untuk mendapatkan hak kebebasan beragama. Sedangkan sambungannya ada di situ "Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat".

Inilah dua jalan yang menentukan akhir hidup kita. Dua jalan ini tidak pernah mempunyai ruang untuk perkongsian. Tidak ada jalan tengah antara kedua-duanya. Jika kita hendak kepada kebaikan, maka kejahatan mesti ditinggalkan. Jika kita memilih kesesatan, maka tidak ada belas kasihan daripada Allah s.w.t.

Lihatlah pada umat-umat sebelum ini yang telah banyak dibinasakan oleh Allah s.w.t. kerana telah menolak hukum Allah. Lihatlah apa yang terjadi pada umat Nabi Hud, kaum Aad dihancurkan dalam ribut taufan yang disangka mereka hujan yang membawa rahmat. Lihatlah umat Nabi Nuh, ditenggelamkan dalam kesesatan. Umat Nabi Lut yang diterbalikkan bumi oleh Allah s.w.t. Seksaan dan azab Allah datang secara 'direct' pada orang yang ingkar pada arahan dan perintah Allah. Tetapi bagi umat Nabi Muhammad, seksa untuk orang yang ingkar kepada-Nya ditangguhkan hinggalah tiba Hari Perhitungan nanti, satu hari yang pasti tapi tidak tahu bila.

Oleh sebab itu, marilah kita berfikir dari sudut hati kita yang dalam. Adakah kita ingin kesudahan yang baik untuk diri kita? Atupun kita menginginkan kebahagiaan yang sementara di dunia ini kemudiannya menanggung azab seksa yang dahsyat di Hari Kebangkitan nanti?
Fikirlah dengan iman ...

Saturday, April 25, 2009

[[Erti Kehidupan Yang Terisi Dengan Makna Perhambaan]]

Suatu hari, saya masuk ke dalam kelas darjah lima. Sengaja saya masuk. Mengisi kekosongan kelas itu yang tiada guru. Sewaktu langkahan saya mula mencecah lantai kelas, murid-murid kelas itu segera berada di tempat duduk mereka. Suasana yang tadi bising mula senyap. Bimbang dimarahi agaknya mereka ini, detik hati saya.

Saya memulakan kalam saya dengan satu senyuman lebar, menarik nafas kemudian terus memulakan bicara. "Nak dengar cerita tak?" tanya saya pada semua murid-murid darjah lima selepas memberi salam. Seluruh kelas itu dengan penuh rasa gembiranya menjawab,"Nak! Nak!" Inilah resepi mencuit hati kanak-kanak, jika bukan dengan hadiah, maka ceritalah yang boleh mengubati suasana bising tadi.

"Hari ni ust nak cerita tentang kisah nabi sulaiman a.s. dengan burung hud-hud. Nabi Sulaiman sedang..." saya menceritakan kisah itu sehingga habis. Khusyuk betul mereka mendengar saya bercerita.
Di akhir kelas, saya bertanya kepada mereka, "Hebat tak kekuasaan Allah?"
Jawab mereka, "Hebat! Hebat !"
"Nabi Sulaiman boleh faham dengan bahasa binatang. Bagaimana pula dengan kita? Kita boleh bersembang dengan burung tak?"
"Tak boleh, ust." jawab mereka kembali.
Saya bertanya lagi, "Kalau burung hud-hud yang kecil pun taat dan tunduk kepada Allah, kita yang besar daripada burung hud-hud ini perlu taat kepada Allah ataupun tak?"
"Dah tentulah kena taat, ust." Jawab Alia, salah seorang pelajar.
"Macam mana nak taat?" tanya saya.
" Kita solat tiap-tiap hari, ust."
" Kita puasa, ust."
" Kita taat kepada ibu bapa."
Jawapan singkat daripada mereka ini membuat saya tersenyum. Bagi saya, kanak-kanak sebesar ini jika sudah boleh menjawab seperti ini, sudah kira baik.
" Betul, semua. Alhamdulillah! Tapi semua mesti tahu bahawa hidup kita ini adalah untuk Allah."

Inilah erti kehidupan yang sebenar. Sebuah kehidupan yang dimaknai dengan hakikat perhambaan kepada Allah. Kehidupan yang penuh dengan ketaatan kepada Allah. Hakikat yang perlu kita ketahui adalah ketaatan itu bukanlah ketika kita solat sahaja, ataupun ketika bayar zakat sahaja ataupun apabila tiba bulan Ramadhan, kemudian berpuasa. Bukan setakat ini yang dimaksudkan dengan perhambaan dan ketaatan. Kehidupan kita seluruhnya sekali adalah untuk kita memperhambakan diri kita kepada Allah. Daripada awal pagi kita dibangkitkan Allah daripada tidur hinggalah kita tidur semula di malam hari, seluruhnya adalah untuk kita tunduk dan patuh kepada Allah.Kehidupan ini tidak pernah bahagia jika makna perhambaan tidak wujud dalam hidup kita. Lantaran hal ini pun telah Allah jelaskan dalam kalamnya yang agung dalam surah Az-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud:

"Tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia melainkan untuk
memperhambakan diri kepada-Ku"


Jelasnya dalam ayat ini menyatakan bahawa peranan kita di dunia adalah sebagai hamba. Hamba kepada Rabb yang berkuasa ke atas alam ini, Rabb menciptakan diri kita, Rabb yang bakal menentukan akhir destinasi hayat kita, inilah tugas kita di muka bumi ini. Kita mempunyai misi untuk perjalanan yang singkat ini. Inilah misi besar yang kita hendak kejar iaitu mardhotillah. Apa itu mardhotillah? Inilah sebesar-besar matlamat. Tanpa matlamat ini, semua matlamat lain adalah kecil dan sia-sia belaka. Allah telah menyebut lagi dalam firmannya yang bermaksud:

"Dan keredhaan dari Allah itu adalah paling besar"

Umur kehidupan kita adalah umur yang singkat. Kita tidak berpeluang untuk hidup beratus-ratus tahun lamanya seperti umat Nabi-nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Nuh misalnya disebutkan dalam Al-Quran umurnya yang dihabiskan untuk menyeru kaumnya supaya kembali kepada Allah adalah kira-kira 950 tahun. Jika dibandingkan dengan umur umat Nabi Muhammad s.a.w. yang hanya sekitar 60 ke 70 tahun, kita sudah tentulah akan kalah dari segi pahala amalan. Tapi sebenarnya tidak. Allah telah janjikan untuk kita pahala yang berlipat kali ganda bagi setiap amalan kebaikan yang kita lakukan kerana jangka umur kita yang singkat berbanding ummat-ummat terdahulu. Justeru, kehidupan ini tidak seharusnya dibazirkan dan dibiarkan begitu sahaja. Kita ada misi yang kita hendak sempurnakan.

Inilah misi kita terbesar dalam hidup kita, mengejar keredhaan Allah. Allah yang menganugerahkan kehidupan ini kepada kita. Kita sepatutnya bersyukur dan memaknakan kehidupan ini dengan perhambaan. Ibaratkanlah seperti seorang pekerja yang diterima oleh seorang majikan untuk bekerja di sebuah syarikat. Jika pekerja itu membalas kepercayaan tuannya terhadapnya dengan bekerja bersungguh-sungguh, maka dia mungkin diberi bonus bulanan ataupun mungkin dinaikkan pangkat. Jika dia membalas kepercayaan tuannya itu dengan 'main-main' dalam pekerjaannya, maka hasilnya pun main-mainla juga. Begitulah kehidupan kita, jika kita berusaha mengejar dan mencari redha Allah dalam setiap amal kita, pastinya Allah akan beri. Jika tidak usaha, maka Allah pun 'tak sudi' untuk beri kepada kita kerana kita malas dalam mengejarnya.

Setiap aktiviti hidup kita mestilah diiringi dengan redha Allah. Sebab apa? Jika seinci pun jari kita ni bergerak tapi bukan bertujuan untuk mendapatkan redha Allah, maka rugilah diri kita. Kerana dosa dan pahala itu kepunyaan Allah. Bahkan balasan syurga yang seluas langit dan bumi itupun milik Allah. Neraka yang penuh dengan azab siksaan yang pedih itupun Allah yang punya. Jika kehidupan kita selama ini telah kita bazirkan tanpa niat untuk mengejar redha Allah, maka perbaikilah kembali. Para sahabat di zaman Rasulullah s.a.w. sangat risau jika setiap langkahan mereka bukan untuk mendapatkan redha Allah. Oleh sebab itu, setiap langkahan mereka dipastikan adalah untuk mengejar redha Allah semata-mata. Mereka bimbang jika satu langkahan saja bukan kerana mengejar redha Allah, jika dicabut nyawa ketika itu, alangkah ruginya mereka.

Justeru, marilah kita maknakan kehidupan ini dengan perhambaan agar hidup ini benar-benar bererti. Marilah kita berusaha mengejar redha Allah. Dengan redha Allah jualah, kita bakal diganjari dengan syurga Allah yang tak terhitung rahmat dan nikmatnya. Marilah memperhatikan amal hidup kita. Jika apa yang kita lakukan itu mendatangkan kasih dan redha Allah kepada kita, teruslah istiqamah dengan amal itu. Jika apa yang kita lakukan itu ada yang mengundang kemurkaan dan kemarahan Allah terhadap kita, maka segeralah tinggalkannya. Apabila seorang kekasih benar-benar hendakkan cinta dan redha Kekasihnya terhadap dia, maka sudah pasti dia berusaha melakukan apa yang disukai oleh Kekasihnya terhadap dirinya dan meninggalkan apa yang tidak disukai oleh Kekasihnya terhadap dirinya. Inilah kekasih agung kita, Allah s.w.t.

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP