Wednesday, February 10, 2016

Seni Sesama Kader




Kalau menjawab soalan perlukan kemahiran, bertanya soalan pun perlukan kemahiran juga.

Bukan semua soalan sesuai ditanya, bukan semua soalan yang sesuai ditanya itu pula, sesuai dengan tempat dan orang yang ditanya.

Seperti bertanya soalan bahasa arab tinggi kepada pelajar bahasa arab sekolah rendah. Soalan begitu sesuai ditanya, tetapi tidak sesuai pada orang dan tempatnya. Kalau ia ditanya pada pelajar tingkatan 4 dan 5 pun belum tentu dapat dijawab, inikan pula ditanya kepada pelajar sekolah rendah.

Ia perumpamaan yang mudah difahami, harap-harapnya.

Bahkan bertanya soalan ini ada hubungkaitnya dengan kisah Bani Israil dalam surah Al-Baqarah, yang mana apabila mereka bertanya, itu menunjukkan kelemahan cara fikir dan akhirnya menyusahkan mereka semula.

Saturday, October 25, 2014

Teori Peralihan Marhalah Dakwah

~pic by cetusanminda. Marhalah yang sering disebut-sebutkan.

Dakwah yang dilakukan secara jamaie’ tak dapat tidak perlu kepada rantaian perkembangan marhalah agar dakwah tak hanya berputar di marhalah lama dan kekal dengan cara yang sama saja.

Kerana perkembangan zaman yang berlaku, selari dengan pertumbuhan generasi dakwah yang baru di zaman baru, maka dakwah juga memerlukan perkembangan dari segi gerakannya dan kerelevanan aplikasinya di setiap zaman.

Ini adalah antara faktor yang saya rasakan penting kenapa berlaku peralihan marhalah selain dari sebab yang kita sering bincangkan iaitu tumbuh bangun dakwah ini yang betujuan untuk melaksanakan Islam itu dalam bentuknya yang syumul.

Saya mungkin tidak detailkan perbincangan tentang perlaksanaan Islam itu dalam bentuknya yang syumul sebagai gerakan kolektif memandangkan itu bukan fokus saya dalam tulisan ini. Walaupun saya mungkin boleh bersetuju pada beberapa pendapat dan tidak bersetuju dengan beberapa pendapat berkaitan hal ini terutamanya dalam perbincangan yang sering diangkat bahawa gerakan Islam perlu melibatkan diri dalam gelanggang politik di marhalah barunya.

Thursday, August 28, 2014

Lelaki Dakwah Adalah Rijal Masjid



Para daie’ adalah orang yang sepatutnya sentiasa berusaha memelihara keterikatan hatinya dengan Allah. Sebelum keterikatannya dengan mad’unya, terlebih utama adalah untuk dia memastikan hatinya benar-benar terikat dengan Allah.

Sungguh canggung rasanya, daie’ yang menyibukkan dirinya dengan kerja dakwah kepada awam, dengan menyampaikan kuliah atau materi tarbiyah kepada anak buahnya, tetapi hatinya kering roh, keterikatan hatinya dengan Allah terumbang-ambing. Menunggu masa dilambung ombak tinggi, dipukul, dihempas, jatuh tiada bangun lagi.

Justeru, para daie’ perlu memberi perhatian terhadap wasail (jalan-jalan) yang sentiasa dapat menyampaikan dirinya kepada keterikatan hatinya dengan Allah.

Maka, di antara wasail itu, masjid adalah antara yang terpenting, juzuk penting daripada juzuk-juzuk kehidupan para daie’. Pastinya apabila berbicara tentang masjid, fokus lebih terjurus ke arah lelaki berbanding wanita.

Ia menjadi penting bukan kerana memenuhi keperluan dakwah semata-mata, tetapi kerana sebelum menjadi keperluan dakwah, ia telah terlebih dahulu menjadi keperluan diri kita sebagai mukmin, bekal penting di atas jalan pulang kita menuju akhirat.

Daie’ yang jauh dari masjid, sambilewa dan endah tidak endah dengan hubungannya dengan masjid, mudah sekali untuk dijangkiti penyakit-penyakit yang merosakkan kerja dakwahnya, juga tak jarang terjadi banyak masalah antara dirinya dengan masyarakat, konflik double standard yang akan nantinya dipersoalkan.

Banyak bercakap tentang Allah, tetapi jarang-jarang nampak di rumah Allah.

Sunday, July 20, 2014

Virus Nifaq Dalam Barisan Dakwah



Selalu yang dipesan oleh Rasul s.a.w. itu melalui ciri nifaq atau munafiq ada tiga. Apabila berjanji, memungkiri, apabila diberi kepercayaan dia mengkhianati, apabila bercakap ia berdusta.

Sifat yang dipesan bukan untuk kita carinya pada susuk tubuh orang lain, tetapi lebih dipesan agar kita berhati-hati dengan diri kita sendiri daripada terjebak dengan sikap sedemikian. Kalau musyrik itu sudah teruk, bahkan menjadi munafiq jauh lebih teruk. Lantaran itu, Allah menjanjikan neraka terbawah, terpanas untuk orang munafiq.

Luarnya Islam, dalamnya terisi kotoran kekufuran. Terzahir seakan-akan orang terdekat dengan orang mukmin, tetapi hatinya ternyata jauh sekali daripada mempunyai ikatan bersama mereka.

Begitulah ancaman yang terpaksa dihadapi oleh baginda s.a.w. pasca pembentukan daulah di Madinah. Ia ternyata sebuah ujian yang berat, jauh lebih berat daripada apa yang dihadapi ketika mereka di Makkah.


Saturday, May 3, 2014

Dilema Antara Pengorbanan Dan Kebajikan Dalam Harakah Islam



Harakah atau jamaah Islamiyah kebiasaannya mempunyai target atau matlamat tertentu untuk dicapai sama ada dalam jangka masa pendek ataupun panjang.

Target-target ini tercapai melalui komitmen ahli yang berada di dalam jamaah. Kerana harakah Islamiyah adalah institusi ataupun gerakan yang tidak bersandarkan kepada kerajaan atau mana-mana institusi kewangan besar, maka ia lebih banyak berdiri atas infaq dan janaan ekonomi dalaman.

Bila kita berbincang tentang merealisasikan target harakah, tidak kiralah sama ada target itu berbentuk pendidikan, kemasyarakatan, politik atau ekonomi, maka ia pasti tidak terpisah dengan istilah yang sangat maaruf dalam anggota harakah, iaitu at-tadhiyah, yakni pengorbanan.

Persoalan pengorbanan ini jika dibicarakan secara tunggal dengan meninggalkan istilah kebajikan, ia pasti akan menimbulkan kecacatan dalam gerak kerja harakah.

Sunday, August 11, 2013

Victim Mentality Dalam Diri Amilin Harakah Dakwah




Dakwah itu adalah output daripada penyertaan diri kita dalam proses tarbiyah.

Tarbiyah yang terus-menerus diikuti tanpa diiringi dengan proses dakwah akan melahirkan pengikut yang mandul.

Sebab itulah, tarbiyah tanpa dakwah hanyalah sia-sia. Begitulah antara kata-kata yang dipetik dari al-marhum murabbi tarbiyah, Ustaz Dahlan Mohd Zain.

Melaksanakan kerja dakwah itu menuntut kepada pengorbanan. Pengorbanan ini tidak akan kita fahami sehingga kita sanggup memberikan masa, harta hatta nyawa kita sendiri untuk kerja dakwah ini.

Tuntutan berkorban ini tidak akan dapat dijayakan sekiranya di dalam diri para amilin masih mempunyai victim mentality yang tinggi.

Monday, July 29, 2013

Menguruskan Sumber Manusia Dalam Organisasi Dakwah



Organisasi dakwah adalah organisasi yang mengumpulkan pelbagai lapis manusia yang mempunyai pelbagai latar belakang baik dari segi pekerjaan, umur dan sebagainya. Kepelbagaian manusia ini bukan untuk dikumpulkan untuk meramaikan bilangan ahli dalam organisasi dakwah semata-mata apalagi untuk dihalakan pada satu bidang kerja yang sama sahaja.

Tetapi kepelbagaian manusia ini perlu diuruskan dengan baik agar kepakaran serta potensi mereka di bidang mereka masing-masing dapat dimanfaatkan dan disusun atur untuk maslahat masa depan dakwah.

Sebab itu, memposisikan manusia dalam gerak kerja dan strategi dakwah adalah satu yang amat penting.

Mengabaikan aspek ini akan menyebabkan dakwah kita tidak berkembang dengan baik dan potensi sumber-sumber manusia yang ada bersama dengan kita itu akan terbazir begitu sahaja kerana tidak diposisikan dengan baik.

Saturday, July 27, 2013

Daie' Yang Bermimpi





Besar maknanya di dalam hidup ini bagi orang yang diberi hidayah oleh Allah s.w.t. untuk berada di dalam sebuah suasana yang baik, suasana dakwah dan tarbiyah.

Bagi orang-orang yang terlibat dalam dakwah dan tarbiyah, kalimah daie’(penyampai), dakwah (mengajak kepada kebaikan), mad’u (orang yang diseru) adalah satu istilah-istilah biasa yang selalu didengar.

Ia bagaikan halwa telinga. Saban minggu diulang-ulang dalam usrah, dalam ijtima’, dalam penyampaian, dalam tazkirah dan di mana-mana perjumpaan.

Pengulangan adalah antara metod memberi peringatan yang sangat berguna tetapi pengulangan tak kurang akan menimbulkan rasa bosan. Rasa bosan dan jemu mungkin kerana pengulangan tidak menepati keperluan kerja dakwah yang dilakukan oleh sang daie’ setiap hari, keluar mencari mad’u-mad’u baru, keluar habis-habisan setiap hari mencurahkan tenaganya merekrut kader-kader dakwah yang baru, namun pengisian yang sama masih terus diulang-ulang tanpa ada penambahbaikan. Itu barangkali boleh jadi salah satu sebab kepada rasa bosan.

Satu sebab lagi adalah kerana memang usaha dakwah membentuk kader-kader dakwah yang baru tidak pernah dilakukannya ! 

Thursday, June 7, 2012

LangitIlahi TV Show ~ 'Warming Up' Ramadhan

Sudah lama saya membiarkan blog ini. Huhu. Kasihannya. Maaflah kalau ada yang selalu mengikuti blog ini.
Saya lebih aktif di LangitIlahi sekarang. Apapun, ini hadiah daripada saya untuk Ramadhan yang akan tiba sebulan lebih dari sekarang.

Bagaimana mempersiapkan diri untuk Ramadhan?
Jom, saya ceritakan sikit tentang 'Warming Up' Ramadhan.

Semoga bermanfaat.
Semoga Allah redha.


Thursday, March 15, 2012

Menghikmahkan Bahasa Lidah


Bagaimana menghikmah bahasa lidah?
~ Picture by http://zinoi.deviantart.com/


Cakap dengan buat adalah dua perkara berbeza.

“Mad jangan merokok. Ayah nampak Mad merokok je, siaplah Mad.”

Pada hari yang lain pula, “Ayah, hari tu ayah tak bagi Mad merokok. Kenapa ayah pula yang merokok?”

“Ah, kau diamla. Kau tu budak lagi. Apa kau tahu? Aku orang tua. Lain.”

Nampaknya si ayah memiliki dua karakter berbeza dalam diri.
Bahasa ‘lidah’ dan bahasa ‘badan’ yang tidak senada.

Si anak sudah mula keliru dalam menentukan nilai.

‘Baik ke buruk sebenarnya rokok ni?’ Dan ia akan lebih cenderung kepada bahasa badan biasanya, kerana itu lebih dekat dan jelas di matanya berbanding bahasa lidah yang mudah sekali dilupakan.

Friday, March 9, 2012

Risaulah Dengan Dosa Yang Menghijab


Jangan sampai dosa menghijab hati kita dengan Allah !
~Picture by http://mechanicallazarus.deviantart.com/ 


Mundurnya umat Islam zaman ini adalah kerana terbelenggu dengan dosa dan maksiat. Dosa bukan lagi satu perkara luar biasa, tetapi menjadi kebiasaan dalam masyarakat hari ini.

Satu ketika dahulu, bilamana Abu Zar Al-Ghifari mengeluarkan kata-kata yang mengutuk Bilal bin Rabah dengan panggilan ‘budak hitam’, setelah ditegur oleh Rasul s.a.w., beliau cepat sekali terasa begitu bersalah sekali dengan apa yang dilakukannya sehingga beliau sendiri meminta Bilal memijak mukanya untuk membalas tindakannya itu kepada Bilal.

Bahkan, zaman itu, susah sekali untuk dijumpai orang yang berzina. Kalau ada yang berzina, mereka datang mengaku kepada Rasul s.a.w. Walaupun sebenarnya, tidak menjadi masalah kalau mereka tidak berjumpa dengan Rasul s.aw. dan bertaubat.

Tetapi, kerana iman yang ada pada diri mereka, menyebabkan mereka rasa diri mereka begitu berdosa sekali, sehingga meminta Rasul s.a.w. menghukum mereka.

Wednesday, February 15, 2012

Puisi : Rindu Muhammadku



Saya kongsikan puisi yang saya bacakan dalam Majlis Maulidur Rasul Persatuan Mahasiswa Irbid Malaysia (PERMAI) 2012. Bukanlah puisi yang bagus sangat, tetapi sebagai perkongsian. Moga bermanfaat.

Satu lagi, panjang sikit puisi ni.^^


Puisi Rindu Muhammadku

Di sepanjang jalan
Kulihat lorong-lorong kegelapan
Berdiri gagah wajah-wajah kalah,
Sedang diri semakin parah,
Dibiarkan terus lemah.

Dulu aku adalah yang percaya,
Berlari menyambut cahaya,
Meski badai bertubi di depan mata,
Namun ku bahagia,
Melihat di sisi ada baginda.

Kini seolah yang ada,
Hanyalah derita,
Jaluran hidup nafsi-nafsi yang membelenggu
Penjara teori dan cakap kosong yang menipu,
Aku tidak tahu,
Apakah ini bergerak seperti yang kau mahu?

Aku rindukan suasana dulu itu,
Muhammadku.

Di mana-mana sesama saudara,
Umat saling cakar berebut benar,
Karya-karya hina pemuka agama,
Politik dusta pemimpin kita,
Semuanya seiringan,
Berjalan angkuh dengan kesalahan.

Quran dan sabdamu hanyalah kenderaan,
Untuk membolot kepentingan,
Aku tinggalkan mereka itu,
Jahiliah mendodoi memanjakanku,
Aku tinggalkan,
Keluar mencarimu dalam sepi rinduku.

Ku ingat zaman tika kita kuta,
Engkaulah inspirasi terhebat,
Berjuang tak kenal penat,
Tika rehat hanyalah jihad.

Tetapi hari ini ummat,
Berteduh lena di bawah payung rehat,
Mencanai rasa lemah dan kuat,
Dengan namamu Muhammad.

Tika engkau dilontar perut unta,
Menahan peritnya seksa,
Agar kami kenal harga syurga,
Tapi kami berebut mengejar dunia,
Jijik menjadi anjing neraka.

Cintamu pada kami,
Tiadalah tandingan dunia ini,
Ummati, ummati, ummati,
Derita apapun kau tempuhi,
Medan Uhud jadi saksi,
Tika besi menembus gusi,
Saat perut lapar kau ikat diri,
Engkau tak pernah henti,
Menyebar cinta pada kami.

Engkau sudah tiada,
Dan Bilal tinggalkan duka,
Membawa kenangan pergi bersama,
Terbang pulang bawa kami ke zaman mula.

Tika Bilal melagukan suara,
الله أكبر الله أكبر
أشهد أن لا إله إلا الله
أشهد أن محمد رسول الله

Azan itu,
Azan itu kembalikan rindu,
Makkah tangis menahan sendu,
Lemah untuk teruskan,
Hiba jiwa disapa kenangan.

Air mata mereka berderai,
Mengenang zaman kuat bersama baginda,
Tetapi air mata kita berjurai,
Mengenang zaman lemah dalam dosa.

Apakah ada Muhammadku,
Di jiwa kalian, kita dan aku?
Aku rindukanmu.

Nama pembangun kekuatan,
Kisah pengubat kelemaha,
Pasti wajahmu lebih menenangkan.

Bukanlah masanya,
Jika sekarang aku pilih berhenti,
Aku akan malu berdepan baginda,
Perjuangannya terhenti tika mati,
Tetapi aku berhenti sebelum harus pergi,
Siapa aku di sisinya nanti?

Inilah masanya,
Untukku teruskan kerjanya,
Bangun penuh kekuatan,
Meski di depan berjuta halangan.

Sekian banyak Abu Jahal dan Abu Lahab,
Menitis dalam umat ini,
Tetap tidak aku geruni.

Bersedialah ku datang,
Kaliankan ku tentang,
Jahiliah yang bersarang,
Tumbangkanlah.

Nanti bertemu kasih jiwa,
Biar dia tersenyum melihat kita.

Inilah tanda cintaku,
Untukmu Muhammadku,
Sungguh ku rindukanmu.


Afdholul Rahman CA
Dewan Kindi, Irbid, Jordan,
Puisi Rindu Muhammadku
Majlis Maulidur Rasul PERMAI.
140212 [Selasa]

Wednesday, January 18, 2012

Puisi: Yang Mahal Harga



Hari ini, satu lagi puisi. Sorilah. Sempat puisi dulu. Puisi khas, dedikasi untuk yang bernama muslimah.
^_^

Puisi Yang Mahal Harga

Tika bunga telah hampir kehilangan warna,
Yang tinggal bertahan hanya satu dua,
Walau diasak terus oleh dunia,
Tetap yang tinggal itu terus menjaga dirinya.

Tika bunga lain telah dipatahkan,
Rupanya masih ada yang berdiri dan bertahan,
Kagum aku melihat kekuatan di sebalik kelembutan,
Peribadi Aisyah yang terus ada tidak ditelan zaman.

Tika bunga telah kehilangan serinya,
Masih ada sekumpulan yang menjaga dirinya,
Siapalah yang mampu bertahan dengan godaan,
Kalau hidup tidak bertongkatkan iman?

Mereka bunga bukan sebarang bunga,
Bunga-bunga syurga,
Ada, membahagiakan dunia,
Tiada, terasa hilangnya,
Kerana mereka adalah yang mahal harganya,
Menjaga peribadinya di celah ramai yang sudah dibaham pemangsanya.

~[170112]~
Afdholul Rahman CA
Irbid
Puisi Yang Mahal Harganya
Dedikasi Untuk Yang Bernama Muslimah
2305 (Jordan)

Saturday, January 14, 2012

Puisi : Letih Dengan Dunia




Hari ni, saya masukkan semula sebahagian koleksi puisi saya. Moga bermanfaat !
~  ^_^  ~

Puisi Letih Dengan Dunia


Terasa ingin menjerit,
Memberitahu pada semua,
Betapa aku sudah terlalu perit,
Hidup dalam muslihat dunia.

Terasa ingin melaung sekuatnya,
Biar dunia tahu apa yang ku rasa,
Betapa aku ingin keluar dari kesempitan yang melanda,
Agar bisa ku kecapi tenang di jiwa.

Terasa ingin memberitahu semua,
Betapa letih sudah aku dengan dunia,
Tetapi ku tahu cukuplah dengan ada Dia,
Untuk aku kongsi segala.

Ingin ku cerita pada semua,
Bahawa aku telah hampir berputus asa,
Betapa kesibukan dunia telah memerangkap jiwa,
Tetapi di sebalik semua,
Masih ada ketenangan yang ku dapatkan dari Dia,
Untuk aku terus bangun dari kecewa.

~[130112]~
Irbid
Puisi Letih Dengan Dunia
2205 (Jordan)

Sunday, January 8, 2012

Jaket Cinta


Pada skala apapun, cinta di jalan Allah tetap berbeza dan luar biasa !
~Picture by http://roadkillromance.deviantart.com/


“Nah, ambillah. Ni hadiah untuk nta (kamu).”

“Untuk ana (saya). Betul ke ni? Macam tak percaya je? Betul ke nta bagi ana ni?”

Wednesday, December 28, 2011

Buih-buih Kehinaan


Buih-buih kehinaan yang merosakkan


Dada dihimpit dengan kesedihan dan kegusaran bila melihatkan keadaan umat Islam sekarang ini. Seolah-olah umat yang ada ini sedang membawa dirinya terjun ke dalam jurang dalam.

Stastitik umat Islam kalau nak dihitung adalah yang paling ramai di dunia. Kalau di Asia Pasifik sahaja, peratus umat Islam sahaja sudah melebihi separuh. Jangan ceritalah di negara-negara lain, memang sudah tidak terkira banyaknya.

Di negara-negara Barat sahaja, kian hari semakin bertambah penganut-penganut Islam.

Tetapi sungguh hairan bila melihat umat inilah yang terkebelakang dalam pelbagai bidang. Sedangkan suatu ketika dulu, umat inilah yang mempelopori pelbagai bidang baik dari segi keilmuan mahupun kemahiran-kemahiran dalam hidup.

Tidak perlu pergi jauh. Kita lihat sahaja statistik ekonomi masyarakat Malaysia. Masyarakat Islam di Malaysia hanya menguasai 20% sahaja daripada ekonomi negara. Dibandingkan dengan masyarakat Cina yang telah menguasai 60% hasil ekonomi negara, kita masih ketinggalan jauh.

Lihat pula kepada statistik masalah sosial. Hasil kajian yang melibatkan 2800 responden berusia daripada 15 hingga 25 tahun yang dijalankan pada tahun 2010 dengan portal Youth.says menunjukkan 60% remaja hilang dara menjelang umur 18 tahun.

60% itu sedikitkah?

Sunday, December 25, 2011

Anugerah Ratu Cantik Syurga


Nilai tinggi di dunia, jadi sebutan di syurga ! 
~Picture by http://laila-jihad.deviantart.com/~

Ratu cantik syurga, bukanlah yang sama seperti ratu cantik dunia.

Kalau ratu cantik dunia, kecantikan dan keseksian yang menjadi ukurannya, tetapi ukuran akhirat lebih tinggi daripada itu.

Ratu cantik dunia, hanya bersifat sementara. Masa mudanya, mungkin begitu jelita sehingga menggoda. Tetapi ketika tua, dunia pun sudah tidak memandangnya sehingga dia pun diabaikan.

Ratu cantik akhirat, adalah yang kekal selama-lamanya. Cantiknya kekal tidak fana. Keayuan dan kelembutannya bagaikan mutiara. Mahal yang tidak ada harganya. Di akhirat, dia sentiasa menjadi perhatian.

Tidak glamour di dunia tidak apa, tetapi biar glamour di syurga !

Saturday, December 10, 2011

Iman Mengawal Potensi, Meledakkan Perubahan


Sahabat yang sebenar, adalah yang saling melengkapi di atas paksi iman.
~Picture by http://lysa-bell.deviantart.com/


Hari ini (23/11), pensyarah subjek Ulum Quran saya, Dr Ridho Hawari masuk ke bilik kuliah dan mengajar tentang bab Pengumpulan Quran. Beliau sempat menyentuh tentang dua peribadi agung Islam, iaitu Saidina Abu Bakar as-siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab.

Katanya, kedua-dua sahabat Nabi s.a.w. itu ternyata memiliki peribadi yang saling bertentangan. Meskipun begitu, lihatlah bagaimana keduanya mampu membangunkan Islam dalam masyarakat.

“Lihatlah Abu Bakar. Peribadinya itu ittiba’ (sentiasa mengikuti) apa yang Rasul s.a.w. ajarkan. Tetapi Saidina Umar itu pula peribadinya ibtida’ (sentiasa inginkan pembaharuan).”

Doktor memberikan contoh peristiwa Perjanjian Hudaibiyah.

Friday, September 23, 2011

Puisi : Masih Tersenyumkah Hati?




Aku menoleh pada diri,
Merenung hari-hari yang dilalui,
Melihat betapa hati ini kian suram,
Hidup selesa di jurang dalam,
Tetapi dipertahankan penuh keyakinan,
Sedang diri tahu tidak berada di landasan.

Aku menoleh ke arah hati,
Bila senyuman tidak semanis dulu lagi,
Yang tampak jelas hanyalah kesuraman,
Kerna hidup jauh daripada iman,
Senyuman hati dulu sekadar sebuah dongeng,
Lagenda iman yang tidak mungkin berulang.

Aku menoleh sekali lagi,
Apa mungkin diri terus seperti ini,
Seronok meniti hari-hari kegelapan,
Sedang  hati menangis penuh kegundahan,
Kerna semakin jauh daripada Pemiliknya,
Maka, masihkah ada ruang tersenyum bahagia?

~230911~
Bayt Bujang Beriman, Irbid
Sajak Masih Tersenyumkah Hati?
11.03 malam (Jordan) @ 4.03 pagi (Malaysia)
[Afdholul Rahman CA]

Sunday, September 18, 2011

Khas : Motivasi Seorang Murabbi



Gambar 2009 - Pergi beraya di rumah ustaz


Hari ini, ulangtahun pemergian Al-Marhum Ust Dahlan Mohd Zain, murabbi saya yang dicintai. Setahun sudah berlalu masa itu.

Bila teringatkan kembali, kadang-kadang tertawa seorang diri, kadang-kadang rasa sesal pun ada, rasa sedih pun ada.

Tertawa gembira mengingatkan kenangan-kenangan bersama ustaz.
Sesal sebab tidak memanfaatkan semua masa ketika bersama ustaz.
Sedih bila terfikirkan ustaz sudah tidak ada.

Walaupun tidak lama mengenal Al-Marhum UDMZ, saya sangat terkesan dengan peribadinya.

Orang yang hebat tetapi sederhana kehidupannya.

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP