Friday, March 9, 2012

Risaulah Dengan Dosa Yang Menghijab


Jangan sampai dosa menghijab hati kita dengan Allah !
~Picture by http://mechanicallazarus.deviantart.com/ 


Mundurnya umat Islam zaman ini adalah kerana terbelenggu dengan dosa dan maksiat. Dosa bukan lagi satu perkara luar biasa, tetapi menjadi kebiasaan dalam masyarakat hari ini.

Satu ketika dahulu, bilamana Abu Zar Al-Ghifari mengeluarkan kata-kata yang mengutuk Bilal bin Rabah dengan panggilan ‘budak hitam’, setelah ditegur oleh Rasul s.a.w., beliau cepat sekali terasa begitu bersalah sekali dengan apa yang dilakukannya sehingga beliau sendiri meminta Bilal memijak mukanya untuk membalas tindakannya itu kepada Bilal.

Bahkan, zaman itu, susah sekali untuk dijumpai orang yang berzina. Kalau ada yang berzina, mereka datang mengaku kepada Rasul s.a.w. Walaupun sebenarnya, tidak menjadi masalah kalau mereka tidak berjumpa dengan Rasul s.aw. dan bertaubat.

Tetapi, kerana iman yang ada pada diri mereka, menyebabkan mereka rasa diri mereka begitu berdosa sekali, sehingga meminta Rasul s.a.w. menghukum mereka.



KITA, DI MANAKAH HILANGNYA SENSITIF TERHADAP DOSA

Saidina Umar adalah antara para sahabat Nabi yang cukup berhati-hati dalam memelihara dirinya dan rakyatnya daripada dosa.

Suatu kisah yang sangat maaruf dalam kalangan kita, ketikamana Saidina Umar mengadakan lawatan secara senyap untuk melihat keadaan hidup rakyatnya pada waktu malam. Bila tiba di sebuah rumah, didapatinya ada seorang wanita sedang masak sambil anak-anaknya menangis teresak-esak menanti penuh kelaparan akibat sudah tidak makan beberapa hari.

Rupa-rupanya, suami kepada wanita itu adalah salah seorang tentera yang dihantar oleh Saidina Umar dalam sebuah peperangan. Saidina Umar berasa sangat berdosa kerana membiarkan keluarga itu  dalam keadaan begitu. Sehingga beliau sendiri yang mengangkat barang makanan dari gedung makanan untuk diberikan kepada wanita itu.

Tak cukup dengan itu, beliau meminta lagi daripada wanita itu agar tidak mendakwanya di akhirat atas kesilapannya itu.

Sensitifnya beliau dengan dosa. Bahkan ketika beliau menghantar satu batalion tentera Islam untuk berperang, beliau telah berpesan kepada panglimanya, iaitu Saad bin Abi Waqas :

“Aku memerintahkan kamu dan mereka yang bersama-sama dengan kamu supaya menjauhkan diri dari maksiat kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti daripada musuh-musuh Islam. Sesungguhnya orang Islam telah mendapat pertolongan Allah kerana maksiat yang dilakukan oleh musuh, jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada kekuatan bagi bagi orang-orang Islam.”

Maka, dengan kerja kerasnya Umar dan para sahabat Nabi menjaga diri mereka daripada dosa, apa yang telah Allah anugerahkan untuk mereka di zaman itu?

Allah tundukkan dunia di tangan mereka.

Allah tundukkan dunia di tangan mereka.


KETIKA DUNIA MENGUASAI JIWA KITA

Berbeza pula dengan kita hari ini. Ketika dua kuasa besar ditundukkan di bawah pemerintahan Umar, kita pula hari ini terpaksa tunduk kepada jahiliah yang menjadi kuasa besar dunia.

Kita terpaksa tunduk dalam banyak aspek. Dalam gaya hidup, ramainya antara kita yang berkiblatkan Barat. Apa-apa sahaja ideologi baru yang diasaskan oleh Barat, cepat sahaja tersebar dan meresap ke dalam budaya hidup masyarakat Islam.

Ketika Barat menghalalkan cinta dengan berpegangan tangan, berpelukan sebelum kahwin, masyarakat kita pun melihat itu adalah suatu yang baik juga.

Ketika Barat merayakan Valentine sebagai hari kekasih sedunia, sebahagian umat Islam terkinja-kinja ikut merayakannya yang tanpa sedar telah mengundang dosa.

Kita lemah kerana dosa-dosa dan maksiat yang mengiringi kita.
Kalau suatu ketika dulu, Allah tundukkan dunia ini untuk generasi awal Islam, tetapi hari ini Allah membiarkan kita tunduk kepada dunia kerana jiwa kita telah dikuasainya.

Bagaimana mungkin kita mampu menguasai dunia, sedangkan kita pun sama sahaja dengan orang yang bukan Islam, tidak berhati-hati dalam menjaga diri daripada dosa.

Mereka bermaksiat dalam keadaan mereka yang tidak Islam, tetapi kita bermaksiat dalam keadaan kita telah menerima Islam. Manakah yang lebih teruk antara kita dengan mereka?

Sudah tentulah kita.

Sebab itulah, Allah menyekat dunia ini daripada berada di bawah genggaman kita kerana bilamana kita tidak berusaha menjaga diri daripada dosa, kita sebenarnya menjadi lebih teruk dari mereka.


PENUTUP : RISAU DAN TAKUTLAH DENGAN DOSA

Tentera-tentera pemanah dalam Perang Uhud yang mengingkari perintah Rasul s.a.w. dengan turun dari bukit Uhud itupun telah mengakibatkan Allah menguji mereka dengan sedikit kekalahan dalam perang itu, bagaimanakah kita yang lebih besar dosa dan maksiat kita kepada Allah?

Telitinya para sahabat Nabi s.a.w. dalam menjaga diri mereka daripada dosa, tetapi longgarnya kita di zaman sekarang dalam memandang dosa.

Memang tidak dinafikan kita semua tidak akan terlepas dari dosa. Tetapi, bukan mudah-mudah begitu sahaja untuk kita terjatuh dalam dosa. Sebab itu Allah kurniakan akal dan hati kepada kita supaya kita berfikir dan menilai baik buruk sesuatu perkara sebelum melakukannya.

Teliti dan rasa Allah sentiasa ada memerhatikan kita. Itu yang perlu dalam diri.

Bila kita ringan-ringan dengan dosa, maka Allah nanti akan ringan-ringankan jalan kita ke neraka. Tetapi bila kita teliti menjaga diri daripada dosa, maka pastinya Allah akan mudahkan jalan menuju syurga.

Risau dan takutlah dengan dosa.

Kerana dosalah, kaum Ad dan Tsamud dibinasakan.
Kerana dosa jugalah, Allah menghukum bani Israel menjadi kera.
Kerana dosa jugalah, Allah menghilangkan rasa gerun dari musuh kita terhadap kita.

Bangunlah dari kehinaan dan bersihkan diri dari kotoran dosa !

1 comments:

^_^ March 9, 2012 at 10:53:00 PM GMT+8  

Allah !!
Syukran Afdholul =)
Semoga Kita jauh dr perbuatan Maksiat

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP