Sunday, July 31, 2011

Ramadhan Kareem !



Selamat Menyambut Ramadhan ! 


Waktu terus berlalu. Saat berganti saat. Bulan berganti bulan. Ramadhan yang lepas telah lama berlalu.

Hari ini, Ramadhan baru bakal tiba lagi.

Ramadhan yang bakal tiba itu, tempohnya singkat, terlalu singkat.

Ia datang dan akan berlalu pergi juga seperti Ramadhan yang telah lepas.

Bezanya hanya pada diri kita. Adakah dengan tempoh sesingkat ini, kita benar-benar menunggunya untuk dimanfaatkan sepenuhnya?

Atau kita hanya menunggunya semata-mata sebagai ‘track’ untuk kita berjumpa dengan Syawal?

Yang mana, yang mana lebih utama di hati kita?

Mari, mari kita cermin diri.

Ramadhan bakal tiba. Apakah aku masih aku yang dahulu?

Atau...

Aku sekarang lebih baik dan bertambah maju di depan Allah?

Atau....?


1 SYAWAL MATLAMAT RAMADHAN, BENARKAH?

Ringkasnya, orang yang di hatinya benar-benar menantikan peluang Ramadhan ini, maka kesungguhannya itu dapat dilihat sebelum Ramadhan lagi. Bahkan, bila tiba Ramadhan, dia sibuk berebut dan menghitung-hitung amalnya, mengira cukup atau tidak kerana ‘tamak’nya dia terhadap rahmat dan keampunan Allah dalam bulan ini.

Sebaliknya, bila 1 Syawal menjadi matlamat kita dalam menempuh Ramadhan, maka Ramadhan yang sepatutnya banyak pengisiannya itu menjadi tidak terisi.

Apa yang menjadi pengisian bila 1 Syawal dilihat sebagai matlamat Ramadhan?

Tidak banyak.

 Yang dilihat hanya berpuasa dan berbuka.  Kemudian, tarawih sebagai rutin dalam Ramadhan.

 Ditambah pula kebiasaan di kebanyakan negeri yang ada ‘more’, maka itulah sahaja makna Ramadhan dalam kehidupan.

Selebihnya hanya bermain di sekitar persediaan menyambut 1 Syawal. Baju raya bagaimana, kuih raya berapa jenis, nak raya di mana dan sebagainya.

Bila TAQWA bukan matlamat dalam Ramadhan, maka pembaziran berlaku ketika membeli kuih-muih di bazar Ramadhan dan ketika berbuka puasa.

Sedangkan, sunnah berbuka puasa itu dengan sedikit tamar dan air, sepatutnya menjadi sumber membentuk TAQWA dalam Ramadhan, akhirnya berubah tidak memberi kesan apapun, bahkan mendatangkan pula dosa kerana berlaku pembaziran.


KEMBALI MELIHAT KE BELAKANG, UBAHLAH UNTUK YANG DI DEPAN !

Kita semua maklum akan matlamat Ramadhan yang utama iaitu TAQWA.
                                   
“Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana orang-orang sebelum kamu agar kamu menjadi orang-orang BERTAQWA.” [Al-Baqarah:183]

Kalau TAQWA itu tidak ada apa-apa, masakan Allah sediakan satu bulan khas semata-mata untuk itu?

Kalau TAQWA itu cuma perkara remeh sahaja, masakan Allah bersusah-susah membelenggu jin dan syaitan dalam bulan rahmat ini?

Sedangkan Allah telah menyebut dalam ayat lain dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Dan berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah bekal TAQWA.”

Lalu, jika sebaik-baik bekal adalah TAQWA, kenapa kita tidak berusaha menjadikan setiap apa yang kita lakukan dalam Ramadhan kali ini sebagai sumber pembentukan TAQWA dalam diri kita?

Dari awal hari kita bermula dengan sahur, beri’tikaf, baca Al-Quran, solat-solat sunat, berbuka puasa, qiamullail, mentelaah buku dan amalan lain, bukankah semua itu tujuannya untuk membentuk TAQWA?

Maka, mari kita muhasabah kembali ke belakang. Ramadhan yang telah lepas, di manakah keciciran yang wujud dalam amalan kita?

Barangkali kita bersahur, tetapi bersahur hanya sebagai rutin, untuk mengalas perut sebelum mula berpuasa, tidak untuk membentuk TAQWA.

Barangkali kita membaca Al-Quran, tetapi bacaan Al-Quran pun matlamatnya hanya untuk dikhatamkan 30 Juz Al-Quran, maka tidak diperoleh TAQWA.

Kita melakukan banyak kebaikan, tetapi tidak mampu menjana momentum TAQWA dalam diri.

Lalu, di mana silapnya?

Maka, kita perlu memperbaiki permulaan kita untuk Ramadhan kali ini.

Supaya Ramadhan kali ini memberi hasil lumayan untuk kegunaan kita di masa 11 bulan akan datang nanti.

Supaya Ramadhan kali ini menjamin dan menjadi peguam kita di depan Allah s.w.t.


PENUTUP : AHLAN WASAHLAN, YA RAMADHAN

Sabda Rasul s.a.w. yang mafhumnya bermaksud:

“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan perhitungan (mengharapkan redha Allah), maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

Ramadhan bakal menemui kita sekali lagi.

Seronoknya menyambut Ramadhan bergantung kepada bagaimana kita menyediakan diri untuknya.

Jika kita bersungguh-sungguh menghiasi Ramadhan dengan persediaan jiwa yang rapi, maka kita akan menikmati kemanisan Ramadhan.

Jika kita sambilewa menantikan kehadirannya, seolah-olah seperti bulan-bulan yang lain juga, maka hadiah ‘TAQWA’ daripada Allah itu seolah-olahnya tidak ada nilainya bagi kita.

Allah beri pelbagai hadiah, dan inilah hadiah terbesar Allah kepada kita.
Jika kita tidak menghargainya, kita tidak akan memperolehinya sehingga bila-bilapun.

Justeru, mari betulkan ‘routemap’ kita untuk menempuh Ramadhan.

Hujung destinasinya adalah TAQWA, bukanlah 1 Syawal yang kita nantikan.

Jika TAQWA berjaya digapai, maka 1 Syawal itu akan menjadi lebih mahal !

Friday, July 29, 2011

Tersenyum Puas !



Hari ini, 28 Julai 2011, saya rasa bahagia sekali. Meskipun sedih untuk meninggalkan sekolah penuh kenangan ini, berpisah dengan anak-anak murid yang saya sayang, namun, jauh di sudut hati saya merasai kemanisan.

Justeru, saya kongsikan sedikit gambar-gambar bersama mereka. 
Biar mereka tersenyum bersama aku ...

Biar mereka duka pun bersama aku ...

Nanti bila saatnya datang...

Kan ku bawa bersama kalian ...

Terbang tinggi ke syurga ...

Biar ku teruskan langkahan ...

Agar nanti ku gagah untuk memapah kalian .
Saya tersenyum puas hari ini, walaupun sebenarnya sedih. Kalau mampu, saya tidak akan berhenti hanya di sini. Tetapi, kerana tugas dan tanggungjawab lebih utama menanti di depan, maka hendak tak hendak, saya dan mereka perlu berpisah.

Ada seorang murid berkata kepada saya, "Ust, saya kenal ust baru beberapa bulan, tetapi macam dah kenal beberapa tahun. Sebab itu, bila ust nak berpindah, saya rasa sedih sangat."

Huhu. 'Feeling' sikit. Hehe.

Sebelum berakhir, sesi persekolahan, ramai anak murid datang minta autograf dan no. telefon. Saya kata kepada mereka, "Nak buat apa ni? Nanti buang juga kertas ni."

Jawab mereka, "Dak, ustaz. Kami tak buang. Nanti kami 'frame'kan."

Huhu. Mantaplah anak-anak murid saya ni. Sebab ramai sangat datang minta tandatangan, saya pun rasa macam artis pula hari ini.

Jadi guru pun dah cukup membahagiakan.


SAYANG KALIAN KERANA ALLAH

Petang itu, ketika masih ada anak murid yang belum pulang, saya sempat pergi dan duduk-duduk dengan sekumpulan murid kelas saya.

Sambil duduk bersembang-sembang, seorang daripada mereka berkata kepada saya, "Ust, jumpa di syurga nanti, ye."

Allah, terusik hati mendengar kalimah itu.

Baru darjah 4, tetapi kata-katanya mengagumkan dan membahagiakan.

Terima kasih. Terima kasih kepada kalian semua.

Sungguh, saya sayang mereka kerana Allah. Moga Allah bangunkan daripada mereka pemuda pemudi yang hebat untuk deen ini. AMIN.


DULU : SEBUAH KENANGAN

Saya masih ingat ketika awal-awal berada di Kelantan. Saya sudah mula risau akan 'slang' utara saya. Bukan apa, di Kelantan, 'slang' Melayunya berbeza daripada negeri-negeri lain. Banyak perkataan-perkataan 'baru' yang saya belajar di sini.

Sewaktu saya masuk kelas tahun 6 untuk matapelajaran Sirah, saya terkeluar juga bunyi-bunyi 'utara'.
Ketawa terus mereka semua. Haha.

Walaupun tidak terlalu pekat 'slang' utara saya, tetapi kadang-kadang terlajak juga.

Malu saya, bila murid-murid dengar. "Ayaq, ust?" 

Haha. Lucu betul bila teringat kembali. Sampaikan ada anak murid saya kata kepada saya, "Ust, ust tak payah kecek kelate la, pelikla bunyi."

Haha. Tersenyum saya mendengar itu.

Tetapi, setelah hampir 7 bulan di sini, saya banyak belajar dan 'improve' diri.

Memang benar, kalau kita tak kenal masyarakat, tidak usaha menyesuaikan diri, maka dakwah itu akan susah untuk berjalan dengan baik.


PENUTUP : BERJALAN TERUS !

Saya sedih dengan perpisahan ini. Kalau mampu, saya tidak akan tinggalkan tanah ini.

Banyak kenangan tarbawi di sini. Mereka membuat saya semakin percaya dan yakin akan usaha tarbiyah ini.

Mereka yang lahir daripada rahim tarbiyah Islamiyah, adalah mereka yang membahagiakan jiwa.

Biar saya akan tinggalkan mereka, namun jiwa saya tetap mekar bersama mereka.

Saya telah mencipta satu puisi sebagai akhir daripada pertemuan bersama mereka. Tetapi, saya dah hantar kertas puisi itu ke Pulau Pinang, rumah saya bersama dengan barang-barang yang saya 'post'kan ke rumah.

Jadi, mungkin saya masukkan puisi itu nanti dalam post yang lain.

Wallahu a'lam. Doakan saya, doakan mereka, doakan kita semua.

Agar kita berjalan terus menuju Allah dengan kejayaan!

Senyum sokmo !

Friday, July 15, 2011

Sarana Tazkiyah : Mengetahui Aib Diri




Mengetahui keaiban atau kelemahan diri adalah salah satu anak tangga yang melengkapi proses TAZKIYATUN NAFS (penyucian jiwa).

Umumnya, manusia sukar untuk mengetahui aib atau kelemahan diri sendiri. Hanya orang-orang yang memiliki hati yang tajam penglihatannya, maka ia mampu untuk mengetahui keaibannya.

Bila kita mengetahui keaiban atau kelemahan diri, maka proses untuk merawat dan membaikinya menjadi semakin lancar.

Ada 4 jalan untuk mengetahui aib diri. Mari sama-sama kita mengaplikasikannya !

  
JALAN PERTAMA : Duduk berhadapan dengan seorang Syeikh yang mengetahui pelbagai aib, kemudian syeikh tersebut memberitahu penyakit serta terapinya.



  JALAN KEDUA : Sahabat yang jujur, diyakini agamanya, dan “tajam penglihatan” sebagai pengawas diri

Umar r.a. berkata : “Semoga Allah merahmati seseorang yang mahu menunjukkan aib diriku.”


JALAN KETIGA : Memanfaatkan lisan para musuh. Mata kebencian biasanya mengungkapkan keburukan.


JALAN KEEMPAT : Bergaul dengan masyarakat. Melihat, memuhasabah dan membaikpulih keadaan dirinya setelah dinisbatkan dengan kecelaan yang ada dalam masyarakatnya.


Demikian adalah 4 sarana untuk mengetahui dan mengukur keaiban diri. Saya petik 4 sarana ini daripada kitab Al-Mustakhlis Fi Tazkiyatun Nafs (Intisari Ihya’ Ulumuddin Penyucian Jiwa) karangan Said Hawwa, seorang dai’e spiritual yang terkenal mempunyai semangat dan kecenderungan ruhiyah yang kental.

Tunggu apa lagi. Mari ‘apply’ sama-sama. Bersihkan diri. Supaya Ramadhan yang menanti dinikmati ! 

Wallahu a’lam.

Monday, July 11, 2011

Puasa Generasi Akhirat


~ 'Superkid' yang sebenar adalah kanak-kanak yang hidup di atas IMAN!

“Ustaz, ustaz puasa tak hari ni?”

Awal pagi itu, sekumpulan murid perempuan darjah 5 Ibn Majah bertanya demikian pada saya.

“Awak semua puasa ke?”

“Mestilah puasa, ustaz.”

“Bagus, bagus. Molek benar tu.” saya memberi pujian dalam loghat atau slang kelate.

Sejak bulan lepas, saya perhatikan semakin ramai murid-murid sekolah ini yang rajin melaksanakan puasa sunnah, terutama Isnin dan Khamis, tambahan lagi dengan semakin hampirnya bulan Ramadhan.

Mereka bukan dipaksa atau disuruh, tetapi sangat jelas KECINTAAN mereka untuk melaksanakan ibadah itu bersama rakan-rakan yang lain terutamanya murid-murid tahap 2, iaitu tahun 4,5 dan 6.  Kadang-kadang, rasa tercabar juga saya, apabila melihat mereka yang sekecil itu sudah merajinkan diri untuk ‘bersusah-susah’ berpuasa.

Memang tidak ada guru yang menyuruh atau memaksa, tetapi guru hanya membimbing, mendidik dan menceritakan kelebihan melakukan ‘WARMING UP’ sebelum masuk ke Ramadhan.

Tidak sangka pula saya, Khamis baru-baru ini, lebih separuh daripada murid sekolah itu berpuasa. ‘Boleh hitung dengan jari’ bilangan yang tidak berpuasa dan makan di kantin pada hari itu.

Siapa yang suruh? Tidak ada yang menyuruh mereka melainkan atas kesungguhan dan inisiatif mereka sendiri.

Lalu, saya jadi kagum.  Kagum dengan kesungguhan mereka walaupun pada umur sekecil itu.


BERSUSAH-SUSAH UNTUK MASA DEPAN AKHIRAT, IA SATU YANG MENGUNTUNGKAN

Satu hadith yang pernah dikongsi oleh murabbi saya, Ustaz Abdul Hadi Othman yang berbunyi:

تَخَاشَنُوا فَإنَّ النِّعْمَة لا تَدوا
Maksudnya :

“Biasakanlah diri kamu dengan kesusahan sebab nikmat kesenangan hidup tidak kekal selama-lamanya.”

Sungguh, latihan puasa itu adalah latihan kerohanian luar biasa. Untuk murid-murid sekecil mereka, perkara itu adalah satu yang luar biasa bila mereka sendiri menyatakan kesungguhan untuk melaksanakannya.

Latihan puasa menyebabkan kemahuan kita untuk mendekatkan diri kepada Allah semakin kuat.

Kenapa?

Kerana nafsu semakin melemah kerana keinginannya tidak dipenuhi. Bila nafsu melemah, maka fitrah kehambaan itu menjadi kuat membuatkan hati dan jiwa kita lebih bersih, membuatkan perasaan ingin mendekati Allah itu semakin membuak-buak.

 Biasanya, pada waktu rehat, murid-murid saya ini akan ke kantin untuk makan. Tetapi, bila berpuasa, maka dewan sekolahlah yang turut digunakan sebagai musolla menjadi ‘tempat lepaknya’.

Saya mengajak mereka untuk menunaikan solat sunat dhuha bagi mengisi kekosongan masa yang ada. Dengan mudah, tanpa banyak bicara, mereka mengambil wudhu’ dan terus menunaikannya. Bukan seorang dua, tetapi ramai.

Bahkan, yang tidak berpuasa pun ikut turut serta apabila melihat kawan-kawannya solat.

MasyaAllah. MasyaAllah.

Moga mereka ini, Allah selamatkan kelak daripada api neraka dan merahmati mereka dengan syurga.  AMIN.


‘WARMING UP’ MENUJU HARI KEBANGKITAN

Barangkali sebelum ini, saya pernah menyebut tentang persediaan kita sebelum Ramadhan sebagai ‘warming up’ supaya tidak lelah ketika menerjah masuk Ramadhan.

Namun, yang lebih besar daripada itu adalah, puasa sebenarnya merupakan ‘warming up’ untuk kita selamat ketika di hari kebangkitan kelak.

Hari kebangkitan itu kelak akan dilalui oleh semua manusia dengan pelbagai perasaan dan riak muka. Hari itu, ada mungkin yang akan terkejut. Hari itu, mungkin ada yang akan kelemasan dalam kebanjiran peluhnya sendiri. Hari itu, mungkin ada yang berdiri senang, bahagia terasa damai segalanya. Bahkan, hari itu mungkin ada yang baru sibuk untuk nak beramal soleh.

Mafhum sabda Rasul s.a.w. yang bermaksud :

“Sesungguhnya peluh manusia pada hari Kiamat melimpah-limpah di bumi sedalam tujuh puluh hasta dan ia sampai kepada mulut-mulut dan telinga-telinga manusia.”
[HR Muslim]

Lihatlah amaran daripada Rasul s.a.w. supaya kita menyelamatkan diri dengan beramal di dunia.

Bencana ini dapat dihalang dengan keimanan yang sebenar terhadap Allah s.w.t.

IMAN kepada Allah s.w.t. itu menolaknya untuk berusaha mendekatkan dirinya kepada Allah setiap hari.

Semakin hari, semakin dekat dengan Allah. Kerana ia tahu, jauh daripada Allah akan membuatkannya semakin mendekati api neraka.

Jauh daripada Allah bermakna jauhlah daripada syurga.

Maka, berpuasa adalah salah satu daripada amalan yang mendekatkan kita dengan Allah.

Berpuasa di hari yang panas terik di dunia, akan menyelamatkan kita di hari yang panas terik di akhirat kelak. Panas di akhirat kelak, sejengkal di atas kepala kita. Bayangkan, Matahari yang sekarang berpuluh ribu kilometer jauhnya dari kita pun sudah terasa kehebatan bahangnya, apalagi yang sejengkal di atas kepala kita.

Kita tidak akan sanggup menghadapinya. Kita tidak akan sanggup.

Justeru, mulakan persediaan dari sekarang.  Usah ditangguhkan lagi.

Jika kita mempunyai kemampuan untuk berpuasa sunat, maka latihlah diri kita untuk berpuasa. Berpuasa hakikatnya bukan semakin melemahkan atau meletihkan, tetapi sebaliknya semakin menguatkan dan membangunkan jiwa.

Bukankah nafsu telah melemah dalam jiwa kita bila kita berpuasa? Maka, bila nafsu telah melemah, fikiran menjadi bersih, hati bertambah jernih. Ketika itu, tenaga imanlah yang lebih kuat mendominasi jiwa.

Justeru, bukankah ia satu-satunya sumber kekuatan bagi kita, orang-orang yang mengaku beriman kepada Allah?


PENUTUP :  MEREKA PENYAMBUNG GENERASI

Dalam sirah kehidupan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, beberapa peristiwa besar berlaku dalam Ramadhan.

Bahkan, ketika bulan lain pun, mereka telah biasa berlapar. Ingatkah lagi kita pada peristiwa Nabi s.a.w. yang mengikat perutnya kerana sudah beberapa hari tidak makan?

Mereka lapar, namun kerja-kerja mereka terus berjalan. Islam tetap disampaikan meskipun dalam keadaan yang susah. Hakikatnya, kelaparan itu adalah kemenangan buat jiwa. Sentiasa kekenyangan menyebabkan kelelahan jiwa. 

Buat murid-murid saya sendiri, tahniah atas kesungguhan itu ! Teruskan.

Saya jadi terinpirasi dengan anda semua. Terdorong untuk lebih kuat beramal.

Saya baru berjumpa dengan murabbi dan sahabat saya sendiri, pak cik Razali Maarof baru-baru ini. Anaknya ada seorang bersekolah di sekolah ini. Anaknya baru darjah satu.

Pak Cik Razali berkongsi, ‘Ridhwan (nama anaknya) baru-baru ni balik sekolah bertanya, “Abi, ummi, esok (Khamis) Ridhwan nak berpuasa, boleh tak?”

Itu kisah si budak darjah satu. Bukan ada siapa pun yang menyuruhnya. Bahkan, murid-murid pra yang berumur 5-6 tahun pun cuba-cuba untuk berpuasa.

Dua orang cuba berpuasa hari itu. Tiada yang menyuruh. Ketika kawan-kawan yang lain pergi rehat dan makan, mereka tidak bersama kerana berpuasa.

Biarpun mereka berbuka tengah hari itu kerana ‘dah separuh lembik’, tetapi sekurang-kurangnya mereka yang berumur sekecil 5-6 tahun itu sudah mula membiasakan diri dengan amalan-amalan yang baik sebegitu.

Moga-moga, mereka ini membesar terus sebagai hamba Allah yang soleh dan melaksanakan sistem Allah dalam kehidupan mereka.

Siapa lagi yang mampu diharapkan hari ini kalau tidak yang terhasil daripada didikan akhirat?

Tidak ada.


 Bimbinglah dan didiklah anak-anak supaya menjadi generasi akhirat !


Thursday, July 7, 2011

Allah Tidak Terjejas Tanpa Kita


~ BERSYUKUR untuk meruntuhkan KUFUR dalam diri !


Dulu, sewaktu di MATRI, murabbi-murabbi dan senior-senior sentiasa memulakan ucapan dan tazkirah mereka dengan kalimah SYUKUR.

Ada penyampaian sahaja, maka mesti bermula dengan perkataan ‘SYUKUR’.
Kekerapan itu membuatkan saya sentiasa berfikir.
 ‘KENAPA AKU PERLU BERSYUKUR?’

Bukan saya tidak biasa, bahkan sudah berpuluh kali penyampaian, tetap sama. SYUKUR adalah kalimah awal sebagai muqaddimah penyampaian.

Hari ini, kalimah yang sama terungkap di bibir saya pada setiap kali awal penyampaian saya. Bukan kerana merutini adat orang berceramah, tetapi kerana ia adalah kemuliaan yang tidak dapat dipisahkan dalam segenap kehidupan.

 Kenapa kita perlu bersyukur? Perlukah bersyukur? Namun, bagaimanakah pula untuk bersyukur?

Maka, saya terfikir akhirnya bahawa syukur itu adalah manifestasi keimanan kita kepada Allah.
Kita menerima ‘hak milik-Nya’, maka kita berterima kasih kepada-Nya kerana sudi menganugerahkan kepada kita hak milik-Nya.

Namun, terima kasih sahaja tidak mencukupi. Syukur itu lebih daripada sekadar ucapan ‘TERIMA KASIH’.

Syukur yang sebenar itu menjauhkan kita dari KEKUFURAN.

KUFUR itu hakikatnya  berlawanan dengan IMAN. Ia hanya menjanjikan kecelakaan, bukan bahagia.


KEHIDUPAN INI, IA BUKAN MILIK KITA

Allah tidak memberi kehidupan ini kepada kita sebenarnya. Tetapi sebenarnya, Allah MEMINJAMKAN ia kepada kita.

Barang pinjam bukanlah barang yang kekal abadi. Esok lusa atau bila-bila, ia pasti perlu dipulangkan ke tangan tuan asal.

Kerana ia adalah ‘BARANG PINJAM’.

Barang pinjam, bila tidak dijaga sebaiknya, dipulangkan dalam keadaan tidak sejahtera seperti asal (fitrah), maka sudah tentu akan menimbulkan kemarahan tuan empunya barang.

Saya pernah merasai pengalaman itu. Dan saya tahu betapa peritnya dimarahi oleh pemilik barang itu dalam keadaan dia benar-benar menaruh kepercayaan terhadap kita, tetapi dikhianati kepercayaan itu apabila kita memulangkan barang pinjam itu dalam keadaan rosak atau tidak baik.

Allah s.w.t., bagaimana?

Bukankah barang pinjam Allah itu adalah seluruh kehidupan kita?
Sudah kita hitung berapa banyaknya hutang kita kepada Allah dalam kehidupan ini?
Kemampuan kita untuk membayar segala ‘hutang’ itu,  pernahkah kita terfikir?

Justeru, bila kita mengetahui bahawa kehidupan ini seluruhnya adalah pinjaman daripada Allah, maka kita perlu sentiasa berfikir bagaimana untuk menjadikannya sejahtera di akhirat kelak bila minta ‘dipulangkan’ semula.

Ada satu cara sahaja. Jadikan kehidupan ini sebagai mihrab !

Apa itu mihrab?

Mihrab adalah medan ubudiah (perhambaan) kita kepada Allah.
Ya. Kehidupan ini adalah untuk itu.


ALLAH TIDAK AKAN PERNAH TERJEJAS HANYA KERANA KITA

Janganlah disangka bila kita melupakan Allah dalam kehidupan, maka hal itu akan memudharatkan Allah.
Jangan disangka bila kita menggunakan ‘barang pinjam’ ini sewenang-wenangnya, maka kuasa Allah berkurangan.

Bahkan kemuliaan Allah tidak pernah berkurang walaupun semua manusia tidak mahu bersyukur. Kemuliaan Allah juga tidak bertambah walau semua manusia tunduk beriman dan patuh kepada Allah.

Allah tidak akan pernah terjejas dengan berimannya kita ataupun tidak.

Allah itu Maha Agung. Ia memiliki kerajaan yang besar. Segala yang di langit mahupun di bumi ini semua miliknya.

Makhluk-makhluk lain tunduk dan patuh kepada-Nya. Apalah sangat dibandingkan dengan kita yang kerdil ini.

Adakah menjejaskan keagungan Allah bila kita tidak beriman, tidak bersyukur?
TIDAK. Tidak sekalipun.

Bahkan, sebaliknya. Kitalah yang bakal terjejas, kerugian dan kehinaan kerana meninggalkan pesanan-pesanan Allah.

Kerana ramainya manusia yang tidak tahu bersyukur, maka Allah sentiasa mengingatkan kita dalam Al-Quran.

(أفَلا تَشْكُرُونَ)
“Apakah kalian tidak bersyukur?”

Bukankah ayat itu selalu bergema dan kedengaran dalam Al-Quran yang mulia itu?

Dan Allah telah mengingatkan kita sekali lagi dalam surah Al-Imran, ayat 144:

Maksudnya : (… dan (ingatlah), sesiapa Yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang Yang bersyukur (akan nikmat Islam Yang tidak ada bandingannya itu).

Juga dalam ayat 145:

Maksudnya : (…dan (dengan Yang demikian) sesiapa Yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa Yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang Yang bersyukur.)


Bersyukur adalah manifestasi IMAN yang sebenar kepada Allah. Orang yang tidak tahu bersyukur, maka ia hakikatnya mendekati kekufuran.

Kita tidak beriman untuk kepentingan Allah, tetapi sebenarnya untuk diri kita.


PENUTUP : ANGAN-ANGAN PANJANG YANG TIDAK MEMBERI JAMINAN

Kita tahu akan keterbatasan manusia.
Kita tahu betapa luasnya kekuasaan dan pengetahuan Allah.

Dengan segala maksiat dan dosa yang mengiringi kehidupan kita setiap hari, apakah kita masih mengharapkan syurga Allah?

Angan-angan panjang tidak akan menyelamatkan kita di mahkamah Allah kelak.

Akhirat kelak, segala-galanya akan dihitung. Waktu itu, barang pinjam yang ada pada diri kita inilah akan bercakap mewakili diri kita.

Ia akan menyebut semua yang telah kita lakukan di dunia ini dengan barang pinjam yang Allah beri itu. Kita tidak dapat lagi menipu atau berbohong pada hari itu.

Maka, ketika itu, siapa yang rugi, siapa yang hina?

Manusia yang tidak bersyukur atau Allah Maha Agung?

Instrospeksi diri !

Sunday, July 3, 2011

Kau Matahari Yang Tidak Pernah Terbenam



Matahari ~ Hakikatnya tidak pernah terbenam,
cahayanya yang menaungi Sang Rembulan


Dunia ini tidak lengkap tanpa kehadiran ‘WANITA’ atau ‘PEREMPUAN’ atau ‘NISA’.

Kebahagiaan itu terasa tidak sempurna jika tidak ada Hawa untuk Nabi Adam a.s.

Bahkan, kehadiran seorang wanita bernama Saidatina Khadijah di sisi Nabi s.a.w.lah yang menjadi penguat dan pembangun semangat untuk meneruskan misi dakwahnya dengan penuh kesabaran.

ISTIMEWA. Ungkapan terbaik untuk menggambarkan seorang manusia bernama ‘WANITA’. Apatah lagi bila ia seorang muslimah. Maka, nilainya melambung tinggi melebihi harga dunia ini.

Dunia ini hilang warna warninya jika tidak ada wanita, jika hanya ada lelaki sahaja.

Dalam kehidupan saya sendiri, yang menjadi sumber inspirasi diri saya juga adalah ‘WANITA’.

Mereka yang pernah saya kenal sepanjang hidup, kehidupan mereka menjadi pendorong untuk saya terus membangunkan cita-cita kehidupan nan tinggi ini dengan penuh asa dan kesungguhan.


AURA ‘WANITA’ SEJAK DAHULU HINGGA SEKARANG

Seorang wanita itu, kecantikan dan keayuannya begitu memikat bahkan lebih hebat daripada sinar Sang Matahari.

Pengaruhnya begitu besar dan sangat hebat. Ramai lelaki yang ‘jatuh’ dan ‘tewas’ hanya kerana seorang wanita.

Begitu hebat ‘aura’ seorang ‘WANITA’.  Kelembutannya sahaja boleh mencairkan sesiapa sahaja yang memandangnya.

Jika kita teliti semula kisah Firaun dan isterinya, Asiah, maka kita akan mendapati hal ini. Bukankah Firaun seorang yang berhati keras dan kejam?

Pada asalnya, Firaun telah mengeluarkan arahan agar membunuh semua anak-anak lelaki yang baru lahir kerana dibimbangi akan menjatuhkan pemerintahan beliau. Namun, apabila Nabi Musa yang baru lahir yang dihanyutkan oleh ibunya melalui sungai dan sampai ke istana Firaun, ia tidak jadi hendak membunuh bayi itu.

Kenapa? Kerana seorang ‘WANITA’. Hati yang keras bertukar menjadi lembut. Pujuk rayu isterinya, Asiah akhirnya menyebabkan Nabi Musa diambil dan dibela dalam istana beliau.


PANTULAN CAHAYAMU YANG MENERANGI DUNIA

Perkataan ‘CANTIK’ itu sangat sinonim dengan seorang ‘WANITA’ atau ‘PEREMPUAN’.

Namun, kecantikan seorang wanita itu hakikatnya bukan semata-mata nilaian luaran. Kecantikan yang sebenar bukanlah pada muka yang putih dan cerah, bukan juga pada jenis perhiasan yang dipakainya.

Tetapi, kecantikan sebenar adalah pada IMAN yang ada pada dirinya.

Dengan apa ia menghiasi AKHLAKNYA?
Bagaimana ia memandang KEHIDUPANNYA ?
Siapa Allah dalam hatinya?

Hari ini, ramai wanita muslimah di atas dunia ini. Namun, daripada ramai-ramai itu, berapa orang sahaja yang melihat dirinya sebagai  SUMBER PAHALA untuk membawa orang lain ke syurga Allah?

Tidak ramai.

Barangkali bila disebutkan wanita solehah, ada yang menilai ‘kesolehahan’ itu pada pemakaian tudung labuhnya.
Barangkali juga ada yang menilai muslimah mukminah itu pada ‘jalan menunduk-nundukkan kepala’.

Bagi saya, itu belum lagi wanita yang solehah. Kalau hendak mengukur pada tudung labuhnya sahaja, hari ini, ramai yang bertudung labuh, tetapi maksiat dan dosa kecil adalah kebiasaan.

‘Jalan menundukkan kepala’ sampai tidak kenal muslihat dunia pun tidak ada gunanya juga.

Wanita solehah itu hakikatnya bukanlah orang yang banyak menghabiskan masanya untuk kepentingan dunia. Tetapi, dunia ini digunakannya untuk mencapai kejayaan lebih besar di akhirat.

Ia tidak banyak memandang kepada perkara-perkara yang remeh dan tidak memiliki nilai untuk dibawa pulang ke akhirat.

Sebab itu, wanita solehah itu adalah pantulan cahaya syurga.


TELADAN WANITA SYURGA

Sejarah wanita-wanita teladan pada zaman Nabi-nabi yang lepas telah menjadi contoh kepada kehidupan wanita hari ini.

Mereka adalah sebenar-benar wanita syurga yang diperlihatkan oleh Allah s.w.t. contoh kehidupan dan diceritakan kisah mereka dalam Al-Quran dan hadis.

Asiah, isteri kepada Firaun, meskipun hidup bersama seorang suami yang kejam, hidup dalam kemewahan, namun Asiah tidak tunduk kepada semua itu. Bahkan, di celah kemewahan dan kesenangan itu, beliau bangun untuk taat kepada Allah dan menolak segala kebahagiaan yang sementara itu.

Saidatina Khadijah Al-Khuwailid, isteri kepada Nabi s.a.w., mewakafkan kekayaan dan kehidupan yang dimilikinya untuk Islam. Sepanjang kehidupannya bersama Nabi, dia pendokong tegar yang sentiasa membantu perjuangan dakwah Nabi baik di saat senang mahupun susah. Lantaran itu, Nabi s.a.w. sentiasa teringat-ingatkan beliau meskipun selepas beberapa lama pemergiannya.

Dalam suatu riwayat, diceritakan Fatimah Az-Zahra binti Rasulullah s.a.w. pernah mengalami kelaparan beberapa hari. Pada suatu hari, Ali r.a. melihat wajahnya pucat lesi, lantas beliau bertanya kepadanya; “Apa yang tidak kena denganmu, wahai Fatimah?”

“Sejak 3 hari lepas, kita tidak mempunyai makanan di rumah!” jawab Fatimah ringkas.
Ali berkata, “Lalu kenapa engkau tidak memberitahuku?”
Ia menjawab, “Sesungguhnya ayahanda Rasulullah pernah berkata pada malam pernikahan kita: “Wahai Fatimah, jika Ali r.a. datang kepadamu dengan membawa sesuatu, maka makanlah dan jika Ali tidak membawa apa-apa, maka janganlah bertanya kepadanya.”

MasyaAllah. Rasa nak menangis bila terbaca kisah ini. Bila dibandingkan dengan kita, pernah tak ada satu hari atau sekalipun rumah kita tidak pernah memiliki apa-apa untuk dimakan?

Tetapi, hebatnya dan sabarnya Fatimah, sudahlah makanan tidak ada, tidak pula diminta-minta kepada Ali sedang Ali itu suaminya.


PENUTUP : KAU TIDAK AKAN PERNAH TERBENAM

Di sepanjang zaman, terdapat ramai wanita-wanita solehah menjadi sumber pembangun jiwa.

Mereka telah melahirkan para mujahid, pejuang-pejuang yang menyebarluaskan lagi deen Allah di muka bumi ini.

Namun, terdapat juga wanita-wanita yang menjadi fitnah dan ancaman. Mereka menjadi punca lemahnya perjuangan, rendahnya cita-cita dan kurang keazaman.

Justeru, wanita solehah perlu terus bersinar gemilang agar tidak ada ruang bagi wanita-wanita yang menjadi fitnah besar dunia ini untuk melemahkan perjuangan membangunkan deen Allah s.w.t.

Bagaimana agar anda terus bersinar gemilang?

Tetaplah berusaha memenuhi dan menjadi wanita ACUAN Allah !


Wahai wanita solehah,

Senyum indahhmu membangkitkan cinta,
Tiap bait katamu bak mutiara berharga,
Kau wanita umpama sang suria,
Yang tidak pernah terbenam selamanya.

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP