Wednesday, December 28, 2011

Buih-buih Kehinaan


Buih-buih kehinaan yang merosakkan


Dada dihimpit dengan kesedihan dan kegusaran bila melihatkan keadaan umat Islam sekarang ini. Seolah-olah umat yang ada ini sedang membawa dirinya terjun ke dalam jurang dalam.

Stastitik umat Islam kalau nak dihitung adalah yang paling ramai di dunia. Kalau di Asia Pasifik sahaja, peratus umat Islam sahaja sudah melebihi separuh. Jangan ceritalah di negara-negara lain, memang sudah tidak terkira banyaknya.

Di negara-negara Barat sahaja, kian hari semakin bertambah penganut-penganut Islam.

Tetapi sungguh hairan bila melihat umat inilah yang terkebelakang dalam pelbagai bidang. Sedangkan suatu ketika dulu, umat inilah yang mempelopori pelbagai bidang baik dari segi keilmuan mahupun kemahiran-kemahiran dalam hidup.

Tidak perlu pergi jauh. Kita lihat sahaja statistik ekonomi masyarakat Malaysia. Masyarakat Islam di Malaysia hanya menguasai 20% sahaja daripada ekonomi negara. Dibandingkan dengan masyarakat Cina yang telah menguasai 60% hasil ekonomi negara, kita masih ketinggalan jauh.

Lihat pula kepada statistik masalah sosial. Hasil kajian yang melibatkan 2800 responden berusia daripada 15 hingga 25 tahun yang dijalankan pada tahun 2010 dengan portal Youth.says menunjukkan 60% remaja hilang dara menjelang umur 18 tahun.

60% itu sedikitkah?



BOM JANGKA MELETUPKAN GENERASI BARU

Kalau dengan dua statistik itu pun belum cukup untuk membuat kita tersentak melihat keadaan umat ini, kita perlu muhasabah semula hati.

Dunia ini nikmatnya sedikit cuma. Dalam satu hadis Rasul s.a.w. digambarkan dunia ini umpama kita mencelupkan jari ke dalam lautan yang luas, kemudian kita angkat jari, dan titisan yang masih tinggal di jari, cuma itu sahajalah nikmat dunia.

Tetapi, nampaknya dalam titisan itupun, ramai orang yang sudah kelemasan.

Dunia bukan tempat yang selamat lagi. Kalau mungkin ada satu tempat yang bebas daripada virus-virus maksiat ini, sayalah orang pertama yang akan berusaha menuju ke sana biarpun dengan cara apa sekalipun.

Kerana apa? Kerana hati sudah tidak tahan lagi hidup dalam keadaan begini. Bangun pagi sahaja, kita menanti bom jangka untuk meletupkan diri kita, meletupkan anak-anak kita, meletupkan sahabat-sahabat kita.

Kalau mereka di Palestin dan negara-negara Islam lain, bangun pagi berhadapan dengan bom sebenar, tetapi kita di sini bangun pagi sahaja jahiliah sudah pasang bom jangka untuk meletupkan peribadi-peribadi umat Islam.

Saban hari, kita melihat luka-luka baru semakin banyak menjaluri tubuh ummat. Tetapi, dalam keadaan begitupun, kita masih terus meraikan dan tersenyum melihat jahiliah merosakkan dan menghancurkan kita.

Ada ke dalam peperangan, ketika musuh ingin menembak atau mengebom kita, kita pun tersenyum sambil berlari pula kepada musuh kita:

“Bomlah aku, bomlah aku. Tembaklah aku.”

Cerita begini kepada budak 5 tahun pun, mereka akan tertawa.

Tetapi, begitulah perumpamaannya keadaan umat hari ini.


PINDAHLAH KE PLANET BARU SEKALIPUN

Tetapi, ia tidak akan mengubah apa-apa kalaupun saya mampu pindah ke satu planet lain. Ia tidak akan mengubah masyarakat menjadi lebih baik. Ia tidak akan merawat penyakit-penyakit yang semakin membarah dalam masyarakat.

Bahkan, planet baru itupun kalau ada, ia pun boleh terjadi seperti apa yang berlaku hari ini kepada umat Islam.

Ia bukanlah salah tempat. Ia bukanlah salah Islam. Islam tidak pernah salah.

Tetapi, ia adalah diri kita. Kerana kita tidak benar-benar menjaga tuntutan-tuntutan iman dalam kehidupan, maka lahirlah sistem yang rosak di atas muka bumi Allah ini.

Kita mengaku muslim, tetapi menghalalkan cara hidup jahiliah dalam kehidupan.

Kita mengaku beriman kepada Allah, tetapi kita mengingkari arahan dan segala tuntutan.

Kita beriman, tetapi tidak berusaha menjaga dan menguatkan iman dengan amalan.

Maka, kalau kita sendiri tidak membina perisai-perisai itu dalam diri kita, memanglah maruah ummat ini senang dirobek-robek, yang nantinya mengakibatkan sistem yang rosak itu terus-menerus berjalan dengan aman dan tanpa ancaman di atas dunia.

Sistem yang rosak itu nantilah yang mendidik generasi-generasi baru yang lahir atas dunia ini.


PERIBADI-PERIBADI YANG GOYAH, RENDAH CITA-CITA DAN LEMAH HIMMAH

Kita sudah melihat betapa jelasnya kerosakan-kerosakan yang diakibatkan oleh sistem yang rosak ini.
Lahirnya remaja-remaja yang menghabiskan kekuatan dan tenaga mudanya untuk nafsu. Terlupa bahawa ada tanggungjawab yang lebih utama iaitu menyediakan diri mereka untuk dihitung di akhirat sana.

Ada seorang remaja perempuan pernah mengadu kepada saya :

“Saya tahu couple itu haram. Tetapi saya tak boleh nak tinggal. Saya pun tak tahu kenapa.”

Bila ditanya, adakah dia cinta kepada lelaki tersebut. Katanya, “Tak cinta pun.”

Lagilah saya hairan. Macam mana boleh couple dengan orang yang dia sendiri pun tidak cinta.

Tambah pelik lagi, apabila dia ceritakan bahawa dia bukan keluar seorang tetapi dengan sekumpulan kawan-kawannya untuk berjumpa boyfriend masing-masing. Kononnya nak elak fitnah, maka berjumpalah ramai-ramai sambil ditemani kawan.  Mungkin baginya cara itu adalah ‘cara yang lebih islamik’.

Remaja-remaja kita dijamu dengan keindahan untuk memiliki teman berlainan jantina dengan cara yang tidak syara’seperti yang telah Barat tayangkan kepada kita.

Tidak salah memiliki teman kehidupan. Salah hanya bila meniru cara yang ditunjukkan Barat.

Alangkah hinanya kita menerima contoh daripada Barat. Sedangkan siapakah remaja-remaja Islam ketika dahulu?

Mereka yang memanfaatkan masa muda mereka sepenuhnya sepeti Sultan Muhammad Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayubi, Saidina Ali bin Abi Talib, Khalid Ibn Walid untuk menyumbangkan diri mereka kepada ummat.

Tetapi, bezanya kita hari ini sibuk berfikir untuk menghidupkan kehinaan-kehinaan yang telah ditayang oleh Barat.

Sebab itu, sistem yang rosak ini perlu ditukar ganti. Ia tidak boleh ditampung. Kalau akarnya adalah jahiliah, maka kalau kita tampung dan tampal-tampal kebocoran yang ada dengan Islam, ia hanya menampakkan kehodohan. Ia tidak akan menyelesaikan masalah yang ada.

Ia telah mengakibatkan lahirnya generasi-generasi yang peribadinya goyah, cita-citanya rendah dan himmahnya pun lemah.


PENUTUP : BUIH-BUIH KEHINAAN YANG PERLU DITINGGALKAN

Dalam satu hadis Nabi s.a.w., baginda telah menggambarkan umat di akhir zaman seperti buih.

“Akan datang umat-umat yang berkerumunan ke atas kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.” Maka seorang bertanya:Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?” Baginda s.a.w menjawab: Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu.” Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn? Baginda menjawab:Cinta kepada dunia dan takut mati.

Kita lemah bukan kerana disebabkan masalah ekonomi. Kita hina bukan disebabkan masalah-masalah yang ada sekarang ini.

Kita lemah dan hina kerana menanggalkan iman daripada kehidupan. Akhirnya Allah menghilangkan rasa gerun musuh terhadap kita dan kita tidak ubah seperti buih-buih di lautan yang tenggelam timbul dan senang dipecahkan.

Umat ini di suatu zaman sangat dihormati sehinggakan siapa yang tidak hidup dengan cara hidup Islam ketika itu akan dipandang begitu lekeh dan hina.

Tetapi, hari ini kenyataan itu telah terbalik. Umat ini dilanggar badai-badai kehinaan yang mengakibatkan generasi baru ummat ini terkinja-kinja untuk mencontohi kehidupan Barat.

Kita ada sesuatu yang lebih mulia daripada mereka, yang menjadikan kita mulia di dunia juga di akhirat, iaitu keimanan kita.

Bangunkanlah diri kita daripada menjadi kalangan buih-buih kehinaan serta tinggalkanlah keindahan-keindahan kehidupan dunia yang memperdaya.

Sungguh, masa depan ummat bergantung pada kekuatan generasi sekarang!

3 comments:

sea_lavender December 28, 2011 at 1:04:00 AM GMT+8  

dunia akhir zaman.. generasi spt kte kdg2 nk buta dgn kesempurnaan Islam sndiri yg hebat d mata dunia.. syukran ats artikel sbg p'ingtn brsma.. jihad ke jalan Allah itu yg trbaik dalam mncari redha-Nya dunia dan akhirat~

PCL December 28, 2011 at 11:31:00 AM GMT+8  

Syukur sy dapat baca2 di sini untuk saling ingat meigatkan sesama muslim...bagus entri anda , sejuk jiwa sy..

tajnur December 31, 2011 at 5:03:00 PM GMT+8  

Assalamualaikum wbt
Umat Islam kita dilanda oleh keruntuhan akidah dan akhlak walaupun mrk boleh mengucap kalimah Allah tetapi realiti kehidupan seharian tersisih dari perintah Allah.
Iman mrk umpama buih dilautan dan akibatnya kemana2 mrk pergi akan ditimpa kehinaan demi kehinaan apabila telah menjauh dari generasi AlQuran. Surah AlBaqareah:61 وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّـهِ ۗDan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah.

Manakala di dalam sebuah hadis lain pula yang diriwayatkan daripada Thauban r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: “Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan melanyak mereka bagai hidangan yang direbut disenua sudut.”
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”
Sabda Baginda SAW: “Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di lautan?”
Jawab Rasulullah SAW, “Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.”
Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?”
Rasulullah SAW bersabda: “Cintakan dunia dan takut akan kematian.”
Wallahualam

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP