Friday, August 26, 2011

Semasa : Somalia, Untuk Kita Sebenarnya



Lihatlah mereka. Anak-anak kecil yang hidup menderita.


Kita di penghujung Ramadhan. Semakin hampir menuju Aidilfitri, hari bahagia bagi mereka yang menempuh Ramadhan sepenuh jiwa.

Ada orang, rasa sedih Ramadhan hendak tinggalkan dia.
Ada orang, rasa gembira kerana Syawal makin menjelma.

Namun, biar apapun suasananya, alhamdulillah, kita di Malaysia sangat bersyukur kerana Allah masih terus menjaga kita.

Menjaga daripada apa?
Allah masih menjaga kita daripada hidup kesusahan dan kebuluran yang terlalu kritikal.
Allah masih menjaga kita, tidak derita dan tidak sengsara seperti mereka di Somalia.

Allah masih memberi kita suasana aman dan sejahtera.
Allah masih memberi kita makanan yang cukup. Belum kedengaran, ada yang mati di Malaysia kerana masalah kebuluran.

Di Somalia, adakah Allah terlupa menjaga mereka sehingga terjadi sehingga sedemikian rupa?

Dalam krisis kemarau yang melanda mereka, anak-anak ramai yang mati kerana kebuluran.
Lahir pun dalam keadaan yang tidak cukup zat.

Lihatlah, bila disampaikan bantuan, bantuan pula ada yang dirompak, dilarikan dan sebagainya.
Itu belum kira lagi, haiwan-haiwan ternakan yang turut mengalami nasib sama. Hidup dalam kebuluran, fizikal menjadi terlalu kurus sehingga yang nampak hanyalah tulang.

Kenapa berlaku begini?

Apakah Allah mengabaikan mereka sehingga hidup terlalu susah begini?

Allah membiarkan mereka?
Tidak... Sekali-kali tidak.

YANG KAU PERLU INGAT, ALLAH TIDAK HANYA MENGUJI MEREKA

Tidak. Tidak. Tidak sekali-kali.

Allah tidak pernah membiarkan mereka. Bahkan, tidak sesaat pun.

Bahkan, Allah sentiasa menjaga dan menguji mereka. Melihat di antara mereka itu siapa yang benar-benar adalah hamba-Nya.

Lalu, kenapa Allah terus menerus menghantar ujian ini kepada mereka?

Adakah semata-mata ujian itu untuk mereka sahaja?
Tidak. Sekali-kali tidak.

Ujian itu sebenarnya untuk kita juga, hai saudaraku.

Lihatlah dengan mata kalian. Kenapa Allah hantar ujian yang sangat besar, sangat-sangat tidak tertanggung oleh mereka (di bayangan mata kita), sehingga mengakibatkan kesan buruk kepada hampir 12.4 juta penduduk negara Afrika itu?

Kenapa tidak Allah hantar sahaja kepada sebilangan tertentu, atau pada kawasan-kawasan kecil tertentu kalau hanya sekadar untuk menguji mereka itu sahaja?

Inilah jawapannya.


ALLAH SEDANG MENGUJI KITA JUGA, SIAPA YANG PRIHATIN DENGAN SAUDARANYA?

Baru-baru ini, saya postkan ke dalam satu group di FaceBook tentang isu di Somalia ini. Tidak sangka pula saya, ada yang akan membalas dengan tusukan keras semula kepada saya.

“Buat apa sibuk-sibuk nak bantu orang di luar negara, kalau dalam negara pun huru-hara. Pergi bantu dalam negara dulu, tak payah sibuk-sibuk nak tolong orang di luar negara.”

Lebih kurang begitulah ayatnya.

Saya bukan post itu bertujuan untuk mewajibkan. Saya tidak pula menyuruh dan tidak pula memaksa.

‘Oh, kamu. Kamu wajib bagi sumbangan. Kamu kena tolong mereka. Kalau tak, kamu berdosa!’

Tak. Tidak sampailah ke tahap itu. Saya hanya sekadar menimbulkan persoalan dan ajakan, untuk melihat siapa yang cakna kepada nasib saudaranya di negara Somalia itu.

Mungkin hari ini mereka, tidak kena ke atas kita. Satu masa nanti, tiada siapa boleh menjangka, kita yang aman bahagia, hidup serba ada di sini mungkin Allah ubahkan sekelip mata menjadi seperti mereka, maka ketika itu, mungkin baru terbuka mata kita, tak?

Manusia memang begitu, bila dah kena pada batang hidung sendiri, barulah terasa penyesalan.
Ketika masa bahagia, terlupa semua.

Itulah ujian Allah sebenarnya. Menguji sejauh mana hubungan persaudaraan iman kita dengan mereka.

Kalau benar kita beriman, maka kita tidak akan melihat sempadan geografi itu sebagai batas penghalang antara kita dengan mereka.

Kerana kita bersaudara di atas iman kepada Allah. Maka, Allah sediakan kita peluang untuk kita beramal kepada saudara kita sendiri.


LIHAT MEREKA, KENAPA KITA TIDAK MENCONTOHI MEREKA

Minggu lepas, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bersama keluarganya dan beberapa orang menteri melakukan ziarah ke Somalia.

Delegasi beliau yang menjadi contoh negara-negara Islam lain

Turki yang satu ketika dahulu, pernah diurus tadbir oleh kerajaan Islam Uthmaniah, kemudian jatuh, berubah menjadi sebuah negara sekular, selepas Khalifah yang terakhir, Sultan Abd Hamid II dijatuhkan.

Tetapi, hari ini, kesan tinggalan khilafah Uthmaniah yang dahulu itu seolah-olah bangkit semula dalam semangat kepimpinan baru Turki pada hari ini.

Lihatlah mereka. Kenapa kita tidak mahu mengambil iktibar?

Peristiwa Freedom Flotilla 1 @ Lifeline For Gaza, merekalah yang mempeloporinya untuk menerjah masuk Gaza melalui jalan laut.

Kini, peristiwa Somalia, sekali lagi, PM Turki, Erdogan bersama keluarga dan barisan menterinya, menunjukkan pada dunia sekali lagi bahawa mereka bersungguh-sungguh dalam membantu dunia, terutamanya membantu negara-negara Islam.

Bukan ada tujuan lain. Bukan mencari publisiti. Bukan ingin mendapat nama.

Tetapi, memang niat mereka yang murni untuk membantu Somalia. Beliau telah mencadangkan untuk melaksanakan projek pembinaan 12 buah hospital, pembinaan jalan menuju ke lapangan terbang di Somalia serta pembinaan sumber air yang lebih efisien.

Maka, mari mengambil contoh daripada mereka.


PENUTUP : PELUANG KITA DI AKHIR RAMADHAN, MANFAATKAN !

Selagi Ramadhan berbaki, masih ada peluang untuk kita ‘order’ syer-syer saham akhirat yang besar dan menguntungkan.

Inilah peluangnya !

Ini adalah sebagai salah satu saluran yang dicadangkan untuk anda.

Jangan ditunggu lagi. Hanya dalam Ramadhan pahala dilipatgandakan.

1 Amal wajib = 70 amal wajib
1 Amal sunat = 1 Amal Wajib

Infaq RM 1, kita dapat pahala 1 amal wajib.
Infaq RM10, kita dapat pahala 10 amal wajib.

Dan, jangan lupa. Allah mengira setiap ringgit yang kita sumbangkan itu, bahkan setiap sen sekalipun sebagai saham untuk kita tebus semula di akhirat nanti.
Kalian yang tidak mampu, bantulah dengan kadar apa yang ada.

Kita mungkin tidak mampu untuk bersama-sama menghantar bantuan ke sana, tetapi biarlah ada bahagian kita daripada bantuan yang dihantar itu.

Di dunia, mereka mungkin tidak kenal siapa pemberi bantuan itu, tetapi, Allah sentiasa kenal kita, dan mereka akan kenal kita di akhirat nanti, sekiranya kita benar-benar ikhlas memberi.

Kerana kebaikan itu, bila kita ikhlas melakukannya, maka ia tetap kekal terus dalam catatan Allah, biarpun manusia tidak mengetahuinya.

Justeru, jangan ditunggu lagi.

Ayuh, salurkan bantuan dengan kadar kemampuan anda kepada saudara-saudara kita di sana !

_________________________________________________________________

Lagi link Berkaitan Somalia, sila rujuk :



(3) Suasana Kebuluran di Afrika Timur (by Inspirasi Cyber)

(4) Alert : Somalia (by Sarah Zainal Puteh)

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP