Sunday, August 28, 2011

Ramadhan Pergi, Merdekakah Diri?


Tinggal sehari, berdoalah untuk diri !

Sedih. Sedih yang teramat.^^

Ramadhan kali ini tinggal sehari saja lagi. Dan ia akan tinggalkan kita, tinggalkan buat selama-lamanya.

Rugi, rugilah orang yang tidak mengisinya dengan baik. Rugilah orang yang tidak melayannya dengan istimewa.

Ramadhan tahun hadapan, ia sesuatu yang belum pasti. Kita semua akan mati, tetapi bila, itu adalah kuasa Ilahi.

Ramadhan kali ini, bila kita melayannya seperti seorang kekasih, kita akan terasa sangat hiba dan jantung pun berdegup kencang bila tiba di saat-saat akhir sebegini. Kenapa?


Kerana kita resah, resah dan sedih, dia akan pergi meninggalkan kita. Sedang kita, masih belum merebut semua kebaikan yang ada padanya, walaupun kita telah berusaha dengan semaksimum mungkin. Seboleh mungkin, kita berharap supaya tidak ada perpisahan ini.

Kerana ia adalah musim yang menyuburkan jiwa dan membahagiakan hati orang-orang beriman.

Musim-musim kemenangan bagi IMAN.
Musim-musim kekalahan bagi NAFSU dan konco-konconya.

Siapa yang tidak sedih?

Bulan-bulan selepas ini, kita akan berjuang dengan apa yang telah kita bekalkan kepada diri kita ketika dalam Ramadhan.

Tetapi bekal itu, tidak semua yang ada. Ada orang, keluar Ramadhan, jiwa kosong seperti biasa. Baginya Ramadhan, bukanlah sesuatu yang apa-apa pun. Maka, ia akan keluar Ramadhan tanpa bekal.

Ada orang, alhamdulillah, Ramadhan pergi, dirinya penuh berisi. Maka, dia terjaga sebelas bulan seterusnya.


IMAN VS NAFSU, SIAPA YANG SEPATUTNYA MENANG KETIKA RAMADHAN?

Allah tidak sekadar anugerahkan Ramadhan ini untuk berpuasa. Puasa itu adalah amalan fizikal.

Sebab apa pula Nabi janjikan dengan pahala yang begitu besar sekali di dalam Ramadhan ini?

Supaya dengan itu, kita berebut-rebut untuk mendapatkannya. Kita rebut itu dengan amalan-amalan fizikal.

Kita puasa, solat, baca Al-Quran, bersedekah, berbuat kebaikan dan sebagainya. Semua itu bertujuan untuk membentuk IMAN kita.

Bukan saja-saja Allah suruh kita berpuasa. Tidak. Ada sebabnya.
Bukan saja-saja Nuzul Al-Quran dalam Ramadan.
Bahkan Nabi paling pemurah ketika dalam Ramadhan.

Apa sebabnya?
IMAN. Itulah sebabnya.

Allah tahu, manusia tidak mampu bergerak dalam kehidupan bila tidak ada ‘stand’ @ neraca yang kukuh.

Bila IMAN hanya senipis kertas, maka ia tidak mampu menjadi ‘stand’ @ neraca yang akan menjaga diri kita.

Menjaga daripada apa?
Menjaga diri kita daripada dikawal oleh nafsu.

Maka, Allah sediakan Ramadhan, sebagai medan untuk kembali membentuk neraca itu supaya ia kukuh dalam hati kita untuk menjaga kehidupan kita.

Sayangnya, ramai yang tidak menghargai Ramadhan. Dianggapnya cuma sebagai bulan berpuasa. Dirasakan, Ramadhan tidak ada apa-apa nilai, hanya rasa perlu buat lebih sikit saja. Ada solat tarawih dan sebagainya yang tidak ada di bulan-bulan lain. Tetapi, tidak tahu kenapa kena buat lebih.

Maka, keadaan begitu tidak akan membantu membentuk IMAN. Bahkan, ia memberi peluang kepada NAFSU untuk menang dalam pertarungan sebulan ini yang hakikatnya adalah satu medan latihan buat kita.

Bila tidak tahu sebab dan tujuan beramal, maka amal yang lahir adalah amal yang rosak.
Ia tidak mampu membangunkan IMAN, malah tidak mampu menundukkan NAFSU.

Bahkan, selepas Ramadhan, nafsu semakin ghairah mengawal dirinya untuk kembali bermaksiat kepada Allah, walaupun ketika Ramadhan, dia pergi solat tarawih, dia pun baca Al-Quran.

Tetapi, amalan-amalan itu tidak mampu membangunkan IMAN dan tidak memberi apa-apa kesan pada kehidupan.

Maka, kita perlu bertanya kepada diri.


RAMADHAN PERGI, MERDEKAKAH DIRI?

Tahun ini, usai Ramadhan, Syawal yang menjengah. Bersama dengan itu, kita juga akan menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia serentak dengan Syawal yang tiba.

Maka, kita perlu bertanya pada diri, apakah kita telah merdekakan diri kita?

Apa maksud merdeka yang sebenarnya?
Adakah merdeka itu bilamana negara kita bebas daripada cengkaman penjajah-penjajah asing yang pernah menjajah negara kita dahulu?

Tidak. Tidak hanya sekadar itu.

Merdeka sebenar adalah bilamana kita berjaya membebaskan diri daripada belenggu nafsu yang mengawal diri kita.

Biar kita yang mengawal nafsu, bukan ia yang mengawal kita.

Nafsu itu penting dan satu keperluan untuk kita. Tanpa nafsu, kita tidak miliki rasa untuk bekerja. Kita tidak akan miliki keinginan untuk makan minum, tidur, berpasangan.

Allah ciptakan malaikat tanpa nafsu, sebab itu, malaikat tidak ada keinginan terhadap apa yang diingini oleh manusia.

Ia satu keperluan, tetapi perlukan kawalan.
Bila hilang kawalan, ia akan menjadi lawan.

Kata Ibn Jauzi dalam Saidul Khotir :

“Hawa nafsu manusia itu ibarat seekor beruang dengan leher yang diikat rantai. Jika rantai itu dikencangkan oleh pemiliknya, maka ia akan berhenti mengancam. Hanya saja, bezanya dengan manusia, ada yang mengikat hawa nafsunya dengan rantai dan ada pula yang mengikatnya dengan hanya sehelai benang.”

Maka, Allah anugerahkan Ramadhan sebagai medan untuk kita mengawal nafsu kita. Puasa itu sendiri adalah sunnah Nabi bagi sesiapa yang ingin berkahwin tetapi tidak berkemampuan. Maka, dianjurkan untuk berpuasa bagi menyekat dan mengawal nafsu supaya tidak menjadi liar.

Allah belenggu syaitan dan jin dalam bulan Ramadhan, dan Allah tinggalkan nafsu sebagai satu-satunya pendorong dalam diri kita.

Jika dalam Ramadhan, kita masih gagal mengawal nafsu di celah-celah kerahmatan dan keampunan Allah yang sangat melimpah-ruah ini, maka apalagi bila di luar Ramadhan?


MUSUH MEMPERGUNAKANNYA UNTUK MEMPERDAYAKAN KITA

Unsur nafsu itulah yang dipergunakan oleh musuh untuk merosakkan kita.

Lihatlah, jahiliah telah mempergunakannya untuk menguasai kita. Berapa ramai yang telah berjaya dirosakkan kerana pengaruh nafsu?

Mereka (musuh) menyuntik jarum-jarum halus melalui pengaruh media massa, yang menayangkan contoh-contoh keruntuhan peribadi masyarakat mereka, akibat nafsu yang mendominasi.

Hari ini, masyarakat kita telah kehilangan identitinya sendiri bila men ‘tauladani’ apa yang diwar-warkan oleh musuh kita itu sebagai kemajuan.

Kita sangat-sangat sedih bila melihat keadaan ini.

Mereka yang berzina dan melahirkan anak-anak luar nikah, hari ini, bukan lagi satu yang pelik, tetapi satu kebiasaan dalam masyarakat.

Lihatlah, bila nafsu tidak dikawal, maka perhubungan jantina menjadi kebebasan yang tiada kawalannya.

Buang bayi di tandas, dicampak merata-rata. Itulah kesan apabila menjadi ‘pak turut’ hawa nafsu.

Bahkan, musuh tertawa riang bila melihat ummat Islam ini bilangan sahaja ramai, tetapi akhlak dan peribadinya telah runtuh, kosong dan tiada nilai.

Tidak salah perhubungan jantina itu jika di ‘channel’kan pada saluran yang betul, iaitu saluran IMAN, satu-satunya saluran halal yang Allah tetapkan, iaitu melalui pernikahan.

Makan, bukan suatu kesalahan. Tetapi, mereka yang makan berlebihan, terlalu kekenyangan hingga timbul penyakit obesiti, itu adalah salah. Penyakit yang tidak pernah ada di zaman Rasul s.a.w.

Lihatlah, bila nafsu tidakdikawal, kita makan tidak pada kadarnya, tetapi makan mengikut kehendak.

Akhirnya, timbullah penyakit-penyakit lain, sesak nafas, sakit jantung dan sebagainya.
Maka, ramailah umat Islam yang ‘mati’ kekenyangan (malas bekerja dan kurang usaha), dan musuh tertawa bangga melihat perancangannya berjaya.

Lihatlah, apa yang telah musuh lakukan dengan nafsu.
Maka, mengapa kita tidak mahu memanfaatkan Ramadhan yang Allah beri ini?


PENUTUP : TINGGAL SEHARI, BERDOALAH UNTUK KEMERDEKAAN DIRI !

Ramadhan masih ada sehari. Sehari itu sangat bernilai bagi mereka yang benar-benar menghargai kedatangan Ramadhan.

Kerana Ramadhan itu, bertujuan untuk mengasah IMAN supaya menjadi semakin tajam untuk menghancurkan musuh-musuhnya.

Marilah kita berdoa semoga Allah merdekakan diri kita di Ramadhan kali ini.

Sudah cukuplah ramai yang menjadi mangsa musuh, terpedaya dengan suntikan halus yang di ‘inject’ pada nafsu, menyebabkan ramai di antara kita melihat dunia ini adalah segala-galanya.

Sedih sekali bila melihat ramai di antara kita terkorban kerana dunia.

Keinginan-keinginan yang timbul daripada nafsu perlu dikawal dengan IMAN.

Biar IMAN menentukan halatuju nafsu kita.
Biar IMAN yang mengawal nafsu kita.

Barulah nanti, musuh akan penat dan terduduk keletihan kerana tidak berjaya merosakkan kita.

Janganlah terjadi sebaliknya pula.

Kita terkinja-kinja melompat, menjerit dan melaungkan ‘MERDEKA’, tetapi musuh di luar tertawa kerana kebodohan kita yang masih dijajah oleh nafsu !

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP