Saturday, April 23, 2011

Ujian Itu Proses Untuk 'Naik Pangkat'

Batu besar susah dihanyut air, tetapi batu kecil, air perlahan pun
sudah mampu menghanyutkannya.

Manusia hidup dengan ujian. Satu hakikat yang memang tidak dapat dipisahkan.

Namun, berbeza manusia, berbeza juga cara memandang dan menerima ujian.

Bahkan, ujian yang diterima itu sebenarnya berbeza-beza bagi setiap manusia. Kalau bentuk ujian itu sama saja, maka dunia ini akan hilang warnanya.

Bukan semua diuji dengan kesusahan dan musibah di setiap masa. Bukan semua pula yang sentiasa diuji kesenangan. Ada masa-masanya, kita sendiri tidak menjangka akan berlaku ujian yang sebegitu kepada kita.

Kerana lemahnya dan kerdilnya kita, kita pun tidak dapat menjangkakan ujian apa yang Allah akan dan sedang beri kepada kita. Sehingga kadang-kadang kita mungkin terlupa kita sedang diuji sekarang ini.

Ya. Memang itulah realitinya. Kita lemah.

Maka, itulah TUJUAN ujian. Untuk MENGUATKAN dan MENGINGATKAN kita.
Lalu, bagaimana kita memandangnya?


UJIAN DARI ALLAH ADALAH PROSES IMAN

Allah telah menguji manusia berabad lamanya sejak dulu lagi. Umat yang menyatakan iman kepada Allah, maka itulah yang diuji terlebih dahulu.

Mengapa yang menyatakan iman diuji dahulu sedangkan dia sudah yakin kepada Allah?
Adakah Allah nak menyusahkan hamba-Nya dengan ujian-ujian sebegini?

Oh, sudah tentu tidak !
Allah uji yang beriman dahulu sebagai tanda penghargaan atas iman kepada-Nya.
Allah menghargai kita kerana kita beriman kepada-Nya, sebab itulah kita diuji dahulu.

Supaya selepas diuji itu, maka kita lebih bersedia untuk dinaikkan 'pangkat' kita ke 'jawatan' yang lebih tinggi di sisi Allah. Tidak mahukah kita pengiktirafan dan tawaran 'naik pangkat' dari Allah itu?

Maka, jika kita berhajatkan kepada tawaran itu, ujian Allah perlu ditempuhi dengan hati yang sabar dan bersungguh-sungguh serta redha pula kepada Allah.

Barulah selepas itu, kita lulus dalam kelayakan untuk menerima tawaran itu.

Ada hadkah tawaran itu? Tidak sekali-kali. Bahkan, tawarannya terbuka untuk sesiapa sahaja yang sanggup menempuh ujian Allah ini dengan sabar dan hati yang redha, maka terus akan dinaikkan 'pangkat' nya di sisi Allah.

Itulah tujuan ujian. Mengangkat MARTABAT IMAN di sisi Allah. Bukan sengaja diuji, tetapi Allah ingin memuliakan manusia di sisi-Nya.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Ankabut, ayat 69 yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak deen Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka gembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya."


BAGAIMANA GENERASI AWAL MEMANDANG UJIAN?

Ujian ke atas mereka itu lebih berat dan hampir tidak tertanggung rasanya. Bahkan pernah dikatakan kepada Nabi s.a.w. :

"Wahai Rasulullah s.a.w., mintalah kepada Allah agar dikurangkan seksaan dan penindasan ke atas umat Islam."

Tetapi Rasulullah s.a.w. memujuk mereka dengan sabdanya yang mafhumnya berbunyi begini:

"Umat sebelum kamu bahkan ada yang digergaji kepala kerana mempertahankan akidahnya kepada Allah..."

Bukan sedikit ujian ke atas generasi awal itu. Mereka diuji hingga ke tahap perlu memilih sama ada antara akidah atau nyawa mereka sendiri.

Namun, mereka tidak minta dihentikan ujian. Mereka cuma minta dikurangkan sedikit. Bukan mereka menyerah kalah, namun ujian yang menimpa mereka terlalu berat melampaui batas kemanusiaan mengakibatkan mereka hilang sedikit kesabaran.

Hingga ada yang dijamah dengan besi panas di atas kepala, dijemur di tengah panas dengan berpakaian besi, dihempap batu besar, dilempar dengan najis unta.

Kalaulah kita di tempat mereka, apakah masih ada kesanggupan pada diri kita?

Sungguh, Allah memang menguji generasi itu satu persatu. 13 tahun di Makkah begitu, namun mereka sabar dan redha.

13 tahun bukan tempoh yang sekejap, bahkan dalam tempoh 13 tahun itu mereka tidak diizinkan untuk menentang seksaan yang dilakukan oleh kafir Quraisy. Bukan kerana takut atau lemahnya mereka, bahkan jika mereka bangun untuk menentang, nescaya mereka pasti mampu. Tetapi, mereka melihat dengan wawasan yang lebih jauh untuk kemenangan lebih besar di masa depan.

Biarlah mereka berat diuji sekarang, kelak Islam berkembang dengan senang.
Biarlah mereka derita dalam seksaan, supaya masa nanti umat mengukur sebuah teladan iman.

Sabar dan redha mereka itu menyebabkan Allah mengangkat keyakinan mereka ke martabat lebih tinggi.


PENUTUP : RAHSIA KEKUATAN MEREKA UNTUK KITA

Kita akan terus menerus diuji. Kerana kita sudah menyatakan IMAN kita, maka sebagai penghargaan Allah untuk kita, kita lebih dahulu akan diuji oleh Allah supaya martabat iman kita di sisi Allah terus dipertahankan dan ditingkatkan.

Tetapi, menempuh ujian perlu dengan persediaan dan kekuatan. Bukan kekuatan fizikal jadi ukurannya, tetapi kekuatan jiwa. Ada orang diuji dengan masalah yang kecil sahaja, tetapi kerana jiwa lemah menyebabkan masalah menjadi besar. Ada orang diuji dengan masalah yang besar, tetapi kerana jiwanya kuat menyebabkan masalah itu menjadi kecil sahaja baginya.

Kita perlu keyakinan dan kekuatan seperti para sahabat generasi awal. Mereka itu kuat menahan ujian seksaan kerana memiliki kekuatan jiwa.

Mana datangnya kekuatan itu? Daripada IMAN mereka kepada Allah.

Mereka sentiasa jaga KEIKHLASAN mereka beriman kepada Allah, menyebabkan Allah ikhlas juga untuk menjaga IMAN mereka biar ditimpa ujian sebesar mana sekalipun.

Kita ini kadang-kadang tidak ikhlas beriman kepada Allah. Ada kala bersungguh menunaikan kewajipan-Nya, ada kala sambil lewa. Bagaimanalah Allah akan menjaga IMAN kita? Mari muhasabah semula!

Allah akan terus menguji dan menguji kita. Mungkin hari ini diujinya kesabaran kita. Esok lusa, kita didatangkan pula dengan ujian keikhlasan, ujian persahabatan dan lain-lain.

Bagaimana kita memandang ujian?

Kalau sekadar untuk menempuhinya, ramai sudah menempuhinya. Bezanya hanya gagal dan berjaya.
Gagal bila IMAN tidak tertingkat dengan ujian. Berjaya bila semakin menancap keyakinan di hati terhadap Allah dan jalan-Nya.

Lalu, bagaimana menjadi di kalangan yang berjaya itu?

Mari lakukan anjakan...!

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP