Monday, March 21, 2011

Berilah Ruang Untuk Dia Dalam Hatimu


BUKALAH HATIMU UNTUK DIA !


Saya masih ingat, satu ketika, saya dalam perjalanan menuju ke satu tempat di Kelantan dengan menunggang motor. Tiba-tiba, motor mati di tengah jalan. Cuba beberapa kali untuk dihidupkan kembali namun gagal. Kalut juga saya ketika itu kerana lampu trafik dah bertukar hijau.

Tiba-tiba, lalu seorang pak cik dengan keretanya. Mungkin dia sudah memerhatikan perbuatan saya dari jauh agaknya, fikir saya. Dia memberhentikan kereta seketika lalu berpesan, “Encik, cuba selawat !”

Alhamdulillah. Tak disangka, enjin terus dapat dihidupkan.

MashaAllah. Dapat peringatan singkat, di tengah kegawatan dan kekalutan.

Tiada apa yang dapat saya ungkapkan, melainkan satu saja. Saya MALU.

Malu dengan siapa? Dengan pak cik itukah?
Oh, tidak sekali!
Malah, saya berterima kasih sangat-sangat kepada pak cik itu atas pesanan singkat itu.

Kalau tidak, mungkin saya terus terlupa agaknya!
Tetapi, Allah Maha Penyayang. Sokmo mengingatkan kita, kita saja yang selalu lupa.
Datang memberi peringatan dari arah yang tidak disangka-sangka.
Ketika itu, terasa begitu MALU dengan ALLAH.



DI MANA ALLAH DALAM HIDUP KITA?

Beberapa kali terjadi peristiwa begitu dalam kehidupan kita, tak? Selalunya dalam keadaan terdesak dan kekalutan sebegitu, kita cepat lupa kepada Allah. Allah Yang Maha Berkuasa atas segalanya.

Dalam program, bila tiba-tiba LCD atau laptop tiba-tiba hilang fungsi di tengah-tengah program sedang berjalan, apa yang paling awal bermain di minda kita ketika itu?

Dalam kekalutan dan kegawatan kita membuat persediaan untuk sesuatu, tiba-tiba bahan yang kita gunakan sebagai rujukan sebagai contoh catatan-catatan penting, dokumen-dokumen penting hilang secara tiba-tiba, ke mana perginya hati kita ketika itu?

Situasi-situasi terdesak. Di celah-celah itu, Allah menguji hubungan kita dengan-Nya.
MashaAllah. Istimewanya memiliki Allah sebagai Rabb.
Di celah-celah ketika itu, Dia tetap memanggil kita secara halus dengan kasih sayang-Nya, tetapi kadang-kadang, kita tidak sedar dan tidak perasan. Selalu saja lupa dan leka.

Kata seorang ulama’ :
“Nikmat terbesar adalah bila kamu memiliki Allah sebagai Rabb.”

Malu saya dengan Allah. Baru tahu nilai Allah dalam diri.

Seorang murabbi pernah berpesan:
“Letakkan pergantungan kita kepada Allah. Bukan kepada alat-alatan yang canggih, laptop, LCD dan sebagainya. Itu semua sebagai usaha kita. Kalau Allah tak izin, maka kecanggihan alatan itu pun tak dapat membantu program kita.”

Begitulah hakikat kehidupan kita. Kita perlukan kepada Allah sepenuhnya dalam kehidupan kita. Kita perlukan Dia setiap masa. Bukan pada masa kita yang kita hendakkan Dia, baru kita rapat dengan Dia.

Bila tiba musim peperiksaan, barulah sibuk-sibuk mencari Allah.
Bila tiba musibah, barulah gopoh mencari dan meminta pada Allah.

Waktu-waktu lain, ingatkah kita pada Dia?
Rapatkah kita dengan Dia?

Ada sesetengah orang mencari Allah hanya pada waktu-waktu tertentu. Pada waktu pernikahannya, pada waktu kelahiran anaknya dan pada waktu kematiannya. Seolah-olah dalam kehidupannya, Allah ini hanyalah sampingan. Bila perlu, dicari. Bila tak, ditinggalkan.

Hakikatnya, KEPERLUAN kita kepada ALLAH sangat mendesak. Genting dan begitu penting dalam kehidupan kita. Kita perlukan Dia setiap saat dalam hidup. Bila kita meng ‘hilang’kan Dia dari kehidupan kita, kekuatan kita juga akan hilang.

Seorang ulama’ pernah menyebut:
“Jika engkau ingin tahu kedudukan Allah dalam hatimu, lihatlah di mana engkau letakkan Allah dalam hidupmu”


MALU KEPADA ALLAH, IA TIDAK BERHENTI SEKADAR ITU

Saya suka memetik kisah sahabat sebagai contoh. Thabit bin Qois adalah contoh yang hebat dalam bersikap malu kepada Allah.

Tsabit bin Qois merupakan jurucakap Rasul s.a.w. Apabila perwakilan Arab datang untuk mengagungkan kemuliaan mereka kepada Rasulullah s.a.w. atau mahu berdebat, maka Rasul s.a.w. akan mewakilkan Tsabit bin Qois.

Suatu hari, Rasul s.a.w. melihatnya menggigil ketakutan dan sedang bersedih. Lalu Rasul s.a.w. pun bertanya, “Apa yang terjadi kepadamu, wahai Abu Muhammad (gelaran kepada Thabit)?”

Tsabit menjawab, “Sesungguhnya Allah s.w.t melarang kita untuk menyukai pujian orang kepada sesuatu yang kita lakukan, sedangkan aku menyukai pujian. Allah melarang kita untuk takbur, sedangkan aku suka membanggakan diriku.”

Rasulullah s.a.w. menenangkannya. Rasulullah tahu bahawa Tsabit bukanlah orang yang demikian.
Baginda bertanya, “Wahai Tsabit, tidakkah kau ingin hidup terpuji dan mati syahid serta masuk syurga?”

Wajah Tsabit bersinar-sinar mendengar khabar gembira itu. “Sudah tentu, wahai Rasulullah.”

“Engkau mendapatkan semua itu.” Jawab Rasul s.a.w.

Nah! Itulah contoh malu yang sangat hebat. Malunya kepada Allah hingga mendorong hatinya untuk menggeletar dan menangis lantaran perkara kecil yang tidak disukai Allah sedang dirinya tidak memiliki hal itu.

Dalam suatu kisah lagi, turun ayat Allah s.w.t. dari surah Al-Hujurat yang berbunyi:

$pkšr'¯»tƒ tรปรฏร%©!$# (#qรฃZtB#uรค Ÿw (#รพqรฃรจsรนรถs? รถNรค3s?ยบuqรด¹r& s-รถqsรน รNรถq|¹ ร„cร“ร‰<¨Y9$# Ÿwur (#rรฃygรธgrB ¼รงms9 ร‰Aรถqs)รธ9$$รŽ/ รŒรดgyfx. รถNร 6ร…ร’÷รจt/ Cร™÷รจt7ร9 br& xรt7รธtrB รถNรค3รจ=»yJรดรฃr& รณOรงFRr&ur Ÿw tbrรขรŸรชรด±s? ร‡ร‹รˆ  

2. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebagian kamu terhadap sebagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu[1408], sedangkan kamu tidak menyadari.


Thabit bin Qois begitu terasa seolah-olah ayat ini ditujukan kepadanya kerana dia memiliki suara yang lantang. Hinggakan beliau menjauhi majlis-majlis baginda meskipun beliau begitu mencintai baginda s.a.w.  Beliau begitu sedih hinggalah tiba khabar dari Rasul s.a.w. bahawa dia termasuk dari kalangan ahli syurga, barulah tenang hatinya.

Itu hebatnya malu Thabit bin Qois terhadap Allah s.w.t.  Sensitif jiwanya dengan perintah-perintah dari Allah. Mengakibatkan dia malu untuk berbuat mungkar meskipun sedikit.


PENUTUP :  BERILAH RUANG UNTUK DIA DALAM HATIMU !

Mari kita kembali meneliti alam ini. Mampukah ia bergerak dan hidup jika tidak ada Yang Menetapkan perjalanannya dan Memberi izin padanya?

Burung yang berterbangan di langit, mampukah ia terbang jika Allah tidak mengizinkannya?

Bunga yang tumbuh cantik dan mewangi, siapa yang mencipta dan mengizinkan semua itu jika tidak Allah?

Mata kita yang dapat melihat jelas ini, mampu kita buka dan tutup, apakah nikmat itu masih kekal terus jika Allah gelapkan ia?

Semuanya itu dalam aturan Allah. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesarnya.
Dari sekecil atom hinggalah seluas alam semesta ini.
Semua itu dalam pengetahuan Allah.

Sebab itu, berilah ruang untuk Dia dalam hatimu!

Kita tidak akan pernah menyesal. Tidak akan pernah kecewa dan putus asa bila kita letakkan segala-galanya kepada Allah.

Kerana Dia akan aturkan yang TERBAIK juga untuk kita bila kita beri yang TERBAIK kepada-Nya!




4 comments:

Roslina Sahidin March 27, 2011 at 5:17:00 PM GMT+8  

Perkongsian yang menarik,semoga terus tsabat dalam jalan dakwah ini..

... March 30, 2011 at 1:01:00 PM GMT+8  

assalamualaikum,

ana nak tanya. pos2 akhi panjang2.. akh afra tulis semuanya sendiri ke?

Unknown March 30, 2011 at 3:47:00 PM GMT+8  

@ Roslina Sahidin :

syukran. Moga Allah redha.

Unknown March 30, 2011 at 3:48:00 PM GMT+8  

@ Liana

Ya. Karya saya untuk perkongsian semua. Apapun, semua itu dari Allah. Moga bermanfaat !

:)

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP