Saturday, September 18, 2010

Beliau Telah Kembali Dengan Bahagia....



Saya akan kongsikan pada post yang akan datang tentang murabbi dan mudir saya, Ust Dahlan Mohd Zain rahmatullah alaih.

Beliau meninggal dalam KEBAHAGIAAN..

YA... Kebahagiaan kerana memperjuangkan kebenaran dalam hidupnya.

ISLAM yang sebenar itu yang dibawa dalam kehidupannya.

Beliau adalah QUDWAH dalam tutur kata mahupun tindakan.
Beliau seorang yang BERWAWASAN.

Hari ini, 18 Sept 2010 pada jam 0955 tadi, beliau telah pergi meninggalkan kita semua dan anak-anak didiknya.Beliau meninggal dunia dalam keadaan mulia dan terhormat.
Ramai yang datang menziarahi hari ini.

Sebak dan sedih tidak terkata.
Sempat menemani beliau beberapa bulan pada tahun ini di rumah beliau menjadi pengalaman dan perkongsian berharga buat diri aku.
Rupanya, banyak hikmah tersembunyi dalam tindakan dan kata-kata beliau.
Bersama di rumah, di Semadong, memasak sekali, dan banyak lagi aktiviti, semuanya terselit hikmah yang besar. MASYAALLAH!!!
Beliau memang seorang murabbi agung...

video

Kredit to aljazary @ ust syah atas video yang sangat 'touching' ini. 
Jazakallah khairan.

Tunggulah perkongsian tentang beliau dalam post yang lain.
Untuk post kali ini, saya kongsikan ini sahaja.
Inilah antara kata-kata Muhammad Ahmad Ar-Rasyid (beliau sampaikan tazkirah dalam B. Arab dan B. Inggeris, ini terjemahan) yang saya ingin kongsikan sewaktu tazkirah beliau di depan kubur Ust Dahlan Rahmatullah Alaih:

"Ust Dahlan rahmatullah alaih meninggal dunia dalam keadaan dikelilingi oleh anak-anak didiknya. Beliau meninggal dunia setelah menyelesaikan tugas beliau. Beliau meninggal dalam keadaan beriman dan telah melaksanakan kerja-kerja dakwah. Ini adalah signal (petanda) bagi golongan yang Allah akan ganjarkan dengan syurga."

Bila Manusia Meninggalkan-Nya...


Perhatikan alam ini dan fikirlah dengan penuh teliti. 
Di sebalik itu, tersembunyi kehebatan rahsia penciptaan-Nya bagi orang yang berfikir.

Saya suka perhatikan manusia di sekeliling saya.
Melihat gelagat dan ragam yang pelbagai.
Saya suka perhatikan diri saya.
Tahu apa yang saya temui?

Haha...
Manusia makhluk yang UNIK.
Subhanallah. Keunikannya itu bila dikaji-kaji akan menampakkan kita betapa Allah SWT itu Maha Agung.

Lihatlah apa yang ada pada diri anda...
Semuanya saling melengkapi antara satu sama lain, tak?

Allah jadikan kita dari sekecil-kecil unit dalam alam ini, iaitu sel, kemudian Allah bentukkan tisu-tisu daripada sel-sel yang banyak itu bergabung dan bekerja untuk membentuk organ.
Organ jantung, paru-paru, ginjal, dan pelbagai lagi organ yang ada dalam tubuh kita saling bekerjasama membentuk sistem-sistem untuk memberi fungsi kepada tubuh badan kita.
Sistem pernafasan, sistem perkumuhan, sistem peredaran darah dan macam-macam sistem lagi yang ada inilah yang saling berganding tenaga menggerakkan tubuh kita ini.

UNIK, bukan?
Bahkan, Allah ceritakan hal penciptaan manusia ini dalam Al-Quran, dalam surah Al-Mukminun, ayat 12-14.
Maksud ayat:

"Dan sesungguhnya Kami menciptakan manusia dari tanah. Kemudian, Kami menjadikannya air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat, lalu sesuatu yang melekat itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami menjadikannya makhluk yang  (berbentuk) lain. Maha Suci Allah, Pencipta Yang Paling Baik."

Lihatlah, telitinya penciptaan manusia. Dari satu proses kepada proses yang lain, membentuk seorang manusia.
Itu baru seorang, sedangkan telah berjuta-juta manusia Allah ciptakan. Ditambah pula dengan wajah yang berbeza-beza, warna yang berlainan, lahir daripada bangsa dan kaum serta agama yang pelbagai.
Huh, hebat Allah SWT, kan?
Sebab itulah Allah SWT gambarkan dalam surah At-Tin yang bermaksud:

"Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."

Itu baru bab kejadian manusia.
Belum diceritakan lagi unsur-unsur dalaman yang Allah beri kepada manusia untuk hidup, yang tidak ada pada makhluk lain.
Sebab itu manusia bukan ROBOT, sentiasa menunggu arahan, sedangkan Allah anugerahkan AKAL untuk manusia berfikir. Allah beri PERASAAN dan NALURI, supaya kita ada rasa kasih, benci, suka, gembira, sedih, marah dan sebagainya.
Robot yang manusia ciptakan, hanya dikawal oleh cip-cip yang telah di'set' khas untuknya. Robot tidak miliki akal, ia juga tidak mempunyai perasaan.
Manusia juga bukan MALAIKAT, Allah beri QALBU atau HATI untuk manusia tentukan kehidupannya.

Itulah makhluk bernama manusia. Penciptaannya terlalu agung dan hebat. Mungkin saya mampu ceritakan proses penciptaan itu, tapi saya tak dapat gambarkan kehebatan penciptaan Allah itu. Maha Hebat dan Maha Agung Allah. Subhanallah !!!

MANUSIA HARI INI SEHEBAT PROSES PENCIPTAANNYA?

Persoalan ini untuk anda. Simpan dan jawablah dengan IMAN.
Pembunuhan, buang anak, rogol, rompak, ragut, zina, 'couple' sebelum nikah, dan banyak lagi jenayah sosial yang melanda masyarakat.
Siapa yang lakukan semua ini?
Manusia....
Baru-baru ini, kes pembunuhan dan pembakaran seorang jutawan kosmetik dan 'orang-orang kanannya' telah dibongkarkan oleh pihak polis.
Zalim, zalim dan zalim...
Siapa yang lakukannya?
Manusia...

Kenapa berlaku begini? Bukankah manusia itu sebaik-baik kejadian?
YA, manusia adalah sebaik-baik kejadian bilamana dia taat dan tunduk pada Allah, seluruh kehidupannya untuk Allah.
Bacalah sambungan daripada ayat dalam surah At-Tin tadi yang bermaksud:

"...kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya, kecuali orang-orang yang BERIMAN dan mengerjakan KEBAJIKAN, maka mereka akan mendapat pahala yang tidak ada putus-putusnya..."

Keperluan manusia kepada Allah umpama keperluan manusia kepada air, 
malah lebih lagi daripada itu. Tiada air, maka manusia akan mati.
Tiada Allah, akan mematikan hati.

TAAT KEPADA ALLAH, RAHSIA KEHEBATAN 

Mari kita lihat rahsia HEBAT manusia pada zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.
Kenapa saya pilih mereka untuk saya ceritakan di sini?
Kerana kehebatan mereka sudah benar-benar terbukti, bukan sahaja diiktiraf di dalam Al-Quran, bahkan diiktiraf juga oleh orang bukan Islam.
Apa yang mereka miliki telah menjadikan mereka hebat.
ISLAM.
Itulah yang menjadikan mereka hebat. Mereka menjadikan seluruh kehidupan mereka ini untuk beribadah kepada Allah. Makan minum mereka menjadi ibadah, pergaulan mereka menjadi ibadah, tutur kata mereka adalah ibadah, hinggalah kepada pembentukan Madinah sebagai negara Islam yang pertama juga adalah ibadah.

Apa maksudnya tu?
Maksudnya, apa sahaja yang mereka lakukan itu tidak terlepas daripada lingkungan ketaatan kepada Allah.
Semua yang mereka lakukan dalam rangka mentaati Allah dan menjuahi larangan Allah.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Imran,110 yang menggambarkan tentang generasi terbaik ini yang bermaksud:

"Kalian adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan di kalangan manusia, kamu menyuruh berbuat yang maaruf' (kebaikan) dan kamu mencegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah."

Pada diri mereka itu ada QUDWAH (contoh).
Contoh yang sangat REALISTIK untuk semua manusia pada zaman mana sekalipun. Hingga ke hari ini, kisah mereka masih disebut-sebut dan diceritakan.
Kerana mereka benar-benar menjadikan Al-Quran sebagai DUSTUR AL-HAYAH (perlembagaan hidup), mereka faham dan melaksanakan apa yang diajar kepada mereka daripada Al-Quran, itulah yang menjadikan contoh mereka realistik.
Mereka tidak IDEALISTIK semata-mata dalam memahami Al-Quran. Bahkan segala arahan dan larangan dalam Al-Quran diterjemahkan dalam kehidupan mereka, sehingga mereka memiliki aqidah yang bersih serta peribadi yang menjadi contoh pada masyarakat.
Seorang ulama' bahkan menggambarkan mereka ini sebagai Al-Quran yang berjalan.

Jika nak diceritakan tentang masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam, mereka adalah masyarakat yang tidak miliki apa pun kemuliaan.
Selalu berperang antara kabilah-kabilah, membunuh anak perempuan, dijajah dengan Rom dan Parsi, dan pelbagai lagi gambaran kehinaan yang ada pada mereka.
Namun, selepas datangnya Rasul s.a.w. membawa cahaya IMAN, membawa mereka kembali kepada ajaran Allah, berlaku perubahan yang cuku luar biasa.
Masyarakat yang satu ketika dahulu dikenali dengan kedhaifannya berubah menjadi masyarakat yang digeruni dan dihormati dunia.
Lahirlah peribadi dan tokoh-tokoh yang unggul seperti Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Abu Bakar, Bilal bin Rabah, Khalid al-Walid dan ramai lagi.
Mereka semua memiliki peribadi yang menjadi contoh kepada dunia.

HINANYA MANUSIA BILA MENINGGALKAN ALLAH DI BELAKANG

Lihatlah kezaliman dan maksiat yang berleluasa di sana sini.
Pemimpin dengan kerakusan, kezaliman dan penindasan yang tidak pernah berhenti. Tidak jujur dan mengabaikan rakyat.
Rakyat pula terjebak dengan maksiat dan kemungkaran.

Kenapa boleh terjadi begini?
Inilah akibat meninggalkan Allah SWT.
Mereka tinggalkan Allah SWT, dan mengambil lain daripada apa yang telah Allah tetapkan.
Mereka lupa dan lalai kepada tanggungjawab mereka kepada Allah.
Mereka tahu Allah SWT itu Rabb Alam ini, tetapi mereka tahan dan tutup hati mereka. Sebab itu mereka tidak pernah faham dan sedar.

Inilah contoh manusia HINA.
Lebih hina daripada lembu, kambing dan segala apa jenis binatang.
Bagi mereka balasan yang setimpal hanyalah neraka.
Kerana terlalu banyak dosa dan kelalaian yang mereka lakukan.
Firman Allah SWT dalam surah Al-A'raf ayat 179 yang bermaksud:

"Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai."

Itulah perumpamaan yang Allah gambarkan untuk manusia yang meninggalkan-Nya.
Sama seperti binatang ternakan, bahkan lebih teruk lagi daripada itu.
Binatang pun sayang kepada anak, tetapi manusia hari ini buang anak di mana-mana sahaja bahkan di dalam jamban sekalipun.
Huh, kesian makhluk tidak berdosa itu!
Binatang pun tidak tamak dalam mencari makanannya. Lihatlah semut, berkongsi dengan saudaranya. Tetapi manusia, ketamakan dan kerakusannya melampau-lampau.

Sehina-hina binatang masih mampu memberi manfaat kepada manusia, susu dan dagingnya.
Sehina-hina manusia, masihkah ada manfaat?


PENUTUP : KITA PERLU KEMBALI KEPADA TUJUAN ASAL

Allah SWT telah sebutkan dalam surah Al-Mukminun yang bermaksud:

"Apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu dengan sia-sia dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Kita hidup, ada tujuannya.

Kita tidak hidup sekadar untuk memuaskan nafsu ini.

Hidup di atas nafsu inilah yang menyebabkan manusia berpecahan dan bergaduh sesama sendiri.

Kita perlu SEDAR dan KEMBALI...!

IIMAN yang akan memuliakan kita. Lihatlah kesan IMAN terhadap generasi Rasul s.a.w. dan para sahabat.
Mereka juga manusia seperti kita, tetapi mengapa mereka mampu menjadi hebat sedemikian?

Mereka tidak pernah meninggalkan Allah dalam kehidupan mereka.

Mereka menjaga hak-hak Allah, maka Allah menjaga dan memuliakan mereka.

Manusia, makhluk yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian, maka baginya juga sebaik-baik deen (cara hidup) di sisi Allah, iaitu ISLAM.

Sekiranya dia memilih jalan yang lain, maka sesat dan rosaklah dirinya.

Saturday, September 11, 2010

Corak Yang Tiada Bandingan


Menyenangkan.
Cantik dan indah.
Begitulah antara pandangan dan komentar yang keluar daripada mulut kita apabila memerhatikan lukisan-lukisan yang cantik dan memuaskan hati kita, bukan?
Apabila dilukis dengan begitu teliti dan diwarnakan sehingga nampak begitu realiti, kadang-kadang kita pun jadi teruja dan terpegun.
Mungkin bagi yang tidak mahir, dia akan bertanya," Macam manalah orang ni lukis? Nampak macam real. Hebat, hebat."
Lain pula pendapat bagi seorang pelukis,"Lukisan ni....hurrmm...begitu teliti dan halus. Corak lukisannya kreatif dan nampak hidup. Warna yang digunakan sesuai ...."
Bagaimanalah agaknya terhasil corak yang cantik dan real sebegitu?
Mestilah yang menghasilkannya orang yang berbakat dan pandai melukis, bukan?

Justeru, jika lukisan yang sebesar itu, dan secantik itu, dilukis dan dicorakkan oleh seorang manusia sudah kita kagumi, maka ada yang lebih hebat dan patut kita kagumi.
Siapa?
Oh...Sudah tentulah Yang Menciptakan manusia yang mampu melukis lukisan yang cantik itu.
ALLAH YANG MAHA AGUNG.
Dia lebih lagi daripada itu. Dia Maha Hebat.
Lihatlah alam semesta yang luas dan indah ini, Dialah yang menjadi 'designer' dan 'creator' nya.
Lihatlah diri kita, mata, hidung, badan, kaki, kepala, otak, rambut, kuku, jantung, paru-paru bahkan sel-sel dalam badan kita, Dia jugalah yang menjadi 'engineer' menyusun atur tubuh kita dan sistem yang ada dalam tubuh kita.
Lihatlah segala-galanya yang ada di sekeliling kita. Tanah, air, udara, matahari dan segala-galanya diciptakan oleh Allah.

LUKISAN DAN CORAK ALLAH YANG MAHA TINGGI NILAINYA

Lukisan Monalisa. Nampak biasa. Tapi nilainya 
tinggi hingga dipamerkan di Muzium. Cuma lukisan 
seorang manusia....

Lukisan manusia. Sebuah lukisan yang hanya dilukis dengan tangan, tapi nilainya sangat tinggi sehingga berbilion-bilion ringgit. Kerana apa? Kerana nilai dan unsur seni yang begitu tinggi dalam lukisan itu.
Cuba kita bandingkan pula dengan 'lukisan' Allah. Bukankah 'lukisan' Allah itu tinggi nilainya kepada kita?
Air. Bolehlah kita hidup tanpa air?
Sudah tentu tidak, bukan?
Bahkan 3/4 daripada kandungan badan kita adalah air.
Tanah. Bagaimana kita 'survive' tanpa tanah?
Di mana kita nak berpijak kalau tidak ada tanah?
Di mana kita nak tanam pokok sayur-sayuran, buah-buahan untuk jadi makanan kita?
Bagaimana kita boleh menternak binatang tanpa ada tanah?
Udara. Kita bernafas menggunakan oksigen,bukan?
Lalu, jika tiada udara, tiada oksigen, masihkah ada lagi kita?
Bahkan, jika dikaji, sebenarnya komposisi udara yang telah 'dilukis' oleh Allah itu yang terdiri daripada oksigen, karbon dioksida, gas nadir dan nitrogen itu sebenarnya komposisi yang cukup lengkap dan sempurna. Kurang salah satu atau lebih akan mengakibatkan ketidakseimbangan pada bumi ini.
Itu belum disentuh lagi tentang diri manusia, organ-organ dan sistem yang ada dalamnya.

Cantik dan indah 'lukisan' Allah itu, bukan?
Tinggi nilainya kepada kita, bukan?
Lalu, ingin saya timbulkan satu persoalan di sini, adakah 'free' semua itu?
'Free' atau ada bayarannya seperti lukisan Monalisa itu?

BAYARAN YANG MEMBERI KEUNTUNGAN BERGANDA KEPADA KITA
Mungkin dengan manusia, jika kita beli barang, kita perlu dahulukan pembayaran wang. Jika tak bayar, tak dapat barang. Ada juga yang ambil dulu dan bayar kemudian. Ada juga sistem bayaran ansuran. Tapi, pendek kata, mesti bayar, Tidak ada yang tidak bayar.
Sebagai contoh, penggunaan elektrik dan api.
Lebih 3 bulan tak bayar, maka bekalan elektrik dan api ke rumah kita akan dipotong.
Itu dengan manusia.
Dengan Allah, 'deal'nya jarang-jarang berlaku begitu di dunia hari ini. Mungkin ada, tapi bukan sekarang.
Kalau kita tidak bayar pun apa yang telah Allah berikan itu, Allah tetap terus biarkan kita guna dan menikmatinya sampai masa yang ditetapkan-Nya.
Tapi, sekiranya kita bayar, bahkan dengan bagi tambahan atau hadiah pula, maka sudah pasti Allah akan beri lebih lagi kepada kita. Bukan itu juga, Allah bertambah sayang kepada kita.
Allah s.w.t. itu baik, bukan?

لئن شكرتم لأزيدنّكم ولئن كفرتم إن عذابي لشديد
"Sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku padamu, tapi sekiranya kamu kufur, sesungguhnya aazab-Ku amatlah pedih."

Ya. BERSYUKUR.
Itulah bayarannya...
Mudah, bukan?
Tengoklah janji Allah Yang Maha Adil itu, kita bersyukur, Allah bagi lebih lagi.
Untung tak kita?
Tapi, bagaimana melahirkan kesyukuran itu?

IKUTLAH CORAK DAN ACUAN YANG TELAH ALLAH TETAPKAN UNTUK KITA
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 138 yang bermaksud:

"Dan corak Allah itu, dan siapakah coraknya yang lebih baik dari corak Allah?..."

Apakah corak Allah itu?
ISLAM.
Allah telah tetapkan ISLAM sebagai the best way of life bagi manusia abad ini. Tidak kira dia adalah dari bangsa mana, atau apapun jenis warna kulit, ataupun tahap umurnya mahupun pangkat darjat dan kedudukannya. Islam adalah sesuai untuk semua.
Tapi, bagaimana dikatakan Islam itu sebagai corak Allah yang terbaik untuk semua manusia?
Bilamana kita berusaha menjadikan 24 jam dalam kehidupan kita ini semuanya adalah untuk Allah dan kerana Allah sahaja.
Maknanya?
Maknanya, setiap detik, setiap saat, setiap minit kita tidak lari daripada buat apa yang hanya disukai oleh Allah s.w.t. sahaja dan meninggalkan semua yang dibenci-Nya.
Kita buat hanya kerana mengharapkan redha Allah s.w.t.
Hidup kita semua diisi dengan apa yang telah ditetapkan oleh Islam.
Pergaulan mengikut tatacara Islam, sistem ekonomi adalah yang dipandu oleh Islam, hubungan kemasyarakatan dan sosial yang berlandaskan Islam, pentadbiran dan pemerintahan yang menepati hukum-hukum Islam serta sistem hidup yang bersyariatkan Islam.
Kenapa mesti semuanya mengikut ISLAM?
Kerana itu adalah corak ALLAH, dan corak ALLAH itu adalah yang TERBAIK, bukan?

   Itulah caranya kita menzahirkan rasa syukur kita dengan apa yang telah Allah beri kepada kita. Itu sebagai 'bayaran' yang mampu kita usahakan untuk menunjukkan penghargaan kita terhadap anugerah 'lukisan-lukisan' Allah Yang Maha Kaya kepada kita.

PENUTUP : CORAK INI TIADA BANDINGANNYA
Corak yang telah lama ditunjuk dan diambil oleh Rasul s.a.w. dan para sahabat ini adalah corak yang tiada bandingannya. Lihatlah zaman Rasulullah, Islam datang mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Islam membawa kemajuan setelah mengalami kemunduran yang begitu lama. Bahkan, Islam mengeluarkan manusia daripada kesempitan hidup kepada keluasan hidup.
Justeru, mari koreksi diri untuk seketika.

Kita yang telah lama bergelar seorang Islam, adakah kita benar-benar serius dalam memahami Islam dan melaksanakannya?
Corak terbaik Allah untuk kita!!!
Kalau kita rugikan atau biarkan macam itu sahaja tanpa berusaha untuk FAHAM dan BERAMAL dengan tuntutan-tuntutannya, kita sudah merugikan peluang TERBAIK untuk kita...
Tidak ada lagi yang terbaik selepasnya atau sebelumnya....

Wednesday, September 8, 2010

Rahsia Kekuatan




Bila diperhatikan langit teguh berdiri tanpa tiang, rasa diri ini terlalu kerdil.
Bila matahari terbit memancarkan sinarnya, terasa diri ini tidak ada apa.
Bila bulan menerjah di malam hari menampakkan keindahannya, terasa diri ini terlalu kecil.


Kita tidak seteguh langit itu, berdiri tanpa tiang.
Kita juga tidak seterang matahari, mampu memanfaatkan alam ini dengan sinarnya.
Kita juga tidak seindah bulan, menyejukkan mata yang memandang.


Ya...Kita memang tidak sehebat itu.
Tapi kita boleh menjadi LEBIH HEBAT daripada itu....
Kita ada Allah...


Siapakah yang menciptakan langit yang teguh itu?
Allah Maha Agung...
Siapa pula yang mencipta matahari yang bersinar-sinar itu?
Allah Maha Kuasa...
Dan siapa pula pencipta bulan yang indah itu?
Allah Maha Kaya...


Ya...Allah Al-Khalik. Dia adalah Pencipta dan Pemilik segala-galanya.
Allah telah sebutkan dalam surah Al-Mukminun yang bermaksud:


"...Maha Suci Allah, Dia adalah sebaik-baik Pencipta."


Ya...Di situ rahsia KEKUATAN hidup ini. ALLAH S.W.T.
Langit tidak mungkin seteguh itu tanpa izin Allah, Matahari yang terang itupun tidak mampu terbit tanpa izin Allah, bahkan bulan yang indah itupun akan menjadi hodoh jika Allah membiarkannya.
Lantas, di situlah rahsia kekuatan makhluk.


Manusia...
Ia juga adalah makhluk, bukan? Lalu, bukankah Allah juga adalah rahsia kekuatan bagi manusia itu?
Ya...sudah tentu.Allah s.w.t. yang menciptakan manusia, lalu Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.
Dia yang memberi manfaat dan mudharat kepada manusia.
Dia jugalah yang mengawal takdir manusia, menentukan manusia mana yang layak bersama golongan yang Ia redhai di akhirat nanti dan golongan mana yang dimurkai.


Sebagaimana langit itu mampu menjadi atap dunia tanpa tiang, maka Dia mampu menjadikan kita seteguh itu juga dengan syarat, jagalah hubungan dengan-Nya.
Dia mampu menjadikan kita bersinar seterang cahaya Matahari itu, namun jagalah hubungan dengan-Nya.
Dia mampu menjadikan kita seindah bulan purnama, dengan syarat, jagalah hubungan dengan-Nya.


Ia...di situ KUNCINYA...
Jagalah hubungan dengan Allah. 
Tapi, bagaimana nak jaga hubungan dengan Allah?
Sebagaimana seorang pekerja yang berharap agar majikan suka dan sayang padanya serta beri bonus lebih kepadanya, sudah tentulah dia akan buat apa yang disukai oleh majikannya sahaja serta meninggalkan apa yang tidak disukai majikannya,maka begitulah umpamanya.
Kita berharap Allah sayang dan jaga serta beri apa yang kita hajatkan, maka kita perlu laksanakan apa yang disuruh oleh Allah, meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah. Kita buat apa yang Allah suka, dan kita tinggal apa yang Allah bencikan.


Allah suruh kita ambil Islam sebagai cara hidup kita, maka dalam hidup kita, kita menolak Illah (sembahan) selain Allah.
Allah suruh kita berakhlak dengan akhlak mulia, maka kita memelihara akhlak kita.
Allah suruh kita tinggalkan kata-kata kesat dan tidak elok, maka kita tinggalkan.


Pendek kata, bila mana kita menjaga apa yang Allah minta dan apa yang Allah suka, sudah pasti Dia akan beri 'bonus' pada kita, tak? Tapi 'bonus' tu dalam bentuk macam mana, ye?


Firman Allah dalam surah Al-Baqarah,5 yang bermaksud:


"Mereka itu berada di atas petunjuk daripada Rabb mereka dan mereka itu tergolong dalam orang-orang yang berjaya."


Allah telah janjikan orang-orang yang menjaga hubungannya dengan Allah, mereka sentiasa ditunjukkan Allah ke jalan yang benar, malahan tergolong dalam golongan yang berjaya, bukan sahaja di dunia, bahkan akhirat.


Tidak mahukah kita?
Orang yang sentiasa dipandu dan dibimbing oleh Allah, maka kehidupannya adalah kehidupan yang bahagia.
Ia tidak risau diuji dengan musibah, dia tidak gopoh menerima ujian kesenangan. Dalam kedua-duanya, dia adalah orang yang sabar dan bersyukur.
Maka, lantaran itu, Allah menjadikan dia sentiasa KUAT untuk terus taat dan patuh kepada Allah.
Kuat fizikalkah,atau kuat mental?
Oh, tidak...
Allah beri kekuatan pada jiwanya, pada imannya menyebabkan kekuatan itu terjelma ke jasmani dan aqlinya.




Lantaran itu, bila berdiri, dia adalah seteguh langit, tidak mudah goyah diuji badai dan ujian.
Dia juga laksana matahari, kehadirannya memberi manfaat dan kebaikan pada orang di sekitarnya.
Dia juga umpama bulan, hadir merawat luka-luka hati dan membuat orang rasa senang dan tersenyum dengan kehadirannya.


(Menerima khabar kemalangan sahabat di Perlis, akhi Qawiem Khairi dan Salman Sukri ketika ana hampir menghabiskan post ini. Kebetulan sekali. Moga Allah kuatkan mereka dengan ujian ini)

Sunday, September 5, 2010

Ramadhan Yang Membahagiakan Jiwa




Alhamdulillah, Allah izinkan juga dalam kesempatan yang ada ini untuk kembali menulis dalam saki-baki bulan Ramadhan yang ada ini.
Ramadhan... satu anugerah yang SANGAT MEMBAHAGIAKAN, bukan?
Ya... memang benar. Tempohnya sebulan. Singkat dan pendek. Tetapi pengisiannya di dalamnya padat.
Cukup berkesan dan memberi makna kepada hamba-hamba Allah yang beriman.
Kini, MADRASAH TAQWA itu kian meninggalkan kita. Ya...Tinggal 3-4 hari saja lagi.
Selepas ini, tidak ada lagi musim yang sama sepertinya. Musim yang memberi ketenangan kepada jiwa beriman, musim yang menghampirkan hamba-hamba lebih dekat kepada Rabbnya, serta musim yang melapangkan dan menyenangkan jiwa mukmin yang bersungguh-sungguh di dalamnya.
Rasa tidak sabar sebelum bertemu dengannya, rasa teramat sedih ketika ia hampir meninggalkan kita.
Memang benar apa yang pernah disabdakan oleh Nabi s.a.w.:

"Sekiranya hamba Allah itu mengetahui apa-apa (kelebihan) yang terkandung dalam bulan Ramadhan, pasti dia akan bercita-cita sepanjang tahun itu adalah Ramadhan."


TARBIYAH RAMADHAN ITU MEMBAHAGIAKAN JIWA

Hadith yang selalu kita dengar dan diulang-ulangkan:

(( من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه ))
"Barangsiapa yang berpuasa dalam Ramadhan dengan penuh keimanan dan menghitung-hitung (amalnya), nescaya diampunkan dosa-dosanya yang lalu"

Dalam riwayat yang lain:

 (( من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه ))
"Barangsiapa yang membangunkan (malam) Ramadhan dengan penuh keimanan dan menghitung-hitung (amalnya), nescaya diampunkan dosa-dosanya yang lalu."

Kita dapat fahami daripada kedua-dua hadith tadi bahawa orang-orang yang melaksanakan ibadah Ramadhan ini dengan penuh ikhlas dan keyakinan kepada Allah, Allah menjanjikan keampunan baginya atas dosa-dosanya yang lalu. Bahkan disebutkan dalam hadith ini (واحتسابا) -yang bermaksud 'menghitung-hitung', yang dimaksudkan dengan menghitung di sini adalah mengira amalnya pada hari dalam Ramadhan sama ada sedikit atau banyak. Sekiranya masih sedikit, maka tidak boleh berpuas hati dan perlu ditambah dan diperelokkan lagi. Sekiranya banyak, masih tidak boleh berpuas hati dan perlu dimurnikan lagi.

Bahkan Rasulullah s.a.w. juga menjanjikan dalam Ramadhan ini Allah membuka pintu syurga seluas-luasnya dan menutup pintu neraka serapat-rapatnya, bahkan syaitan dan iblis dibelenggu. Tidak cukup dengan itu, Allah janjikan pula dalam hadith yang diriwayatkan Ibn Khuzaimah yang bermaksud:

"... Di awalnya RAHMAH, di tengahnya KEAMPUNAN. di akhirnya PEMBEBASAN DARI API NERAKA..."

Ya...terlalu besar dan hebat ganjaran Ramadhan ini sehingga Allah berfirman dalam satu hadith Qudsi yang bermaksud:

"Semua amal anak Adam itu untuk dirinya, kecuali puasa untuk-Ku dan Aku yang akan memberi ganjaran kepadanya."

Cuba kita fikirkan sejenak...
Mengapa Allah sediakan suasana Ramadhan Al-Mubarak ini dalam keadaan sebegitu rupa sekali?
Kenapa tidak bulan-bulan lain pun Allah buat yang sama juga?
Kan lebih senang manusia jika semua bulan ada ganjaran macam tu, kan?

Jawapannya senang saja.
Cuba kita bayangkan dalam kehidupan kita ini sesuatu kita terlalu hajatkan tapi susah didapati, sudah tentu kita akan berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu, bukan?
Sebagai contoh, kejayaan dalam peperiksaan. Kalaulah berjaya dalam periksa itu boleh didapati dengan senang, maka tidak ada usaha untuk baca buku dan ulangkaji.
Begitulah perbandingannya, Allah Yang Maha Agung nak melihat siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang kuat berusaha dan ikhlas untuk dekat dengan-Nya. Sebab itulah, Ramadhan sekali saja setahun dan ganjaran yang begitu hebat itupun datang dengan pakej ibadah Ramadhan. Kalau selalu, kita tidak akan rasa kemanisannya. Lumrah alam, sesuatu yang menjadi kebiasaan bagi masyarakat setempat itu tidak ada keistimewaan bagi mereka perkara itu.

Pakej ibadah Ramadhan yang cukup istimewa dan mendekatkan kita dengan Allah.
Kita tidak akan bertemu suasana yang sama seperti ini dalam bulan-bulan yang lain. Ramai orang melazimi bacaan Al-Quran, memperbanyakkan iktikaf, dan melaksanakan qiamullail. Tidak terlepas juga yang melatih sifat pemurah dengan memperbanyakkan infaq dalam Ramadhan. Allah sediakn pula bonus Lailatul Qadr. Sesiapa yang dapat BONUS ini, beruntunglah dia.
Pendek kata, bulan ini adalah bulan yang cukup subur untuk amar maaruf (ajak kepada kebaikan) dan nahi mungkar (cegah kemungkaran). Oleh sebab itu, rugilah orang yang berpeluang menikmati bulan Ramadhan ini tapi tidak dimanfaatkan sebaiknya.
Sabda Nabi s.a.w.:

"...Rugilah orang yang melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.."

RAMADHAN DATANG DAN PERGI, IMAN TERTINGKAT, MAINTAIN ATAU SEBALIKNYA?

Allah sediakan Ramadhan ini khas sebagai satu medan untuk mendidik iman. Sebab itulah, di dalamnya diperbanyakkan dorongan-dorongan untuk melakukan kebaikan, dan disekat dorongan-dorongan untuk melakukan kejahatan.

Sebab itulah, natijah akhir Ramadhan sepatutnya adalah TAQWA.
Allah telah sebutkan dalam surah Al-Baqarah, ayat 3:

(لعلكم تتقون....)   
"... supaya kamu menjadi orang-orang yang BERTAQWA."

Sebab apa TAQWA?
Allah telah berfirman dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:

"...Dan berbekallah kamu, maka sebaik-baik bekal adalah TAQWA."

TAQWA itu natijah daripada proses didikan iman yang tersedia dalam Ramadhan ini. Kita keluar dari madrasah Ramadhan ini menjadi hamba Allah yang bersih daripada dosa dan bersedia untuk mengharungi 11 bulan yang mendatang dengan persediaan cukup rapi membawa bekal taqwa.

Taqwa sebagaimana jawapan Saidina Umar kepada sahabatnya," Apabila aku melalui jalan yang penuh ranjau dan berduri, sudah pasti aku akan mengangkat kainku sedikit dan berwaspada dalam langkahanku."

Justeru, perlunya kita mengkoreksi diri kita dalam beberapa hari yang berbaki ini, agak-agaknya kita akan keluar sebagai seorang graduan TAQWA atau tidak?
Berjaya atau tidak kita menyambut Syawal yang bakal tiba dengan ijazah TAQWA bersama kita?
Adakah iman kita tertingkat, atau maintain atau menurun?
Iman itu kan dibuktikan dengan AMAL...
Mari muhasabah dengan hari yang berbaki ini....



PENUTUP : RAMADHAN BAKAL MELABUHKAN TIRAINYA
Musim bunga (Rabi'ul Abrar) ini sudah hampir ke penghujungnya.
3-4 hari lagi, ia bakal menutup tirainya bagi tahun ini. Tahun depan, kita belum pasti kita sempat sampai kepadanya atau tidak. Hadiah Allah yang cukup besar untuk hamba-hambaNya, berapa ramai yang BERSYUKUR dan berapa ramai pula yang KUFUR?
Hati ini rasa terlalu sedih dan berat untuk berpisah dengannya...
Kalaulah 'engkau' ada sepanjang tahun...

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP