Thursday, December 16, 2010

Nota Tarbiyah : Islam Secara Total

Pemisahan antara ISLAM dan JAHILIAH,
pertentangan antara IMAN dengan KUFUR


Islam itu tidak pernah sama dengan jahiliah.

Jalannya berbeza, matlamat dan halatujunya juga tidak sama.

Islam tidak pernah akan berkongsi dengan jahiliah dalam keadaan apapun.

Islam yang dicampuradukkan dengan nilai-nilai jahiliah yang rosak itu akan mengakibatkan kerosakan pada Islam semua sekali.

Yang baik tetaplah baik.

Yang buruk tetaplah buruk.

Baik + buruk = BURUK

Sebab itu, Islam tidak sekali-kali dapat menerima titik pertemuan dengan jahiliah.

Kerana jahiliah itu gelap-gelita dan merosakkan kehidupan.

Sedang Islam itu cahaya dan membahagiakan hidup.


NILAI PENGASINGAN : CAMPUR ADUK YANG MEROSAKKAN

Kita tidak sekali-kali dapat menyatukan nilai Islam dan jahiliah dalam kehidupan.

Tidak ada titik yang dapat mempertemukan keduanya kerana masing-masing berbeza hala tuju dan sistem.

Bagai utara dan selatan bezanya. Bagai timur dengan barat jauhnya.

Namun, jahiliah abad moden ini datang dalam pelbagai bentuk millah (sembahan) yang tidak disedari oleh manusia.

Ia mungkin datang dalam bentuk kepelbagaian agama yang jelas di mata kita seperti Buddha, Kristian, Yahudi dan sebagainya

Namun, ia juga datang dalam bentuk Islam yang pelbagai perisa dan warna, cara hidup yang berkiblatkan materialisme semata-mata serta hukum akal yang diterimapakai tanpa hadnya di serata dunia, meninggalkan hukum Tuhan.

ISLAM ?

Umat Islam hari ini jauh ketinggalan sebenarnya.

Bahkan dihina seteruk-teruknya dan sepuas-puasnya oleh militer jahiliah yang bebas bermaharajalela tanpa mampu untuk kita berbuat apa-apa.

Agensi-agensi dan badan-badan pertubuhan yang ada sebenarnya telah dimanfaatkan untuk kuasa jahiliah.

Hatta pertubuhan-pertubuhan besar dunia yang sekalipun menjaja rata nama Islam, namun tidak ada satu tindakan nekad untuk mempertahankan Islam.

Sekadar resolusi-resolusi kosong yang tiada hentinya, dirancang dan dimeterai untuk menyejukkan ummat saat dunia ditimpa kehangatan seperti isu Palestin, Islamofobia dan sebagainya.

Islam difitnah, dihina dan dicemarkan dengan unsur-unsur yang tidak sepatutnya bahkan yang melakukannya adalah umatnya sendiri. ‘Memalit tahi pada cara hidupnya sendiri, akhirnya memalukan diri.’

Inilah kesan mencampur adukkan nilai IMAN dan KUFUR.

Allah s.w.t. telah lama mengingatkan kita tentang hal ini dalam surah Al-Imran,85 yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mencari selain Islam sebagai cara hidupnya, maka sekali-kali tidak akan diterima, dan dia di akhirat kelak termasuk golongan yang rugi.”

Tidak ada persekongkolan antara ISLAM dan JAHILIAH.

Tidak sekali-kali.

ISLAM itu adalah kita melaksanakan apa yang Allah kehendaki dan apa yang Allah suka ke atas kita.

Berbeza dengan jahiliah yang melaksanakan apa yang dikehendaki oleh Taghut, yang jauh bertentangan dan mengingkari arahan dan perintah Allah.

Mana mungkin ada persamaan kedua-duanya?

IMAN itu akan bawa ke syurga.

KUFUR itu jawapannya di pintu neraka.

Lantaran itu, adakah sama jalan ke syurga dan jalan ke neraka?

Saya berikan anda perumpamaan yang cukup mudah untuk difahami.

Bolehkah orang yang melakukan solat dalam masa yang sama dia juga melakukan zina?

Orang yang berpuasa tetapi mengumpat orang ?

Nak pahala, tapi CINTAKAN dosa, dapat ke ganjaran Allah?


KESAN YANG MELAMPAUI ZAMAN : ISLAM MENGIKUT KETETAPAN ALLAH ATAU SELERA MASYARAKAT?

Rasul s.a.w. satu ketika dahulu datang berseorangan di Tanah Arab jahiliah membawa Islam. Beliau mendidik seorang demi seorang bermula dengan isterinya, diikuti sepupunya serta sahabat karibnya.

Kemudian datanglah pengikut-pengikut dan para pendokong Islam selepas itu meyakini dan mengimani ajaran yang dibawa oleh baginda s.a.w.

Merekalah yang telah membentuk dan menjadi Jilul Quranil Farid (Generasi Al-Quran yang Unik) sehingga diiktiraf di dalam Al-Quran.

Rasul s.a.w. telah mendidik dan membentuk Jilul Quran ini supaya tunduk kepada Allah s.w.t. dalam semua hal, bukan hanya pada sebahagian hal.

Lihatlah kesan daripada pengambilan Islam secara total, kesannya jauh melampaui zaman.

Mereka sudah tidak ada, namun Islam yang mereka bawa itu terus sampai kepada kita pada hari ini.

Namun, persoalannya, adakah kita mengambil Islam secara total dalam kehidupan kita sama seperti mereka?

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah, 208 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan (total) dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia adalah musuh kamu yang nyata.”

Islam itu tidak lengkap dan sempurna jika kita mengambilnya mengikut citarasa kita.

Mana-mana bahagian yang kita suka pada Islam, itulah yang kita amalkan.

Bahagian yang kita tidak suka atau tidak selesa, kita tolak Islam.

Kita mengambil Islam dalam bab solat, perkahwinan namun kita menolak Islam dalam bab perundangan dan pentadbiran.

Bolehkah Islam tertegak?

Kita mengambil Islam dalam bab pengurusan jenazah, tetapi meninggalkannya dalam bab tatacara kehidupan dan pemikiran kita.

Mungkinkah Islam itu tertegak dengan mengikut citarasa kita?

Islam itu tidak mungkin tertegak jika kita meninggalkan sebahagian dan mengambil sebahagian sahaja (juz’i). 

Mengambil Islam secara juz’iah akan merosakkan kehidupan ummat baik dari aspek individu, keluarga mahupun masyarakat.

Islam itu telah syumul (lengkap), kamil (sempurna), dan mutakamil (komprehensif) kerana ia datang daripada Allah s.w.t. Ia bukan rekaan mahupun ciptaan manusia bernama Muhammad bin Abdullah itu.

Sesiapa yang memilih sebahagian dan menolak sebahagian yang lain daripada Islam, maka ia telah merendah-rendahkan Allah dalam kehidupannya.

Kenapa?

Kerana dia telah menganggap seolah-olah Allah Yang Maha Agung ini tidak bijak dan lemah dalam meletakkan Islam sebagai neraca kehidupan manusia.

Lalu, dia pun menampal-nampal Islam itu dengan tempelan-tempelan yang hakikatnya sangat lemah, namun kerana nafsu dan logik akal yang tiada henti-henti berputar, maka dianggapnya Islam tempelan itu sempurna bagi dirinya dan masyarakat.

Murabbi saya, iaitu Cikgu Mohd Abdoh Zainal Abidin (MAZA) pernah berpesan:

“Kita nak bangunkan Islam, perlu mengambil Islam yang ditetapkan oleh Allah, bukan mengikut selera masyarakat.”

Islam perlu diambil sepenuhnya daripada apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Jika kita mengambilnya mengikut citarasa kita atau selera masyarakat, maka kita tidak sekali-kali dapat membangunkan Islam dalam kehidupan kita dan masyarakat.


PENUTUP : AMBILLAH ISLAM SEMUA SEKALI ATAU TINGGALKANNYA SEMUA SEKALI

As-Syahid Sayyid Qutb pernah berpesan:

“Selangkah kamu melangkah ke jahiliah, selamanya kamu meninggalkan Islam.”

Islam tidak pernah sekali-kali dapat menerima jahiliah.

Orang-orang yang memilih Islam sebagai sistem kehidupannya, maka dia perlu mengambil Islam secara total dalam kehidupannya dan meninggalkan jahiliah secara total juga.

Simpati atau kasihan dengan memberi sedikit ruang pada jahiliah untuk bersama dengan kita hanya akan merosakkan Islam yang kita miliki.

Apabila Islam diterima, jahiliyah perlu ditolak.

Tidak mungkin berlaku perkongsian antara jalan ke syurga dan jalan ke neraka.

Matlamatnya berbeza, maka wasilah untuk sampai kepada kedua-duanya juga berbeza.

Jalan ke syurga itu dipenuhi dengan ranjau dan duri sedang jalan ke neraka itu penuh kesenangan dan keseronokan syahwat.

Bahagia di sini, belum tentu menjamin bahagia di sana.

Mahu merasai kelazatan iman & kemanisan Islam?
Ambillah ISLAM semua sekali !

2 comments:

tzmoh December 20, 2010 at 11:05:00 AM GMT+8  

Assalamualaikum, alhamdulillah kesedaran adalah langkah pertama untuk berubah. Apakah yang telah anta lakukan dan sanggup lakukan untuk menegakkan syiar islam. Kita sama sama berusaha. Saya pun begitu.

Anonymous December 5, 2014 at 4:32:00 PM GMT+8  

Perkongsian yg baik..

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP