Wednesday, November 3, 2010

Lorong Kematian

Jauh tapi DEKAT...
Semua yang hidup itu pasti akan mati.
Ya. Itu KEPASTIAN.
Tiada yang boleh menyangkal mahupun melawan hakikat itu.

Ia adalah ketetapan buat setiap makhluk.
Tidak ada yang boleh mengelak mahupun menangguhkan atau mempercepatkan.
Saat roh akan bercerai dari jasad.
Saat perpisahan dengan semua sanak saudara dan keluarga.
Saat perpisahan dengan harta dan kedudukan kita.
Saat perpisahan dengan segala milik kita di dunia.

Itulah saat-saat yang tidak dapat dielak.
Kita pasti akan mati, namun ke mana akan kita lorongkan diri kita untuk hayat yang kekal abadi itu? [ Read more ... ]



BERSEDIAKAH KITA MENANTI WAKTU YANG TIDAK TAHU BILA ITU?

Waktu yang tidak ada siapa pun tahu bila.
Anda tahu?
Tidak. Tidak.
Tidak ada yang tahu.
Tetapi, ia sangat dekat dengan kita.
Kerana bila-bila masa pun ia pasti datang kepada kita.
Sekarang?
Selepas ini?
Selepas makan?
Hari ini?
Esok?
Tahun depan?
Kita tidak tahu....

Sangat-sangat dekat.
Ia tidak mengenal usia, muda mahupun tua, bila telah sampai ketetapan itu untuk dirinya, maka bersedialah engkau, wahai diri...
Ia tidak mengenal kaya atau miskin, sihat atau sakit, hamba ataupun tuan, semuanya sama saja.
Apabila saatnya telah tiba, maka tidak dapat lagi diminta tangguh, minta dipanjangkan umur untuk beramal soleh, tidak lagi ketika itu...


فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لاَ يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلاَ يَسْتَقْدِمُونَ


“Maka apabila telah tiba ajal mereka (waktu yang telah ditentukan), tidaklah mereka dapat mengundurkannya sesaat pun dan tidak pula mereka dapat mempercepatkannya.” (An-Nahl: 61)


Waktu itu, masa untuk beramal kebaikan telah tamat.
Waktu itu juga, cukuplah sudah bagi ahli maksiat dengan kemaksiatan dan dosanya yang berganda.
Kematian yang melenyapkan segala kenikmatan dan kelazatan dunia.
Kematian yang menjadi penghubung antara dunia fana ini dengan kampung akhirat yang kekal abadi.
Semua amal terhenti ketika itu.

Apa yang mampu kita buat ketika itu?
Tidak ada apa lagi.
Tidak ada apa lagi yang mampu kita buat ketika itu melainkan terbaring kaku menanti saat dimakamkan.
Hari itu, ramailah sanak saudara dan kaum kerabat serta jiran tetangga berhimpun, 'meraikan' pemergian kita ke dunia baru, 'meraikan' perpisahan kita buat selama-lamanya daripada dunia ini.

Hari itu, selamat tinggal, hai dunia fana.
Aku akan ke alam yang kekal abadi.
Hari itu, selamat tinggal harta-hartaku yang banyak, rumahku yang besar, keretaku yang mahal, pangkat kedudukanku yang sentiasa melalaikanku.
Aku hanya akan bawa keranda dan kain putih ini sahaja bersamaku hari ini. Hari ini 'rumah baru' untuk aku tidak seluas rumah lamaku di dunia. Ia mungkin lebih sempit dari lubang tikus yang akan mematah-matahkan tulangku. Ia juga mungkin seluas langit dan bumi yang bakal membahagiakanku.
Hari itu, selamat tinggal, hai isteriku yang cantik dan anak-anakku serta semua kaum kerabatku.
Aku tidak tahu siapakah penemanku hari ini, lembaga yang hodoh dan menakutkan atau seorang lelaki yang baik dan menyenangkan hatiku?

Hari ini, aku dengan diri aku.
Tidak ada yang dapat membantuku.
Isteriku yang kusayang..
Minah, tolong abang, Minah!
Jiran-jiran yang datang...
Pak Mat, Pak Abu, bantu saya.!
Dengarkah mereka?
Tidak, mereka tidak akan dapat mendengar.
Saudara-mara kita yang ramai...
Tidak ada yang dapat membantu. Semuanya yang datang hanya mampu mengucapkan belasungkawa.

Saat roh dicabut keluar dari jasad itu, di'flashback' semua amalan kita sepanjang hayat kita.
Jika amalan kita baik, maka bahagialah kita.
Malaikat Izrail akan datang menjemput kita dalam keadaan terbaik.
Jika amalan kita buruk, busuk dengan maksiat dan dosa, maka kematian yang datang menjemput kita akan menghinakan kita.
Hari ini, amal di dunialah yang menentukan siapakah kita di alam seterusnya ini.

Firman Allah dalam surah Al-Qiyamah, ayat 20-28 yang bermaksud:

"Tidak! Bahkan kamu mencintai kehidupan dunia. Dan mengabaikan (kehidupan) akhirat. Wajah-wajah (orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Memandang Tuhannya. Dan wajah-wajah (orang kafir) pada hari itu muram. Mereka yakin bahawa akan ditimpakan kepadanya malapetaka yang sangat dahsyat. Tidak! Apabila (nyawa) telah sampai ke kerongkongan dan dikatakan (kepadanya), "Siapakah yang dapat menyembuhkan?" Dan dia yakin bahawa itulah waktu perpisahan (dengan dunia)."


TAMAN SYURGA YANG MEMBAHAGIAKAN ATAU LUBANG NERAKA YANG MENGAZABKAN

Kubur itu boleh jadi sebuah taman daripada taman-taman syurga yang MEMBAHAGIAKAN kita.
Atau...
Lubang daripada lubang-lubang neraka yang MENGAZABKAN.

Sebab itulah, hiduplah di dunia ini untuk mengejar REDHA ALLAH.
Redha Allah itu anugerah besar untuk kita.
Bila Allah redha dengan kehidupan kita, maka berbahagialah kita di syurga sana.

Namun, saat murka Allah tertimpa ke atas kita, maka tidak ada tempat yang selayaknya melainkan ke neraka yang mengazabkan.

Dalam syurga itu, segalanya membahagiakan jiwa, melapangkan dada, menyenangkan hati.
Namun, dalam neraka itu, segalanya menggerunkan dan mengazabkan bagi penghuninya.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Imran,185 yang bermaksud:

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah disempurnakan balasanmu. Barangsiapa yang dijauhkan daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka dia telah berjaya. Dan tidaklah kehidupan dunia itu melainkan kesenangan yang memperdayakan."

Siapakah orang yang berjaya itu?
Orang yang berjaya itu telah digambarkan dalam surah Al-Asr, surah yang pendek, tapi cukup padat maknanya, yang bermaksud:

"Demi masa. Sesungguhnya semua manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan dengan dengan kesabaran."

Ya. Golongan itu sahaja.
Beriman dan beramal soleh.
Taat kepada suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Menjadikan seluruh kehidupan sebagai ubudiah (perhambaan) kepada Allah.
Kemudian dia mengajak orang lain untuk bersama-sama menjadi soleh.
Setelah itu, dia istiqamah dan terus di atas jalan itu.

Merekalah yang Allah gambarkan dalam surah Al-Haqqah, 19-24 yang bermaksud:

"Adapun orang yang kitab amalannya diberikan di sebelah kanan, maka dia berkata,"Ambillah ia, bacalah kitab ini." Sesungguhnya aku yakin bahawa aku akan menerima perhitungan terhadap diriku. Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredhai. Dalam syurga yang tinggi. Buah-buahannya dekat. (kepada mereka dikatakan), makan dan minumlah dengan nikmat kerana amal yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang lalu."

Tetapi, mereka yang bersikap sebaliknya. Bahagia dengan kesenangan dunia yang sementara, leka dalam kufur.
Maka bagi mereka ini kesusahan dan derita di akhirat:
Firman Allah dalam surah Al-Haqqah, 25-33 yang bermaksud:

"Dan adapun orang yang diberi kitab amalan di sebelah kiri, maka dia berkata, Alangkah baiknya jika kitab ini tidak diberi kepadaku. Sehingga aku tidak mengetahui bagaimana perhitunganku. Alangkah baiknya jika kematian itu penyudah segala sesuatu. Hartaku sama sekali tidak berguna bagiku. Kekuasaan telah hilang dariku. (Allah berfirman), Tangkaplah dia lalu belenggulah tangannya ke lehernya. Kemudian, masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala. Kemudian belitlah dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta. Sesungguhnya dialah orang yang tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar."


JADILAH GOLONGAN YANG CERDIK ....

Rasul s.a.w. pernah bersabda yang mafhumnya:

"Orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati dan membuat persediaan untuk bertemu dengannya.
(Riwayat Ibn Majah)

Kita mengetahui dekatnya kematian itu dengan kita.
Tetapi, kita sering lupa dan lalai.
Leka dengan fantasi dunia yang tidak kekal lama.
Sedangkan negeri akhirat itu juga kampung akhir kita.

Bukanlah orang yang cerdik itu orang yang berjaya menggenggam segulung ijazah di universiti, mahupun orang yang berjaya dalam perniagaannya, mahupun orang yang memiliki harta yang banyak, tapi orang yang cerdik itu adalah orang yang membuat persediaan untuk kematiannya.

Kata As-Syahid Imam Hasan Al-Banna:

"Orang yang bijak adalah orang yang mengolah seni kematiannya."

Ya. Orang yang mencorak seni kematiannya.
Kita mahu mati yang bagaimana?
Pilihlah sendiri...
Kita boleh memilih sama ada mati mulia atau mati dalam keadaan terhina.
Pilihlah dan tentukan destinasi akhir anda.

Bukankah Rasulullah s.a.w. telah beri panduan?

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 


“Bekerjalah kamu untuk kepentingan di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya, tetapi beramallah untuk kepentinganmu di akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari.” 
(Hadis riwayat Al-Asyakin)


Dan Allah juga telah bimbing kita:


 Dan carilah kurniaan Allah untuk kebahagiaan di akhirat di samping itu jangan pula engkau lupa kepada kebahagiaan di dunia.”
 (Surah Al-Qasas, ayat 77)

Lalu, mahu jalan yang mana? Jadilah orang yang cerdik.
Kita sendiri yang tentukan lorong kematian kita.
Tidak ada orang yang ingin mencampakkan dirinya ke dalam kebinasaan dan penderitaan.
Jika ditanya ke mana destinasi akhir yang kita hajatkan, sudah tentu semua akan memilih ke syurga.
Namun, amalan kita seringkali tidak melambangkan dan melayakkan kita untuk ke syurga.

YA.
Matlamat yang tinggi tanpa disertai usaha yang gigih dan perancangan yang teliti tidak akan membawa kita mencapai matlamat akhir itu.

Mahukan sesuatu yang besar, maka bayarannya juga besar.

Masakan kita mahu beli sebuah kereta, namun hanya bawa beberapa sen sahaja untuk membelinya, sudah tentu kita tidak akan memilikinya.

Ramai yang mahukan SYURGA, tetapi berapa ramai yang betul-betul MERANCANG dan BERUSAHA ke arah itu?


INI DAH TAKDIR AKU, NAK BUAT MACAM MANA?

Ada sesetengah orang berkata: "Ah, aku ni memang dah ditakdirkan untuk jadi jahat, nak buat macam mana...Memang dah agaknya aku ni ditakdirkan ke neraka."

Inilah kesalahan dan kesilapan besar.
Menyalahkan takdir.
Menyalahkan takdir, bermakna menyalahkan Allah lah...
Hakikatnya, siapa yang salah?
Bukankah kita yang salah...?
Kita yang tidak mahu berusaha.
Kalah sebelum berjuang.
Berputus asa sebelum diuji.
Kita sendiri yang meletakkan diri kita pada tahap kekalahan itu.
Kita sendiri yang menghijab hidayah Allah kepada diri kita.

Bukankah Allah telah sebut dalam surah As-Syams yang bermaksud:

"Maka Dia telah mengilhamkan kepadanya (jalan) kesesatan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan (jiwanya). Dan rugilah orang yang mengotorinya."

Ada juga yang berkata : "Aku ni bukan baik sangat. Dia takpalah, dia ustaz. Dia belajar agama."

Syurga itu untuk ustaz dan ustazah sahaja?
Habis, mahu diletakkan di mana doktor, engineer, dan orang awam lain?
Sebab itulah diletakkan syarat ke syurga itu mestilah BERIMAN dan BERAMAL SOLEH.
Rujuklah kembali surah Al-Asr tadi:

".... Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan dengan dengan kesabaran."

Ustaz dan ustazah pun belum tentu ke syurga jika tidak beramal soleh.
Nilaian Allah itu pada iman dan amal, bukan pada ilmu yang bertimpa tapi tiada dalam amalan.
Kalau seorang engineer itu beriman dan beramal soleh, maka akhir hayatnya pasti baik.
Jika seorang doktor itu memanfaatkan kerjayanya untuk iman dan amal soleh, maka dia pasti menerima ganjaran yang baik daripada Allah.
Begitu juga orang awam yang beriman dan taat kepada Allah, suruhan dan larangan-Nya, maka tidak ada sebab untuknya daripada terhalang mendapat ganjaran kebaikan daripada Allah.


PENUTUP : TENTUKAN LORONG KEMATIAN KITA !

Nabi pernah mengingatkan kita dalam satu hadis yang mafhumnya:

"Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat)." 
(Riwayat Tirmizi)

Ingatlah.
Cerita kematian itu realiti, bukan fantasi.
Ia hakikat, bukan semata-mata cerita dongeng yang tiada sandaran.
Pilihlah halatuju kita.

Saidina Ali r.a. pernah mengingatkan kita : "Di sini (dunia) tempat beramal tanpa ganjaran, di sana (akhirat) ganjaran tanpa amal."

Janganlah jadi golongan yang menyesal.
Dalam surah As-Sajdah yang bermaksud:

"Dan (alangkah ngerinya) sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya (mereka berkata), Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah (ke dunia), nescaya kami akan mengerjakan amal soleh. Sungguh kami adalah orang-orang yang yakin."

Masih adakah lagi peluang ketika itu?
Sudah terlambat...
Sudah terlambat...

Tentukanlah SEGERA lorong kematian kita !

1 comments:

pencintaAllah November 7, 2010 at 9:53:00 AM GMT+8  

alhamdulillah...syukran atas perkongsian, ana mohon copy post ini boleh? insyaAllah untuk kebaikan bersama....

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP