Tuesday, December 15, 2009

Berjalan Penuh Izzah Di Syurga ...



Izzah atau bangga dengan kemuliaan IMAN di syurga...
Mahukah anda?
Bukan senang mencapai kedudukan di syurga, apatah lagi hendak berjalan dengan penuh kebanggaan...
Berjalan dengan kaki yang tempang...
Hebat!Hebat!


Hebatnya beliau kerana iman...
Bangga beliau kerana imannya di sisi Allah, dengan taqwa beliau menjadi mulia di sisi Allah...
Imanlah yang mendorong beliau untuk terus berjuang meskipun dengan kaki yang TEMPANG.
Kaki tempang, tapi iman tidak tempang, bahkan imannya mekar dalam hatinya bak bunga mekar mengeluarkan bau wangi yang menyenangkan hati.
Siapakah peribadi ini?
Mari sama-sama ikuti kisahnya....


Beliau mempunyai ikatan perhubungan dengan Abdullah Ibn Amr Al-Hiraam melalui perkahwinan, menjadi suami kepada adik Abdullah iaitu Hind binti Amr. AMR IBN JAMUUH merupakan salah seorang pemimpin di Madinah dan beliau adalah ketua kepada Bani Salamah. Anaknya, Muadz Ibn Amr yang merupakan salah seorang daripada 70 Ansar yang berbaiah kepada Rasulullah s.a.w. dalam perjanjian Aqabah dan mendahului bapanya dalam memeluk Islam.


     Muadz Ibn Amr dan Muadz Ibn Jabal mengajak penduduk Madinah kepada Islam dengan penuh semangat dan keberanian.


      Menjadi kebiasaan pembesar di Madinah untuk menyimpan patung-patung berhala di rumah mereka sebagai simbolik sembahan mereka selain patung berhala besar yang diletakkan di tempat awam. Sebagai pembesar dan orang kenamaan, Amr Ibn Jamuuh juga membuat satu patung berhala untuk diletakkan di dalam rumahnya dan beliau menamakan patung berhala itu Manaf. Anaknya, Muadz Ibn Amr telah berbincang dengan sahabatnya, Muadz Ibn Jabal untuk menjadikan patung berhala Amr Ibn Jamuuh itu sebagai objek cemuhan.


      Mereka masuk ke rumah itu pada waktu malam dan mengambil patung itu serta membuangnya ke dalam takungan najis. Apabila Amr bangun daripada tidur, beliau mendapati Manaf tidak ada di tempatnya. Beliau terus mencari hinggalah terjumpa patung itu dalam takungan najis. Beliau menjadi berang dan marah dan berkata, "Kasihan kamu, siapa yang memperlakukan Tuhan-tuhan kami sebegini rupa pada malam ini!" Kemudian, beliau mengambil patung itu, membasuh dan mewangikannya semula. Apabila malam tiba, kedua-dua Muadz itu melakukan perkara yang sama seperti mereka lakukan pada malam sebelumnya.



     Apabila Amr sudah bosan dan letih dengan keadaan itu, akhirnya beliau menggantungkan pedang di leher Manaf dan berkata,"Kalau kau Tuhan yang boleh memberi manfaat, lindungilah dirimu sendiri." Apabila beliau bangun, beliau mendapati Manaf tidak ada di tempatnya, bahkan dijumpai di takungan najis yang sama. Tetapi kali ini, Manaf diikat bersama anjing mati dengan ikatan yang kuat.


   Amr menjadi terlalu marah dan sedih. Dalam keadaan inilah, beberapa orang kenamaan Madinah yang telah mendahului beliau dalam Islam datang mendekati beliau. Mereka tunjukkan patung yang telah terikat pada anjing mati itu dan menceritakan tentang Allah Yang Maha Benar dan Maha Agung, tiada apapun menyamai-Nya. Mereka menceritakan tentang kebenaran Nabi Muhammad  s.a.w. yang datang untuk memberi, bukan untuk meminta dan mengambil. Datang untuk membimbing, bukan menyesatkan. Mereka ceritakan lagi tentang Islam yang datang untuk membebaskan ummat daripada belenggu perhambaan selain Allah, menghidupkan kembali hubungan dengan Allah dalam diri mereka dan cahaya hidayah Allah yang telah mekar dalam hati mereka.


     Dalam beberapa ketika, Amr menyedari tentang dirinya dan halatujunya. Beliau membersihkan diri dan mewangikan dirinya, kemudian pergi bertemu Rasulullah untuk mengakui keIslamnnya dan bersama dengan orang-orang beriman.


     *******************************************



     Amr Ibn Jamuuh telah menyerahkan hati dan dirinya kepada Allah, Rabb sekelian Alam. Walaupun beliau memang seorang yang pemurah, tetapi Islam menjadikannya lebih pemurah. Inilah yang menyebabkan beliau menyerahkan semua hartanya untuk khidmat Islam dan saudaranya.


     Pernah satu ketika, Rasulullah s.a.w. bertanya kepada satu kumpulan daripada Bani Salamah,"Siapakah ketua kamu, wahai Bani Salamah?" Mereka menjawab,"Al-Jad Ibn Qais, meskipun dia seorang yang bakhil."
Nabi s.a.w. membalas,"Tidak, ketua kamu adalah lelaki yang berambut kerinting putih itu, Amr Ibn Jamuuh."
Pengiktirafan daripada Rasulullah s.a.w. ini merupakan satu kemuliaan buat beliau.


    Beliau telah banyak membelanjakan dan mengorbankan hartanya di jalan Allah, maka beliau juga sanggup untuk mengorbankan roh dan nyawanya. Tetapi bagaimana mungkin beliau berkorban dengan kakinya yang tempang sehingga menghalang beliau untuk menyertai mana-mana peperangan pun. Beliau mempunyai 4 orang anak lelaki yang kuat-kuat semuanya. Mereka selalu mengikuti ekspedisi bersama Rasulullah s.a.w., menjalankan tugas sebagai pahlawan Islam secara berterusan.


     Bagaimanapun, Amr cuba juga untuk menyertai peperangan Badar. Anaknya telah memohon kepada Rasulullah untuk memujuk ayahnya supaya tidak keluar menyertai peperangan, ataupun terus memberi arahan kepada ayahnya, jika tidak berjaya dipujuk. Rasulullah s.a.w. berkata Islam telah mengecualikan beliau daripada jihad kerana ketempangannya. Apabila beliau mula merayu untuk menyertai perang, Nabi s.a.w. mengarahkannya untuk tinggal di Madinah.


      Apabila panggilan jihad untuk perang Uhud bergema di Madinah, beliau telah memohon dan merayu kepada Rasulullah supaya membenarkan dia bersama menyertai peperangan itu. Katanya,"Wahai Rasulullah, anak-anakku hendak menghalangku berperang bersamamu. Demi Allah, daku ingin berjalan dengan penuh kebanggaan dengan kakiku yang tempang ini di dalam syurga." Akhirnya Rasulullah membenarkan beliau untuk turut serta dalam perang Uhud. Beliau mengambil senjata dan keluar dengan penuh kegembiraan, memohon kepada Allah dalam nada yang penuh pengharapan,"Ya Allah, kurniakanlah mati syahid kepadaku dan jangan pulangkan aku kepada keluargaku."


     Sebaik saja perang antara tentera Islam dengan tentera kuffar pada hari Uhud, Amr Ibn Jamuuh dan anak-anaknya terus menyerang tentera jahiliyah dengan pedang mereka. Beliau berjalan dengan penuh bangga di tengah-tengah medan peperangan itu. Setiap kali langkahannya pasti pedangnya akan singgah di leher musuh. Beliau berperang sambil melihat sekeliling jika ada malaikat yang datang yang akan memberi syahid itu kepadanya dan menemaninya ke syurga.


    Beliau terus memohon kepada Allah untuk mati syahid, sudah tentulah Allah Maha Berkuasa akan memakbulkan doanya. Dia sangat-sangat berhajat agar dapat berjalan penuh kebanggaan dengan kaki tempangnya di syurga, agar Nabi Muhammad s.a.w. kenal sahabatnya.


   Masa yang dinanti-nantikan telah tiba....
  Sebilah pedang terhunus di badannya, menyebabkan beliau jatuh dan mati syahid. Doanya telah termakbul.
  Saat untuk pulang ke syurga yang kekal abadi.


    Apabila orang-orang Islam hendak mengebumikan pejuang-pejuang Islam yang syahid, Rasulullah telah berpesan agar Amr Ibn Jamuuh dikebumikan bersama Abdullah Ibn Amr Ibn Hiraam dalam satu kubur kerana mereka saling mengasihi dengan ikhlas di dunia ini.







    Kedua-dua sahabat itu, yang syahid kedua-duanya, dikebumikan dalam satu kubur di bawah medan perang itu yang menerima roh mereka dan menjadi saksi akan keberanian luar biasa mereka.


  46 tahun selepas mereka dikebumikan, hujan lebat turun bertalu-talu dan membanjiri kawasan perkuburan itu. Orang-orang Islam segera mengubah kedudukan jenazah-jenazah pejuang yang telah mati syahid. Apa yang mengejutkan mereka, jenazah ditemui dalam keadaan yang baik. Jabir Ibn Abdullah yang masih hidup bersama keluarganya pergi untuk mengubah kedudukan jenazah ayahnya, Abdullah Ibn Amr Ibn Hiraam dan suami mak ciknya, Amr Ibn Jamuuh. Beliau mendapati mereka di dalam kubur seolah-olah sedang tidur. Tidak berubah sama sekali sebagaimana dikebumikan pada awal dahulu.Muka mereka masih tersenyum sebagaimana hari mereka dipanggil pulang bertemu Allah.


   Roh yang hebat dan soleh telah menjadi perlindungan dalam diri mereka, menjadi satu IMUNITI yang memberi perlindungan kepada jasad mereka daripada terurai dan hancur bersama tanah.


Inilah orang yang hidup di sisi Allah. Jangan kita sangka mereka ini mati, bahkan mereka penuh kebahagiaan di sisi Rabb mereka.

Mari contohi beliau...
Kesungguhan dan semangat yang tak pernah pudar...
Kaki tempang, iman tidak pernah tempang...
Imannya menolak untuk berjuang
Tidak ada kehidupan lebih bahagia buatnya
Melainkan bersama Rabb-Nya



0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP