Saturday, April 4, 2009

Mengejar Keampunan Allah


Bismillah...

Setinggi syukur kita panjatkan ke hadrat Allah s..w.t. kerana dengan keizinan dan limpahan kurnianya, kita masih diizinkan Allah untuk terus menerima petunjuk-Nya. Inilah petunjuk yang agung yang membawa kita kepada kerahmatan dan kecintaan-Nya. Hari ini bila manusia berdiri di jurang kehancuran sebagaimana yang digambarkan oleh Syed Qutb dalam karyanya Petunjuk Sepanjang Jalan, sangat sedikit golongan manusia yang menerima petunjuk-Nya. Meskipun bergelar seorang muslim, dalam kad pengenalannya diiktiraf sebagai seorang ISLAM, namun amalan hidupnya tidak memperlihatkan dirinya sebagai seorang Islam. Lantaran itu, apa yang telah disebutkan oleh Allah s.w.t. dalam kalam-Nya yang mulia adalah sangat benar yang bermaksud:

"Sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) tidak boleh memberi hidayah kepada sesiapa yang kamu kasihi, tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya"

Justeru, dalam post kali ini, saya ingin berkongsi dengan diri saya sendiri terutamanya dan semua pembaca yang dikasihi tentang hakikat kehidupan kita yang tidak pernah terlepas daripada dosa. Apabila bercakap tentang dosa, kita boleh gambarkan umat pada hari ini telah kehilangan rasa sensitif terhadap dosa. Lihatlah realiti yang berlaku di sekeliling kita. Rasanya tak perlu nak diceritakan lagi. Di sana sini bertaburan siswa siswi universiti yang membuat maksiat. Pecah amanah dalam kepimpinan, rasuah dan bersikap gengsterisme berlaku di mana-mana sahaja di dunia pada hari ini. . Mana hilangnya rasa sensitif umat ini terhadap arahan Allah? Apa yang lebih penting daripada memenuhi tuntutan Allah s.w.t dalam kehidupan? Inilah yang berlaku dalam dunia pada hari ini. Apabila Islam diambil secara bahagian-bahagian, maka manusia mula hilang kepekaan dan ketakutan terhadap dosa-dosa yang dilakukan.


"Mukmin apabila melakukan dosa, ia menganggap dosa itu bagaikan gunung menghempap dirinya, tetapi munafik apabila melakukan dosa, dianggapnya dosa itu bagaikan lalat menghurung di hidungnya"

Saya petik kata-kata ini daripada seorang ulama' Islam. Hari ini kemaksiatan berleluasa di sekeliling kita. Ke mana-mana pun kita pergi, ke penjuru manapun kita beralih pasti kita ternampak sistem hidup jahiliyah berleluasa dalam masyarakat. Kita risau jika kita adalah orang yang turut sama berada dalam penguasaan sistem ini. Kenapa kita risau, bimbang dan takut? Kerana sistem inilah yang bakal memusnahkan rasa takut kita kepada Allah, menghilangkan rasa sensitif terhadap dosa, meruntuhkan keyakinan kita terhadap Rabb Maha Agung. Sistem yang menyekat kelahiran baka-baka Islam yang memiliki kefahaman dan keyakinan yang benar terhadap sistem Allah s.w.t. Sistem inilah yang akhirnya mendidik manusia untuk berasa senang dengan dosa walaupun terjerumus ke dalam dosa besar.

Imam Malik, ketika sedang mengadakan kuliah dengan pelajarnya, tiba-tiba beliau berhenti seketika dan menangis kemudian menyambung kuliahnya semula. Pelajarnya berasa hairan dengan tindakan guru mereka itu lalu mereka bertanya pada beliau di akhir kuliah, "Mengapa engkau menangis sebentar tadi dan kemudian engkau kembali mengajar kami seperti biasa?" Apa yang dijawab oleh Imam Malik?
Beliau menjawab, "Sesungguhnya aku terputus sebentar hubungan dengan Allah ketika sedang mengajar, kerana itulah aku menangis."
Lihatlah Imam Malik, hanya kerana terputus sebentar hubungan dengan Allah telah membuatkanya menangis. Bagaimana pula dengan kita? Hari-hari dalam kehidupan kita dipenuhi dengan dosa dan maksiat. Tidak pernah pula sekali pun kita menangis kerana dosa kita. Kita bimbang hati kita dikuasai oleh nafsu dan syaitan. Lantaran itulah yang membuatkan kita rasa senang, selesa meskipun telah melakukan banyak dosa.

Mari kita lihat dan mencontohi peribadi Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sememangnya dari azali lagi adalah seorang yang maksum yakni diampunkan dosanya yang lepas, sekarang dan akan datang. Tapi lihatlah pengorbanan dan susah payah yang ditempuhi oleh Nabi. Baginda solat malam sepanjang malam hingga bengkak kakinya. Bila ditanya Aishah maka dijawabnya, " Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur." Rasulullah yang sememangnya sudah bersih suci daripada dosa masih tunduk dan taat kepada Allah, apa pula hak kita untuk mengingkari perintah dan larangan Allah?

Pintu keampunan Allah itu sentiasa terbuka luas bagi orang-orang yang menginginkan keampunan-Nya. Allah menyebut dalam surah An-Nisa' ayat 31 yang bermaksud:

"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang kamu dilarang mengerjakannya, nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga)."

Rahmat dan keampunan Allah sangat luas. Tetapi itu semua terpulang kepada kita. Jika kita berkehendakkan kehidupan yang bahagia di akhirat sana, maka bersegeralah kepada keampunan Allah. Janganlah pernah biarkan kehidupan kita dicalari dan dicemari dosa yang tidak terampun. Ingatlah, seksa Allah itu amat pedih bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya. Nauzubillah. Pohonlah keampunan kepada Allah selagi mana kita masih dianugerahkan nafas dan nyawa. Anda patut mengetahui bahawa Allah itu lebih dekat dari urat nadi anda. Justeru, keluarlah dari berada dalam keselesaan bersama dosa dan kemaksiatan.
Kita pasti akan bertemu dengan kebahagiaan hidup yang sebenarnya.Wallahu a'lam.


0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP