Sunday, April 26, 2009

[[ Menentukan Destinasi Hidup ]]

Saya teringat pada hari saya bersama-sama sahabat saya menjalankan program di Merbok sekitar dua tiga minggu lepas. Sekadar sebagai selingan dan untuk memberi peringatan kepada para peserta, saya sempat menayangkan sebuah video yang menceritakan dan menggambarkan tentang azab kubur. Saat video itu mula ditayangkan, kelihatan semua pelajar merapati satu sama lain dan ada sebilangan besarnya yang menundukkan muka dan menutup pandangan mereka terutama peserta perempuan. Melihat gelagat mereka ini, saya tersenyum sendiri. Benarlah apa yang telah disebut oleh Rasulullah s.a.w. tentang umat akhir zaman yang bermaksud:

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda; "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya," Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, " Bahkan kamu ramai pada hari itu, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'." Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati."

HR Abu Daud




Manusia walaupun setinggi langit dia berdiri, pastinya suatu hari nanti dia akan kembali rendah ke fitrah asalnya yang tercipta daripada tanah. Kerana apa? Kerana kematian itu adalah satu perkara yang pasti bagi setipa yang bernyawa. Hakikat ini telah diungkapkan dalam Al-Quran dalam surah Al-Imran ayat 185 yang bermaksud:

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati"

Inilah satu hakikat yang tidak dapat kita sangkal dalam kehidupan. Kita ini datang daripada Allah, maka kepada Allah jualah kita akan kembali. Kita diciptakan dan dihantar ke muka bumi ini adalah sebagai utusan Allah untuk memelihara kemakmuran dan kesejahteraan di muka bumi Allah ini. Allah utus kita juga adalah sebagai hamba. Allah telah sebutkan dalam ayat 56 surah Az-Dzariyat yang bermaksud:

"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk berubudiah kepada-Ku"

Inilah tuntutan ke atas kita yang bakal ditanya oleh Allah s.w.t. apabila kita dipanggil pulang nanti. Jikalau sewaktu hidupnya kita, kita memenuhi tuntutan dan perintah Allah, sentiasa berusaha untuk membuat kebaikan, maka InsyaAllah pengakhiran kita juga adalah pengakhiran yang baik. Jikalau sewaktu hidupnya kita, kita sibuk dan lalai daripada mentaati dan melaksanakan perintah Allah, maka tunggulah balasan dan azab yang bakal kita tempuhi. Sesungguhnya janji Allah itu adalah sebenar-benar janji. Allah telah menjanjikan ganjaran kebaikan untuk hamba-Nya yang sentiasa tunduk patuh kepada-Nya. Begitulah juga sebaliknya, bagi siapa yang ingkar dan jauh daripada Allah s.w.t., Allah telah janjikan untuknya seksa dan azab yang keras dan pedih.

Kita hanya diberi dua pilihan sahaja, tidak ada yang ketiga atau yang keempat. Sekiranya kita memilih jalan kebenaran, maka itulah yang terbaik bagi kita. Jika kita memilih jalan kemurkaan Allah, maka itu adalah seburuk-buruk pilihan bagi diri kita. Terpulang kepada kita untuk memilih kehidupan yang bagaimana buat diri kita. Allah kurniakan akal dan hati, jika dua unsur ini dikawal oleh iman, maka benarlah pilihannya. Tetapi jika nafsu yang menguasai kedua-duanya, maka tunggulah kehancuran ke atas diri anda.

Allah telah sebutkan dalam Al-Quran surah Al-Baqarah yang bermaksud:

"Tiada paksaan dalam agama. Sesungguhnya telah jelas jalan yang
benar daripada jalan yang sesat"

Ayat ini sering disalahgunakan. Sesetengah orang membacakan ayat depannya sahaja "Tiada paksaan dalam agama" semata-mata untuk mendapatkan hak kebebasan beragama. Sedangkan sambungannya ada di situ "Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat".

Inilah dua jalan yang menentukan akhir hidup kita. Dua jalan ini tidak pernah mempunyai ruang untuk perkongsian. Tidak ada jalan tengah antara kedua-duanya. Jika kita hendak kepada kebaikan, maka kejahatan mesti ditinggalkan. Jika kita memilih kesesatan, maka tidak ada belas kasihan daripada Allah s.w.t.

Lihatlah pada umat-umat sebelum ini yang telah banyak dibinasakan oleh Allah s.w.t. kerana telah menolak hukum Allah. Lihatlah apa yang terjadi pada umat Nabi Hud, kaum Aad dihancurkan dalam ribut taufan yang disangka mereka hujan yang membawa rahmat. Lihatlah umat Nabi Nuh, ditenggelamkan dalam kesesatan. Umat Nabi Lut yang diterbalikkan bumi oleh Allah s.w.t. Seksaan dan azab Allah datang secara 'direct' pada orang yang ingkar pada arahan dan perintah Allah. Tetapi bagi umat Nabi Muhammad, seksa untuk orang yang ingkar kepada-Nya ditangguhkan hinggalah tiba Hari Perhitungan nanti, satu hari yang pasti tapi tidak tahu bila.

Oleh sebab itu, marilah kita berfikir dari sudut hati kita yang dalam. Adakah kita ingin kesudahan yang baik untuk diri kita? Atupun kita menginginkan kebahagiaan yang sementara di dunia ini kemudiannya menanggung azab seksa yang dahsyat di Hari Kebangkitan nanti?
Fikirlah dengan iman ...

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP