Saturday, February 21, 2009

Palestin : Kekuatan Jiwa

Sejak dunia dipanaskan dengan isu Palestin, ramai umat Islam yang turut serta dalam perhimpunan-perhimpunan aman, program mengutip sumbangan dan pelbagai lagi program bagi melahirkan rasa penentangan dan ketidakpuasan hati terhadap tindakan rejim Yahudi yang tidak berperikemanusiaan. Di Malaysia juga tidak ketinggalan. Ceramah kesedaran Palestin, kutipan sumbangan, Malam Untukmu Palestin dan solat hajat adalah program utama yang giat dilaksanakan di seluruh negeri sekarang oleh badan-badan bukan kerajaan seperti HALUAN dan NGO-NGO lain.


Namun kita tidak sekadar mahu melibatkan diri sahaja dalam program-program sebegini. Kita mahu agar hati kita turut serta dididik melalui program-program sebegini. Kita tidak mengutip sumbangan melainkan kita faham bahawa sumbangan kita adalah untuk saudara seakidah kita di sana. Kita tidak solat hajat semata-mata kerana kasihankan mereka. Semua program yang kita jalankan jika semata-mata atas dasar rasa kemanusiaan, maka sia-sialah kita. Bukankah Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

"Umat Islam itu umpama tubuh yang satu. Apabila dicubit paha kanan, maka paha kiri akan turut terasa sakit."

Kita mestilah memahami bahawa semua usaha kita dilakukan atas rasa ukhwah (persaudaraan) yang mendalam terhadap mereka di Palestin. Jika usaha yang dilakukan semata-mata kerana kasihankan mereka, maka kita perlu rasa bahawa diri kitalah yang perlu lebih dikasihankan. Kita berhari-hari hidup dalam keamanan, tetapi setakat mana kita memanfaatkan kehidupan kita untuk agama Allah yang murni ini, yakni Islam? Mereka di sana mempunyai peluang untuk syahid. Di sisi Islam, itu sumbangan terbesar mereka untuk Islam. Tapi kita yang tidak mampu hendak mengangkat senjata untuk turut terlibat dalam jihad di sana, apa yang kita di sini sumbangkan untuk deen yang agung ini? Adakah dengan hanya sekadar berdoa menitis air mata tetapi tiada usaha untuk membangunkan kredibiliti sebagai umat Islam? Adakah cukup dengan ilmu yang dituntut tapi tidak mampu ditumpang oleh Islam? Fikirkanlah... Sementara peluang masih terbuka luas, gunakanlah ia untuk kepentingan Islam.

Umat Islam di Palestin, mereka berjuang dan berjihad dengan penuh kekuatan jiwa. Keimanan yang kuat dalam hati membuatkan mereka yakin dengan Allah walaupun terpaksa mati pada usia yang muda.Mereka tidak gentar meskipun hanya boleh melawan rejim Yahudi dengan ketulan-ketulan batu kecil. Bagi mereka, selagi kehidupan masih bersisa, selagi itulah mereka tidak akan pernah berhenti melawan rejim Yahudi. Itu mereka di sana. Kita sepatutnya mencontohi kekuatan yang ada pada mereka. Mereka tidak hanya sekadar berperang dengan kekuatan fizikal tetapi juga dengan kekuatan jiwa mereka yang tunduk patuh kepada Allah. Lihatlah mereka. Kita mengetahui keadaan mereka. Senjata-senjata untuk mereka berperang disekat daripada sampai ke tangan mereka. Mereka terpaksa mencipta senjata sendiri. Bekalan makanan terhadap mereka dihentikan oleh PBB atas dasar mengatakan HAMAS telah merampas sebuah trak yang membawa bekalan ke Gaza. Sedangkan rejim Yahudi yang berhari-hari merampas kehidupan dan hak rakyat Palestin daripada tahun 1967 hingga sekarang tidak pernah dipersoalkan oleh PBB. Pelbagai penderitaan yang telah dialami oleh rakyat Palestin tapi mereka tetap berusaha meneruskan kehidupan dengan apa cara sekalipun. Apa yang paling penting buat mereka ialah mempertahankan Bumi Al-Quds itu daripada jatuh sepenuhnya ke tangan Yahudi laknatullah. Bagaimana kita di sini pada hari ini yang hidup dalam kesejahteraan meneruskan kehidupan dengan kekuatan jiwa yang tunduk patuh kepada Allah s.w.t.?

1 comments:

Anonymous March 10, 2009 at 2:02:00 PM GMT+8  

salam takzim dan ziarah.................

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP