Monday, November 19, 2007

Ucapan ...

Marilah dengan penuh rasa kerendahan dan kekerdilan, kita mengajak hati, jasad kita untuk merasakan dan merafakkan setinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana dengan izin dan limpahan rahmat-Nya kepada kita, pada saat ini kita masih hidup dan gah berdiri dalam keadaan yang sihat sejahtera dalam pautan dua nikmat teragung yakni iman dan Islam.Tanpa nikmat ini, siapalah kita di muka bumi ini.Selawat dan salam kita tujukan kepada Junjungan besar kita, nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabat kerana dengan titik peluh dan darah serta pengorbanan mereka, kita hari ini menjadi pewaris keimanan dan Islam.Moga-moga mereka menjadi qudwah kita dalam menempuhi kehidupan masa kini yang penuh dengan mehnah dan tribulasi.

Pembaca yang dikasihi,

Dewasa kini, kehidupan sebagai seorang muslim mukmin semakin mencabar dan menuntut kesungguhan dan komitmen dalam mengemban akidah Islamiyah.Maksud kesungguhan dalam berakidah adalah kita hidup dan berinteraksi penuh dengan akidah.Akidah yang mengembalikan kita dan mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t.Kita hidup dengan akidah ini, mati dengan akidah ini dan segala-galanya adalah kerana akaidah ini semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.

Bagi sesiapa yang mengemban akidah ini dengan penuh komitmen dan kesungguhan, nescaya tidak akan pernah terlintas dalam hati mereka untuk melakukan tawar-menawar terhadap akidah ini, meskipun dengan yang paling mahal sekalipun.Hal ini kerana Allah s.w.t. berfirman dalam surah at-Taubah, ayat 11 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah membeli diri dan harta orang mukmin dengan memberikan syurga untuk mereka.Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh.(Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran.Dan siapakah yang lebih menepati janjinya(selain) dari Allah?Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.”

Marilah kita kembali kepada sirah melihat bagaimana kesungguhan dan komitmen para sahabat dalam mengemban akidah tauhid ini.Abdullah b. Huzafah As-Sahmi.Bagaimana jawapan yang diberikannya apabila diperlihatkan dan diugut oleh Raja Romawi dengan jasad-jasad kaum muslimin yang direbus dalam kuali-kuali besar dan kemudian ditawarkan kepadanya setengah kerajaan Rom andai kiranya beliau murtad dari Islam.Dengan tegar dia mengatakan,”Demi Zat yang tidak ada Zat yang berhak disembah melainkan Dia, aku takkan sudi melakukan hal itu, sekalipun kamu memberikan semua kerajaanmu, kerajaan bapa dan nenek moyangmu.”Lihatlah dan ambillah iktibar daipada keteguhan para sahabat memepertahankan kemurnian akidah mereka.Bagaimana pula dengan kita pada hari ini?

0 comments:

Slide Kehidupan

Palestina | Tanah AirKu

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP